Memaparkan catatan dengan label Lidah Pengarang. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Lidah Pengarang. Papar semua catatan

22 Ogos 2011

Lekuk-lekuk Ramadan

Lidah Pengarang:
Hampir 20 hari kita berada di bulan Ramadan, dan berbaki lagi lebih kurang 10 hari untuk kita raikan Aidilfitri.

Dalam bulan yang mulia ini, beberapa entri sempat saya muatkan meskin pun ada batasan masa. Berkat bulan ini juga ada satu perkara yang ingin dikongsi oleh saya yang mana pengasas blog MelayuBuntu telah menerima saya sebagai salah seorang penyumbang dalam blog yang terkenal itu.

Buat tatapan kepada pembaca blog saya yang budiman, semua tutorial, tips atau apa-apa perihal tentang Ubuntu secara rasminya akan saya menulis di Melayubuntu. Apa jadi dengan blog deensokmo ini? Blog saya akan diteruskan juga dengan Ubuntu, cuma saya sebagai penulis inginkan kebebasan dalam mengarang.

Maksud saya ialah, entri blog ini yang akan datang lebih menjurus kepada penggunaan Ubuntu secara peribadi, akan saya sumbatkan pelbagai distro lain yang ada hubungan dengan Debian/Ubuntu termasuk Lubuntu, Xubuntu dan Kubuntu atau apa-apa yang saya suka. Selain itu, lebih kepada penggunaan Ubuntu dalam harian.

Ramadan 2011 adalah permulaan langkah saya untuk lebih maju ke hadapan, rasa ingin bersatu dengan komuniti Ubuntu yang lain khususnya di Malaysia ini. Sebelum ini, saya rasa syok sendiri pakai Ubuntu ini, tidak mempunyai kepentingan untuk orang lain walau pun saya berkongsi pengalaman berdasarkan entri-entri yang lepas. Saya harap pengujung blog ini tetap memberi sokongan kepada Ubuntu Malaysia dan bukan kepada blog saya semata-mata.

Kesempatan ini, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada ShimGeek dan Zulmalc kerana memilih dan memberi kepercayaan kepada saya untuk sama-sama memajukan Sumber Terbuka di Malaysia ini. Siapalah saya untuk dibandingkan dengan mereka berdua, saya masih lagi budak hingusan yang perlukan "tuala" untuk mengesat hingus ini.

Akhir kata, saya deensokmo ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelma tidak lama lagi, semoga ukhwah sesama kita akan terus mekar.

23 Mei 2011

2 Minggu Di Pulau Perhentian

Catatan Lidah Pengarang semasa berada di Pulau Perhentian.

Setelah berada di Pulau Perhentian lebih kurang 2 minggu, sudah tiba masanya saya akan bertolak balik ke Kuala Lumpur pagi esok (12/05/2011). Pelbagai pengalaman yang dapat saya ceduk di sini. Bercuti? Tidak, saya datang ke sini demi tugas. Sebenarnya saya di hantar oleh syarikat untuk menyiapkan kerja-kerja SCADA System untuk pihak Syarikat Air Terengganu (SATU) iaitu projek memantau jumlah air bersih daripada darat ke Pulau ini.

Saya tidak mahu berceloteh tentang kerja, kesempatan ini saya mahu membuat sedikit artikel tidak rasmi kepada sesiapa yang berminat mahu datang ke Pulau Perhentian ini. Sebelum saya meneruskan entri ini selanjutnya, saya ingin berkongsi dengan anda beberapa gambar yang sempat saya rakamkan melalui telefon bimbit saya (Sony Ericsson C510).. bukan kamera mahal OK..


Perjalanan saya bermula dari Kuala Lumpur melalui Jalan Kuantan ke Kuala Terengganu dan seterusnya ke Besut. Sebenarnya saya ada kerja lain di Kuala Terengganu sebab itu saya mengambil laluan ini, laluan paling ideal ialah dari Kuala Lumpur melalui Bentong, Kuala Lipis, Gua Musang Machang, Pasir Putih dan Kuala Besut. Perjalanan saya ke sini mengambil masa sekitar 8 Jam dengan jarak purata 550 Kilometer.

