Memaparkan catatan dengan label VM VirtualBox. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label VM VirtualBox. Papar semua catatan

11 September 2010

VirtualBox: Multiple User Virtual Machine Hard Disk On Ubuntu

Tutorial dan Tips yang saya mahu berkongsi di sini ialah jika komputer anda mempunyai lebih daripada 1 pengguna (user). Di mana, pengguna kedua ingin mengunakan atau berkongsi Sistem Operasi yang ada pada Virtual Machine (VM) pengguna pertama. Hasil perkongsian ini bermakna pengguna kedua tidak perlu lagi memasang Sistem Operasi yang baru pada VirtualBox nya bagi mengelakkan pembaziran ruang cakera maya (Virtual Hard Disk).

Saya ingin memberi contoh apa yang telah saya lakukan. Saya deensokmo sebagai pengguna pertama dan ayu adalah pengguna kedua pada Ubuntu 10.04 di komputer saya. Sistem Operasi yang deensokmo mahu kongsikan kepada ayu ialah Windows XP di dalam VM. Secara lalai, Ayu belum lagi memiliki VM meskinpun mempunyai aplikasi VirtualBox, Jadi, Ubuntu ayu ternyata tidak dapat mengakses VM Hard Disk di dalam VM deensokmo. Ini kerana, deensokmo belum lagi membenarkan/mengizinkan VirualBox ayu untuk mengakses pengkalan VM Hard Disk tersebut.

(A) Membuat ketetapan keizinan VM deensokmo kepada VM pengguna ayu:
  1. Login Ubuntu melalui deensokmo. Masuk kepada System> Administration> User and Groups. Di dalam kekotak user setting tersebut; pilih deensokmo dan tekan butang Manage Group.
  2. Kemudian cari perkataan “vboxusers” dan klik properties. Berikan tanda kepada pengguna ayu, klik OK dan masukkan katalaluan. Tekan Kekunci Enter untuk pengesahan. Tutup kekotak user setting tersebut.
  3. Jejak secara manual File System> Home> deensokmo> .VirtualBox> HarDisk> WinXP.vdi. Nota: Tekan Ctrl+H untuk memunculkan .VirtualBox, manakala WinXP.vdi adalah nama virtual hardisk yang dicipta semasa memasang OS Windows sebelum ini.
  4. Klik kanan pada WinXP.vdi, pilih properties>permission. Tetapkan ayu di dalam Group dan benarkan Read and Write. Tandakan pada Execute. Kemudian tekan Closed untuk mengakhirinya.
  5. Logout deensokmo.

(B) Membuat ketetapan VM pengguna ayu:
  1. Login Ubuntu melalui pengguna ayu. Kemudian klik menu Applications> System Tools> Oracle VM VirtualBox.
  2. Sebaik sahaja Virtualbox dipaparkan, klik butang New> Next dan berikan nama OS Windows ini. Contohnya WinXP, Pastikan Operating System: Microsoft Windows dan Version: Windows XP.
  3. Klik Next lagi dan tentukan saiz memori. Klik Next dan pilih used existing hard disk. Sila jejak Hard disk dengan mengklik ikon Browse seperti langkah (A) 3 di atas.
  4. Klik butang Finish setelah selesai. Hidupkan OS WinXP ini dengan butang start seperti macam biasa.
P/s: Lakukan arahan Menghubungkan Shared Folder untuk mencapai kepada Partisi lain. Terima kasih kerana membaca Tips ini meskipun Ubuntu anda hanya mempunyai 1 pengguna sahaja. Sekian.

09 Ogos 2010

VirtualBox: Menghubungkan Shared Folder - Windows XP Guest

Bagi mereka yang memasang Windows di dalam VirtualBox, sudah tentu anda ingin berkongsi direktori (Shared Folder) dengan partisi lain dalam hard disk komputer anda ataupun boleh juga mengghubungkannya kepada Home Ubuntu anda. Sebelum ini, saya telah menunjukkan bagaimana mahu menghubungkan peranti USB ke Windows Guest. Kelebihan menghubungkan direktori lain ke Windows Guest tidak perlu saya terangkan dengan lebih lanjut, secara amnya adalah untuk anda mencapai sesuatu fail atau data-data tertentu tanpa perlu anda menyalin masuk ke direktori Windows.