Sampai di Kuala Besut, terdapat banyak kauter tiket bot untuk ke Pulau Perhentian, anda akan di tawarkan beberapa pakej menarik seperti tambang bot, penginapan, makan dan minum, aktiviti menyelam, memancing, berkayak, karaoke dan macam-macam lagi dengan harga yang berpatutan. Melancong dalam negeri amat murah berbanding pergi ke Oversea. 

Pulau Perhentian terbahagi kepada dua iaitu Pulau Besar dan Pulau Kecil. Saya menginap di Kampung Pulau Kecil sebab projek saya adalah di sini. Terdapat juga pelancong yang datang ke Pulau kecil dan menginap di Pasing Panjang, Mira, Pantai Petani dan lain-lain. Kebanyakan pelacong dari luar negara memilih Pulau Besar, di mana di sini juga terdapat banyak teluk dan pantai yang berpasir putih.. Selain itu, anda juga boleh membuat pilihan untuk menginap di chalet-chalet terpilih yang sentiasa menanti kehadiran pengunjung.

Dengan air yang biru kadang-kadang hijau membuat anda terpesona dengan hamparan panorama ini. Bukit bukau, dipinggirnya di hiasi batu-batuan besar semula jadi membuatkan andai lalai dengan keindahan semula jadi. Apa yang menarik di sekitar kepulauan ini ialah terdapat 80% terumbu karang (bukan batu karang...) yang mendiami gigi pantai.. Cuma satu nasihat saya, jangan sesekali mengambil harta laut ini jika tidak mahu di dakwa sebaik sahaja anda pulang ke Jeti Kuala Besut kelak. Jadi, kalau anda ada kamera kalis air.. boleh lah ambil gambar terumbu karang ini dan segala jenis ikan yang bewarna-warni.

Jadi sepanjang saya berada di Kampung Pasir Hantu (Pulau Perhentian Kecil) terdapat satu masyarakat asli (orang pulau atau orang tempatan) yang amat ramah tamah. Kerajaan telah menyediakan sekolah rendah, skim bekalan air (yang tengah saya buat), klinik, balai polis dan baru-baru ini projek membina satu masjid sudah pun bermula. Rata-rata penduduk di sini bekerja dengan chatlet-chalet yang bertaburan di sekitar pulau. Manakala orang tua hanya berehat di rumah dan ada juga yang berkebun kecil-kecilan. Jika anda berkesempatan bolehlah bawa rakan mengunjungi dan berjalan-jalan sekitar kampung yang permai ini. Ada juga mat salleh yang masuk kampung ini dalam beberapa orang untuk mengambil gambar makcik-makcik, ayam peliharaan mereka dan entah apa-apa mat salleh ambil gambar untuk dijadikan kenangan bila balik ke halaman mereka.

Saya ingin selitkan satu peristiwa yang melucukan saya. Ada seorang pemuda ini mahu memasukan lagu ke dalam Ipod melalui komputer riba. Pada masa ini saya tengah makan tengahari dan pemuda tersebut hanya selang 1 meja dengan saya. Pemuda itu bersama dengan seorang gadis (gadis itu mungkin adiknya) saya hanya memasang telinga. Dapat saya simpulkan perbualan pemuda itu dan adiknya (yang nampak pandai komputer) tidak berjaya memuatkan lagu ke Ipod milik abangya. Beberapa kali di cuba  Ipod masih gagal mengakses folder lagu tersebut. Muka abang nampak kecewa, adiknya kata Ipod tersebut sudah rosak sebab itu ada Mat salleh hadiahkan kepada Abangnya. Selesai saya makan, saya buat-buat tanya, kenapa? Jadi betulah sangkaan saya yang mana Laptop milik adikya tidak dilengkapi perisian Ipod untuk proses muat naik lagu. Setahu saya I-Tunes boleh menyokong Aplikasi iPOD pada Windows. Saya terangkan secara sepintas lalu, pemain Ipod perlukan aplikasi khas tetapi dinafikan oleh adiknya, sebab katanya kita hanya boleh copy and sahaja folder lagu ke dalam Ipod. Malas saya nak layan adiknya, saya menawarkan untuk giliran saya memasukan ke Ipod abangnya (nama abangnya ialah Yo). Jadi Yo bersetuju, apa lagi saya pun ONkan Ubuntu 11.04 ini dan memasang aplikasi gtkpod Ipod Manager setelah dihubungkan dengan celcom 3G melalui telefon bimbit melalui Ubuntu Software Center. 

Saya perasan adiknya terkebil-kebil melihat saya. Di tambah lagi saya 1 klik dengan Celcom Default dengan Bluetooth connection, telefon bimbit dalam pokek seluar saya, lagilah dia terkejut macamana saya boleh akses internet sedangkan di situ tiada wifi (padahal saya guna Celcom). Dipendekkan cerita dapatlah saya memasukan lagu pilihan Yo ke Ipodnya. Sebelum menutup laptop saya, sempat juga saya iklankan blog saya ini kepada mereka berdua. Semoga jejak deensokmo ini mendapat perhatian kepada rakan-rakan meraka yang lain agar sumber terbuka juga membiak di sini (entahlaa)..

Sebelum saya mengakhiri cerita ini, saya ingin minta maaf kepada kalian berdua sebab saya siarkan telatah anda (Yo dan Adikmu) di kedai makan tempohari (mungkin mereka juga membaca blog ini)...

Selamat tinggal Pulau Perhentian...

14 Februari 2011

2 Tahun Lebih Saya Bersama Ubuntu

Diperkenalkan Ubuntu

2 tahun yang lalu tidak pernah terlintas untuk saya menggunakan Ubuntu atau lebih tepat lagi Sistem Operasi pengendalian Linux ini. Malah mendengar nama Ubuntu pun sudah membuatkan saya ketawa, mungkin pada ketika itu; saya merasakan Ubuntu Linux hanya sesuai untuk mereka yang pakar dalam aturcara komputer sahaja. Ternyata andaian ini meleset sama sekali, ikuti cerita saya selanjutnya.

Saya masih ingat lagi, ada seorang pengaturcara di pejabat saya yang mengesyorkan agar menggunakan Ubuntu jika malas melayan karenah Virus yang menjangkiti Windows. Hamba Allah tersebut telah pun meletak jawatannya di pejabat saya sekitar penghujung tahun lepas dan kini sudah bekerja di tempat baru. Pada masa beliau memperkenalkan Ubuntu kepada saya (tahun 2008) hanya versi 8.04 LTS. Bakh (bukan nama sebenar) telah menunjukkan kepada saya rupa Ubuntu tersebut, dek kerana tema Ubuntu nampak hodoh, langsung saya tidak mempedulikannya. Pada saya, Ubuntu tidak sesuai untuk orang macam saya yang tidak tahu apa-apa tentang komputer. Apa yang saya tahu hanyalah memasang aplikasi pada Windows sahaja.

Mencuba Ubuntu

Takdir malang telah menimpa kepada saya. Saya terbabit kemalangan pada penghujung tahun 2009 hampir meragut nyawa saya, namun saya bersyukur kerana tangan kiri sahaja yang patah dan kini ada besi sepanjang 2 inci yang menjadi penyokong tulang yang patah tersebut. Dipendekkan cerita, nasib malang sekali lagi menimpa apabila semua maklumat dalam komputer saya pada ketika itu telah musnah kerana kejahatan Virus. Sudahlah saya tidak berupaya dan cuti panjang terlantar dirumah, komputer pula buat hal. Kesempatan inilah saya mengunjungi Cyber Cafe berdekatan rumah saya untuk mencari jawapannya dan hal ini juga mengingatkan kepada saya Ubuntu sepertimana cerita saya di atas tadi.

Setelah menunggu CD live Ubuntu yang ditempah percuma, 2 minggu kemudian tibalah Ubuntu tersebut iaitu Ubuntu 9.04. Saya pun memasangnya pada komputer saya, kerana buta komputer dan pengetahuan saya yang amat lemah, banyak kesilapan sebagai pengguna baru menyebabkan saya mengambil jalan pintas dengan Format semula sehingga berulang-ulang kali. Saya bertekad untuk menggunakan Ubuntu bagi menggantikan Windows hanya kerana Virus sahaja!, biarlah kata orang bersusah dahulu, bersenang kemudian. Jadi biarlah kita mengenal dahulu dan mencuba Ubuntu sejauh mana kemesraan OS ini.