Sebelum itu, anda perlu berikan kebenaran kepada sistem Ubuntu untuk Virtual Machine memiliki direktori tersebut dengan cara seperti di bawah.

Klik pada menu Gnome Ubuntu: System>Admnistrations>>User & Group

Akan keluar kekotak Users Setting, kemudian klik pada Manage Group dan cari perkataan "vboxusers"; dan klik pada butang Properties. Sila tandakan pada Nama Komputer (iaitu mungkin nama anda dalam sistem komputer Ubuntu) dan klik OK untuk pengesahan, masukkan katalaluan seperti yang diminta. Setelah itu, klik pada Closed untuk pengesahan keluar.

Manakala berikut adalah langkah-langkah untuk menghubungkan direktori Ubuntu atau partisi lain. Contoh seperti dalam gambar 1, telah saya hubungkan Virtual Machine dengan direktori partisi EXT4 yang lain.

Gambar 1

Langkah 1
Aktifkan VM VirtualBox, klik pada menu butang Setting pada Virtul Machine. Kemudian pilih ketetapan paling bawah iaitu Shared Folders seperti pada Gambar 1.

Langkah 2
Selanjutnya, klik pada ikon + (campur) untuk menambah atau menyenaraikan perkongsian direktori. Sebaik sahaja muncul kekotak seperti Gambar 2, sila klik pada Others.. dan tentukan direktori yang mahu dibuat perkongsian antara Ubuntu dan Windows Guest.

Langkah 3
Setelah direktori dipilih contohnya seperti Gambar 3 di bawah, klik OK untuk pengesahan keluar. Klik OK lagi untuk pengesahan-keluar dari penetapan Shared Folders ini.
Gambar 3

Langkah 4
Hidupkan Windows melalui butang Start pada Virtual Machine. Kemudian klik My Computer dan klik pula menu Windows Explorer pada Tools>Map Network Drive.. Sila ikut arahan seperti gambar 4 di bawah.

Gambar 4

1 - Klik Browse...
2 - Capai kepada nama direktori seperti pilihan anda pada langkah 3 di atas.
3 - Klik OK untuk pengesahan pemilihan yang dibuat.
4 - Klik pada butang Finish untuk mengakhiri penetapan.

Lihat Gambar 5, perkongsian direktori akan muncul pada bahagian Network Drive.

Gambar 5

Untuk pengetahuan, anda boleh "Rename"kan Shared Folder ini untuk tidak kelihatan seperti namanya yang panjang (dalam gambar 5); dengan cara klik kanan dan Rename mengikut kesukaan anda.

Jika anda menggunakan Windows Vista atau Windows 7, mungkin cara apa yang saya paparkan di sini adalah berbeza.

Sekian..

08 Ogos 2010

VirtualBox: Menghubungkan USB Thumb Drive - Windows Guest

Hari ini masih lagi berkisar dalam tajuk VM VirtualBox. Saya ingin menunjukkan bagaimana mahu menghubungkan USB Thumb Drive/Pendrive daripada Ubuntu ke Windows Guest. Jika anda tidak membuat ketetapan ini, Windows dalam Virtual Machine tidak akan dapat mengenali peranti USB ini.

Langkah 1
Sila masukkan atau cucuk USB Thumb Drive anda ke soket USB pada komputer dan seperti biasa, hidupkan VM VirtualBox melalui menu Gnome pada Ubuntu 10.04 anda.

Langkah 2
Muncul kekotak Oracle VM VirtualBox. Klik butang Setting dan capai ke kepada ketetapan USB seperti dalam Gambar 1 di bawah.

Gambar 1

Langkah 3
Kemudian klik pada ikon + (campur) untuk menambah peranti USB ini ke dalam senarai dan capaikan kursor ke nama peranti USB. Ada sesetengah Pendrive dipaparkan nama perkakas dalam kekotak Popup ini. Lihat Gambar 2.

Gambar 2

Anda akan dapat lihat satu senarai baru telah ditambah ke dalam ruangan senarai peranti USB seperti Gambar 3. Selepas itu, klik OK untuk pengesahan keluar.


Gambar 3

Langkah 4
Hidupkan Windows dengan menekan butang Start pada VM Virtual Machine. Sebaik sahaja Windows tersebut aktif, Klik My Computer dan anda akan dapat menemui satu Removable Disk iaitu peranti pendrive yang dihubungkan ke komputer (Gambar 4). Pada masa ini, Ubuntu tidak akan dapat mengunakan peranti USB ini.