Pengalaman Menggunakan Ubuntu

Berkat usaha, sabar dan yakin tiada apa yang susah melainkan berusaha untuk mencapainya, kini saya telah pun selesa bersama Ubuntu. Kini baru saya tahu, Ubuntu tidak susah. Kenapa saya rasa susah diperingkat awal sebab saya mengatakan Ubuntu adalah Windows, sebaliknya Ubuntu bukannya Windows. Andainya  saya didedahkan ilmu ini di peringkat mula-mula, sebenarnya Ubuntu adalah mudah kerana setiap aplikasi disusunkan mengikut kategorinya.

Berkongsi

Bertitik tolak hasil pencarian, usaha yang tidak jemu, saya merasakan sudah tiba masanya saya mula bercakap tentang Ubuntu dengan jiran-jiran terlebih dahulu. Demi Allah ketika itu, tidak seorang pun tertarik dengan Ubuntu setelah saya bercerita panjang lebar. Hanya tuhan sahaja yang tahu niat murni ini untuk menyelesaikan kebuntuan yang mereka hadapi terhadap karenah Windows. Namun, kesungguhan niat baik ini; satu persatu saya memasang Ubuntu pada Komputer mahupun laptop pada jiran dan kawan-kawan saya. Masa tersebut, saya belum lagi menulis blog ini, kerana susahnya saya mahu membantu mereka dengan ilmu Ubuntu, maka saya mula menulis blog khas untuk kawan-kawan saya di Terengganu, Sabah, Johor dan beberapa negeri lain kerana mereka telah menggunakan Ubuntu. Saya tidak mengharapkan apa-apa balasan, cuma saya akan merasa puas kerana dapat membantu mereka dengan beberapa tutorial di blog saya. Inilah perjuangan saya selagi tangan ini mampu menulis. 

Satu pesanan daripada saya, berkongsilah apa yang anda tahu kepada rakan-rakan anda, jangan lebih-lebih memberitahu kepada mereka. Ukurlah baju sendiri, takut termakan diri.

Masih Belajar

Saya tidak pernah mengatakan saya pandai atau pakar dalam menguasai Ubuntu, buangkan jauh-jauh fikiran ini pada kotak fikiran saudara. Saya masih lagi belajar kerana setiap saat ada perkara baru yang belum saya ketahui. Lihat sendirilah, pada entri blog saya, terlalu banyak perkara yang tidak sempat saya muatkan. Terus terang saya katakan, setiap kali saya mencari, menjelajah internet dengan Google bersabit Ubuntu, pasti ada sahaja artikel baru, permasalahan, penyelesaian, perkongsian dan tidak lupa juga ada yang menghentam penggunaan Ubuntu yang katanya tidak relevan dengan masa serta tidak mampu berhubung dengan teknologi pekakasan yang saban hari semakin berdaya saing. Ah! Orang ini sebenarnya lebih kepada dengki yang hakikatnya mereka belum lagi mencubanya. Ingat, Ubuntu adalah percuma; jadi belajar ... belajar.. belajar.. adalah penyelesaiannya untuk menguasai sesuatu yang istimewa ini, jangan ingat belajar 1 benda hendak pandai 10 benda dalam sekelip mata. Mustahil!..

Kesimpulannya, bagi mereka yang baru sahaja mengunjungi blog saya ini, terimalah saya seadanya. Saya lebih selesa memperkenalkan Ubuntu dan cara-cara menggunakannya, tentang tutorial pemasangan aplikasi hanyalah selingan entri sahaja. Percayalah, hanya dengan menaip di internet (google) apa-apa perkataan dan diakhiri "ubuntu", anda akan menemui beribu-ribu jawapannya. Yakinlah, susah atau senang sesuatu perkara bergantung kepada usaha di tangan anda sendiri!....

16 Januari 2011

Tahun lepas Dan Tahun Baru 2011

Lidah Pengarang 16 Jan: Bagi sesiapa sahaja yang mengikuti blog saya, mungkin kecewa sebab sudah masuk pertengahan bulan Januari 2011 tiada satu pun artikel dikeluarkan. Bukan saudara sahaja yang terasa, bahkan saya sendiri pun terasa demikian. Sepertimana penulis blog yang lain, mereka juga ada komitmen masing-masing. Begitulah juga saya, akhir-akhir ini anak kecil (kembar) saya yang baru mencecah hampir 3 bulan buat perangai tidur lewat. Ada kadang-kadang waktunya sehingga jam 3 pagi, demi anak yang baru mengenali dunia amatlah saya titik beratkan.

Kepada saudara atau rakan-rakan saya yang membaca blog ini yang sudah besar panjang, tentu boleh berdikari sendiri ke mana haluan mahu dituju. Jadi, dengan penjelasan yang  ringkas ini dapatlah memberikan sedikit jawapan kepada saudara.

Sebelum saya meneruskan muqadimmah tahun 2011 ini, saya ingin ucapkan berbanyak terima kasih kepada pembaca sekalian meskin pun baru hari ini anda menemui blog ini. Saya juga ingin memohon maaf andainya ada terkasar bahasa baik dari segi penulisan, menjawab semua pertanyaan (E-mail) dan macam-macam lagi kekurangan. Jujur saya katakan, memang cara susunan ayat-ayat saya tidak seperti penulis blog yang lain yang nampak agak kemas dan canggih, penuh bahasa baku dan jauh sekali berbanding ayat-ayat saya. Darjah 1 hingga ke darjah 6, subjek Bahasa Malaysia saya agak lemah (selalu merah bila diberi markah). Tapi semua ini, tidak melumpuhkan hasrat saya untuk terus berkarya. Biar apa orang kata, saya tetap saya.

Sepanjang 2 tahun lepas, artikel saya banyak memfokuskan kepada cara penggunaan Ubuntu yang menyentuh mengenai Nautilus, panel, beberapa hubungan gajet dan permasalahan yang perlu ditangani. Jika anda perasan, saya jarang mengeluarkan berita perkembangan terkini tentang ubuntu, kemaskini aplikasi baru dan sebagainya. Tentang apa yang terbaru dalam perkembangan berita ubuntu, anda boleh kunjungi laman tempatan seperti Jomlinux.com, Melayubuntu, SumberTerbuka.Net dan beberapa lagi.

Jadi Tahun ini, semua artikel saya masih menjurus ke arah penggunaan dalam menguasai Sistem Operasi Ubuntu dan sekali-sekala akan diselitkan artikel perkembangan, keserasian gajet, tutorial tertentu dan lain-lain dirasakan perlu atau di atas permintaan pembaca.

Jadi, tidak perlulah membandingkan blog saya dengan orang lain; masing-masing mempunyai konsep yang berbeza. Oh ya! kalaulah blog saya pasal politik, muat turun lagu, berita panas artis sudah tentu jumlah pelawat beribu-ribu sehari!! Tahun lepas, purata pengujung yang melawat blog saya setiap hari masih tidak lebih daripada 100 kali (80 hingga 90 kali sahaja). Saya tidak kecewa dengan angka ini, kesimpulannya masih ramai rakyat di Malaysia yang masih tidak tahu Sumber Terbuka. Kalau ada pun, masih selesa mengunjungi laman berbahasa Inggeris. 

Adakah Bahasa Malaysia tidak relevan untuk diterjemahkan ke ilmu komputer? Anda tanyalah pada diri anda sendiri!

Akhir kata, saya memohon ke Hadrat Illahi agar diberi semangat untuk meneruskan perjalanan blog ini hingga bersua ke tahun hadapan.

09 November 2010

Lidah Pengarang: Ubuntu Help Center

Adakah anda pengguna Ubuntu yang baru hendak bermula? Tidak kira versi Ubuntu yang anda guna, pasti mula-mula anda akan kekok atau tidak biasa dengan antaramuka (interface) Gnome. Saya yakin, rata-rata pengguna Ubuntu adalah berasal daripada pengguna Windows XP, Vista mahupun 7. Sudah pasti pengalaman anda bersama Windows dahulu masih segar dalam menguasai fungsi, panel, perangai, warna, susun letak icon dan pelbagai lagi arahan Windows.

Adakah semua ini akan membantu anda menguasai dunia Ubuntu? Jawapannya adalah 30% sahaja, kenapa saya berkata demikian? Ini kerana Ubuntu mempunyai antaramuka yang dinama GNOME. Susunatur Menu pada Gnome jauh sekali berbanding Windows.

Di sini saya mahu andaikan anda sudah 4 hingga 5 tahun menggunakan telefon bimbit Nokia, tiba-tiba kemahuan anda beralih arah mahu membeli telefon bimbit jenama Sony Ericsson pula. Buat pertama kali, penggunaan menu dan fungsi butang-butang tertentu membuat anda terhenggeh-henggeh menggunakan Sony Ericsson. Perlahan-lahan anda cuba menguasainya, hari ke hari, minggu silih berganti, dan hampir sebulan anda akan mahir dengan aplikasi pada Sony Ericsson ini.