Gambar 4

Nota:
Sekiranya Windows Guest masih aktif, dan mahu guna peranti USB Thumb Drive ini melalui Ubuntu. Sila klik menu Device pada Virtual Machine dan "Un-Check" pada USB Disk. Fungsi ini seolah-olah untuk mengeluarkan peranti USB tersebut dengan selamat daripada Windows.

Jika anda gagal mengikuti langkah-langkah yang saya berikan di atas, periksa penyambungan peranti USB tersebut agar ianya bersambung dengan baik. Kemudian ulangi langkah-langkah di atas.

Sekian. Terima kasih.

07 Ogos 2010

VirtualBox: Memasang Guest Additions

Tujuan memasang Guest Additions ke dalam Windows atau mana-mana Distro Linux secara ringkasnya adalah untuk membenarkan OS di dalam Virtual Machine ini menguasai perkakasan, pemacu luaran, shared folder, tetikus dan lain-lain gajet yang di hubungkan ke komputer anda. Selain itu, Virtual Machine juga akan membenarkan OS tersebut menggunakan ruang skrin Monitor sepenuhnya; seperti mana yang akan saya tunjukkan di bawah:

Selesai sahaja memasang Windows, saiz skrin Windows hanya tertumpu ditengah-tengah dan tidak boleh dibesarkan lagi seperti Gambar 1.

Gambar 1

Baiklah, berikut ialah cara-cara bagaimana mahu membesarkan saiz Display Windows ini iaitu dengan memasang Guest Additions.

Langkah 1
Buka VM VirtualBox anda dan tekan butang Start untuk meghidupkan Windows. Setelah Windows Loading sepenuhya, Klik menu Devices pada VM VirtualBox dan pilih Install Guest Additions. (Gambar 2)

Gambar 2

Langkah 2
Suka saya ingatkan, terdapat arahan atau info yang terpapar pada VM VirtualBox untuk menguasai Tetikus (mouse) dengan menekan papan kekunci Ctrl sebelah Kanan.(sila ambil perhatian arahan ini).

Untuk memulakan pemasangan GuestBold Additions, klik butang Next seperti Gambar 3.

Gambar 3

Langkah 3
Sila ikuti semua arahan pemasangan pada skrin Windows sebaik sahaja anda bersetuju dengan terma dan syarat pemasangan Guest Additions ini. Manakala Gambar 4 menunjukkan proses pemasangannya sedang berjalan.

Gambar 4

Langkah 4
Setelah selesai pemasangan Guest Additions ini, sila Reboot Windows seperti arahan. Setelah itu, barulah anda boleh menetapkan saiz skrin Windows ini dengan cara klik pada menu VM VirtualBox:

Machine>Enter Fullscreen Mode atau >Adjust Windows Size

Seperti Gambar 5, saya galakkan hanya guna 2 mode ini sahaja jika anda tidak cekap menguasai Virtual Machine ini.

Gambar 5

Ketika ini anda tidak perlu lagi menekan papan kekunci Ctrl (kanan) jika "Enable" kan fungsi Mouse Intergration. Selamat mencuba!

05 Ogos 2010

Memasang Windows Dalam VirtualBox Pada Ubuntu

Memasang VirtualBox Pada Ubuntu

Pemasangan VirtualBox ini dilakukan pada Ubuntu 10.04 LTS. Serba ringkasnya, VirtualBox adalah tempat di mana kita boleh memasang Sistem Operasi (OS) yang lain ke dalam OS sedia ada. Saya suka cara ini kerana tidak perlu buat Dualboot selain dapat menguji Distro Linux dalam imej ISO tanpa perlu membazirkan CD-R untuk dibakar (burning on CD). Di sini saya ingin menunjukkan cara memasang Windows ke VirtualBox. Dengan ini, Windows dianggap sebagai "Guest".

Langkah 1
Anda perlu memasang VirtualBox terlebih dahulu. Ada pelbagai cara untuk memasang VirtualBox ini. Antara yang biasa dibuat ialah memasangnya melalui Ubuntu Software Centre, tutorial webup8, atau muat turun VirtualBox pakej DEB di laman rasminya.