Pengalaman di atas bolehlah saya simpulkan sebagai "budaya baru". Maka dengan ini, sebaik sahaja anda melangkah ke Ubuntu; sudah pasti anda memerlukan masa untuk menguasai Distro Linux Ubuntu ini. Saya ingin mengingatkan kepada diri sendiri dan kepada anda;  bak kata pepatah, malu bertanya sesat jalan. Maksudnya, Jika tidak faham mana-mana bahagian dalam Ubuntu baik dari segi operasi, fungsi, pemacu mahupun perkakasan; eloklah bertanya atau minta pertolongan daripada komuniti, forum, blog-blog tertentu atau rajinkan dengan mencari ilmu daripada sumber percuma di internet.

Menyentuh mengenai tajuk artikel saya ini berkenaan Ubuntu Help Center, berapa ramai yang menggunakannya. Hilang 1 ikon pada panel sudah menggelabah, terus tanya dalam forum. Bukan cara ini tidak betul, cuma jawapan bukanlah serta-merta, mereka (otai-otai) bukannya memasang sistem SMS yang boleh berhubung terus daripada Forum tertentu ke telefon bimbit mereka untuk mengesan setiap soalan yang muncul. Satu perkara lagi, sekiranya soalan anda sudah terjawab dan dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi, tandakan SOLVED serta ringankan jemari untuk menaip ucapan terima kasih kepada mereka yang sudi membantu. Setidak-tidaknya mereka dihargai biarpun tiada komisen.

Sebenarnya, masalah-masalah kecil sudah ada jawapannya pada Ubuntu Help Center. Tekan sahaja papan kekunci F1, carilah penyelesaian masalah anda berdasarkan tajuk-tajuk yang telah disusun kemas. Saya percaya, jika tiada masalah sekalipun, anda ada masa terluang bacalah Ubuntu Help Center. Sekurang-kurangnya 40% anda sudah boleh menguasai panel Ubuntu dengan pantas.

Sekian buat kali ini.

05 Ogos 2010

Mampukah Aku Bersuara


Mampukah Aku Bersuara (Lidah Pengarang - 5 Ogos 2010)

Apakah yang cuba saya maksudkan? Maksudnya di sini ialah menterjemah seribu pertanyaan apabila disoal, bagaimana dan macamana mahu menjawap setiap soalan yang dilontar. Dalam kita meneruskan kehidupan untuk mencari sesuap nasi, pasti ada benteng yang menghalang dan membuatkan perjalanan ini tersangkut-sangkut dengan masalah, perasaan, ketabahan yang memaksa kita melaluinya susah atau senang.

Pertengahan November 2010, 2 orang lagi akan muncul yang mana akan memanggil saya "Ayah". Suatu ungkapan yang mengembirakan dan penuh dengan penantian. Setiap kelahiran, memerlukan penjagaan, menuntut pergorbanan dan sebagainya demi kesenangan suatu hari nanti.

Setiap kali saya membuka mulut untuk membicarakan sesuatu, pasti berlaku soalan yang kadangkalanya membuatkan saya pening. Walhal itu cuma "bisa diatur". Maka lahirkan persoalan yang menemani sehingga saya ke kamar tidur, letak tangan atas dahi... merenung jauh ke atas.. sehinggalah terlelap. Sebaik sahaja siang melabuhkan tirainya, saya mampu bersuara semula.. Ya! Mampu bersuara semula seperti semalam dan kelmarin. Bila anda dipanjangkan walau sesaat, ingatlah itu anugerah yang tidak ternilai oleh Allah SWT. Berkat yang dicurahkan kepada kita seharusnya bersyukur dan ingatlah kepada mereka yang memerlukan.

Perenggan di atas mengingatkan saya kepada "curahlah ilmu tanpa balasan", dengan suara dan papan kekunci komputer ini dapatlah saya bersuara di atas keikhlasan. Mahu atau tidak, tuntutan saya ini akan berakhir juga, tetapi tidak tahu bila masanya ianya akan menemui noktah. 10 sen bukanlah nilai yang besar, namun hargailah sebanyak 10 sen dalam blog saya ini lebih-lebih lagi untuk yang baru mahu bermula dengan Ubuntu. Sejajar dengan ilmu Ubuntu yang saya ada, maka itulah blog saya. Jika anda mahu lebih "makanan" silalah berkunjung ke Forum Ubuntu Malaysia atau mana-mana hasil pencarian Ubuntu anda di internet. Mendekati sumber terbuka bukanlah mudah dengan perkataan semuanya percuma, anda muat turun aplikasi, membaca dan merujuk memang percuma; tetapi masa yang anda korbankan adalah sangat bernilai untuk setiap detik.

Sebanyak mana yang anda tahu, berkongsilah kepada rakan-rakan, bawa berbincang dan hebahkan seramai yang mungkin. Bercerita tentang saya dan Ubuntu, entah berapa orang telah saya war-warkan dan 50% daripadanya bersikap positif. Saya dekati mereka di sekeliling, memberi penerangan yang sebaik mungkin, dan seterusya membimbing dan menjawab dengan senang hati walaupun soalan "kacang".

Akhir kata, kesempatan ini saya mahu ucapkan Selamat Menyambut Ramadan dan Selamat Berpuasa. Dengan kehadiran bulan yang mulia ini, sama-sama kita "mengimarah"kannya dengan "sedekah" agar dibalas dengan sebaik-baiknya oleh Allah SWT...

21 Mac 2010

Dari Lidah Pengarang Blog Deensokmo

Pengetahuan
Saya tidak pasti bagaimana penulis blog lain menghasil artikel berkaitan Linux amnya. Mungkin ada di antara mereka yang mahir pengatur-caraan, tetapi tidak untuk saya. Ada antara mereka yang cari makan mengajar Ubuntu-Linux, tetapi tidak untuk saya. Segelintir daripada mereka memang daripada pengajian sains dan komputer, tetapi tidak untuk saya. Ilmu pengetahuan Ubuntu Linux saya bermula daripada sifar, kosong, buta IT dan sifat mahu mencuba.

Secara peribadi, semua artikel yang menghiasi ruang blog “deensokmo” adalah datang setelah saya membuatnya terlebih dahulu; try and error; mencari bahan-bahan ilmiah ini di internet dan menggunakannya; barulah di copy and paste di sini. Saya bukanlah seorang yang mahir berkomputer yang di pasang Windows, jauh sekali Ubuntu. Tergerak hati ini menggunakan Ubuntu ada di dalam artikel Sejarah Saya. Pengetahuan Ubuntu saya datang secara berperingkat, hampir 6 bulan bersama Ubuntu cuma baru 5% sahaja dapat dikuasai. Namun saya gagahi untuk anda menatapi artikel saya ini. Bukan mudah untuk menghasilkan artikel yang orang lain memadang Linux sebelah mata. Begitu juga dengan penulis blog Ubuntu yang lain, saya berkongsi pengetahuan Ubuntu dengan anda secara percuma! Bukan soal duit. Keinginan berbakti sejauh mungkin dan ingin berdiri sama taraf dengan mereka yang sudah profesional dalam blogger tempatan (Malaysia) meskinpun ilmu saya cuma setitik air di padang pasir yang gersang. Janganlah membezakan artikel saya dengan orang lain yang lebih berwibawa. Terimalah seadanya...

Tindakbalas

Sejak blog deensokmo aktif 3 – 4 bulan kebelakangan ini, saya ada menerima e-mail pelbagai ragam, berbentuk soalan, tohmahan, tidak puas hati, menyuruh saya “close” blog ini dan ada juga yang menyokong, memberi pujian, memberi pandangan positif dan lain-lain. Semua emel yang diterima saya ucapkan ribuan terima kasih dan dibalas sebaik mungkin. Tiada yang lebih istimewa di sini, melainkan perkongsian ilmu sahaja..

Kesempatan ini, saya memohon maaf andai ada terkurang, terkasar bahasa, tersalah ejaan, struktur blog yang tidak seragam dan pelbagai lagi kelemahan lain. Saya dalam proses merombak, membaiki dan mengemaskini blog saya ini, sudah tentu penulis macam saya memerlukan masa untuk tempoh tertentu bagi merealisasikan impian ini. Jika anda mempunyai pandangan, idea dan sebagainya sila berkongsi ke deensokmo@gmail.com. Sekian.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...