Ada 2 edisi VirtualBox ini satu OSE dan satu lagi PUEL. Saya memilih VirtualBox PUEL, muat turun VirtualBox.deb (pilih mengikut versi Ubuntu yang digunakan) tersebut dan dwi klik pada fail yang dimuat turun tadi.

contohnya saya memilih yang ini: Ubuntu 10.04 ("Lucid Lynx") =>i386 iaitu virtualbox-3.2_3.2.6-63112~Ubuntu~lucid_i386.deb

Langkah 2
Selepas pemasangannya, logout dan login semula atau restart jika ianya tidak muncul dalam menu. Kemudian, hidupkan VirtualBox ini melalui menu: Applications>System Tools> Oracle VM VirtualBox

Langkah 3
Sebaik sahaja VirtualBox muncul pada skrin, klik pada butang NEW. Anda akan dapat lihat seperti gambar 1 dibawah. Selepas itu, klik butang NEXT. (Gambar 1)

Gambar 1
Langkah 4
Masukkan nama OS dan klik butang NEXT (gambar 2).

Gambar 2
Langkah 5
Tentukan jumlah memori untuk Windows tersebut. Secara lalai adalah RAM -192. Anda boleh laraskan jumlah RAM ini kepada 512. Peringatan akan dikeluarkan jika jumlah memori dilaraskan separuh daripada memori OS sedia ada (dalam komputer). Bagaimana pun, kuantiti memori ini boleh di ubah kemudian iaitu selepas pemasangan virtual hard disk ini. Klik NEXT untuk langkah seterusnya.

Gambar 3

Langkah 6
Seperti dalam Gambar 4, tandakan Create new hard disk jika anda belum mempunyai hard disk maya ini. Kemudian klik butang NEXT lagi.

Gambar 4

Langkah 7
Sila baca Welcome Wizard dan klik NEXT untuk proses selanjutnya. (gambar 5)

Gambar 5

Langkah 8
Pilih Dynamically expanding storage, ini memastikan virtual hard disk dapat mengembangkan saiznya jika ada keperluan akan datang. Kemudian klik NEXT. (gambar 6)

Gambar 6

Langkah 9
Manakala dalam Gambar 7, anda boleh tentukan lokasi Virtual hard disk ini berada, mungkin juga di dalam partisi lain pada hard disk anda jika mahu. Secara lalai (default), virtual hard disk ini akan berada di dalam home/.virtualbox/hardisk/. Saiz hard disk ini 10GB sudah cukup untuk Windows dan anda boleh laras untuk membesarkannya . Klik NEXT untuk langkah seterusnya.

Gambar 7

Langkah 10
Dalam Gambar 8, dipaparkan semua ketetapan yang telah dibuat sebelum ini. Tekan butang Finish jika anda bersetuju dengan ketetapan ini. Jika tidak setuju, klik BACK untuk berpatah balik (undo) atau Cancel untuk membatalkan proses mewujudkan virtual hard disk ini.

Gambar 8

Langkah 11
Setelah selesai semua langkah di atas, anda akan dapat lihat kandungan dan butir-butir hasil ciptaan virtual hard disk sebentar tadi. (gambar 9). Klik butang Setting untuk langkah berikutnya.

Gambar 9

Langkah 12
Seterusnya, sila beritahu kepada Virtual Machine yang baru ini untuk mengenali CD Rom komputer anda supaya ianya akan dapat terus berinterkasi sebaik sahaja Windows Installer di masukkan. Sila semak dan buat ketetapan berikut seperti gambar 10. Klik Storage, dalam ruangan Attributes>CD/DVD Device; pilih "Host Drive" dan klik OK.

Gambar 10

Langkah 12
Masukkan CD/DVD Windows Installer ke dalam CD-ROM dan tekan butang Start (ikon hijau anak panah) seperti dalam Gambar 9 di atas untuk proses pemasangan Windows ke dalam Virtual hard disk. Rasanya tidak perlu saya tunjukkan di sini bagaimana mahu memasang Windows, pemasangan Windows adalah sama seperti pemasangan sebenar.

Gambar 11

Pada peringkat pemasangan Windows ini, skrin OS Windows pada VirtualBox tidaklah sebesar skrin monitor anda. Untuk membesarkan saiz skrin ini, sila ikuti tutorial Virtual: Memasang Guest Additios. Selamat berusaha!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...