24 Disember 2011

Pelancaran Sabily Uhud 11.10


Sebagai penutup pada tahun 2011 ini, projek Ubuntu edisi Muslim iaitu Sabily.org telah melancarkan OS terbaru mereka yang diberi nama Uhud 11.10 dan menggunakan asas Ubuntu Oneiric Ocelot. OS terbaru ini dipancu oleh persekitaran Gnome 3 dan didatangi bersama kernel Linux 3.0.

Seperti edisi sebelum ini, Sabily Uhud ini masih lagi mengekalkan ciri-ciri Muslim seperti aplikasi mempelajari Al-Quran / alat carian dan pemberitahuan waktu solat, kalendar Islam (Hijra, Thawab, Monajad) dan sokongan untuk bahasa Arab serta  lain-lain lagi. Dan apa yang menariknya ialah ke semua aplikasi yang dibekalkan ini telah diubahsuai supaya memiliki keserasian yang khas untuk Gnome3 (gnome shell). Antara lain, turut memuatkan aplikasi baru seperti:
  • Alfanous: Enjin carian Quran
  • gnome-shell-extension-islamic-datetime: Kemudahan gnome Shell Extention untuk fungsi kalendar / masa.
  • gnome-tweak-tool: Kemudahan untuk mengendalikan dan suntingan Gnome 3 (ikon, tema, extention dll)
Seperti Linux Mint, Uhud 11.10 juga telah dipadatkan dengan Java, Medibuntu, gstreamer, kod sumber terlarang dan macam-macam lagi agar pengguna baru tidak perlu lagi membuang masa untuk memuat turun dan memasang plugin tambahan ini, iaitu berkonsepkan "Pasang-Siap".

Apa lagi yang ditunggu, jom baca selanjutnya di laman rasmi mereka di http://www.sabily.org/website/ dan boleh muat turun Uhud 11.10 ini secara percuma.

Wassalam.

20 Disember 2011

Muat turun Pakej DEB Untuk Ubuntu

Saya terpanggil untuk mengetengahkan entri ini kerana masih ada lagi segelintir pengguna Ubuntu baru yang bertanya kepada saya di manakah tempat (URL/Link) untuk muat turun aplikasi Ubuntu terutamanya pakej DEB. Mereka yang bertanya ini kerana komputer mereka terhad kepada sambungan internet, maksudnya mereka mahukan Offline Installer.

Terdahulu saya telah tuliskan entri memasang pakej secara tanpa talian melalui Synaptic Package Manager. Cara tersebut amatlah senang, saya tidak tahu di manakah kegagalan untuk muat turun pakej melalui kaedah ini. 

Ok, baiklah; selain daripada kaedah itu, sebenarnya APTonCD juga boleh memain peranan untuk memasang pakej secara tanpa talian internet. Cuma ada di antara meraka tidak tahu menggunakan APTonCD ini.

APTonCD mestilah dipasang dahulu pada komputer Ubuntu yang ada talian internet dan Ubuntu tersebut mestilah sama versi dengan Ubuntu yang tiada talian internet. Dengan APTonCD, kita boleh mencipta meta package dan aplikasi ISO untuk dibakar ke CD/DVD dengan syarat-syarat berikut:
  • Komputer Ubuntu yang ada talian internet telah mengemas kini dengan aplikasi terkini.
  • Komputer ini juga tidak pernah menjalankan autoremove, clean dan sebagainya yang memaksa membuang pakej sementara deb.
Anda boleh ikuti tutorial APTonCD di sini. Antara lain, anda boleh mencuba Keryx Project di sini.

Cara seterusnya ini adalah kegemaran saya untuk muat turun pakej DEB melalui:
  1. Ubuntu Package (laman rasmi)
  2. pkgs.org (laman third party)
Mungkin ada banyak lagi laman yang menyediakan pakej deb seumpama ini, oleh kerana Ubuntu telah menyediakan USC (Ubuntu Software Center) jadi tidaklah susah sangat untuk memasang aplikasi (mesti ada talian internet). Walaupun entri ini ringkas, setidak-tidaknya anda tahu apa yang mahu saya sampaikan.

Sekian.

16 Disember 2011

Memasang Microsoft Font Pada Ubuntu

Gambar 1

Penting ke Huruf Microsoft ini pada Ubuntu? Errmm, sebenarnya tidak penting jika tidak perlu, namun ianya diperlukan bagi menjamin keaslian jenis tulisan pada dokumen yang ditaip oleh kawan kita (jika mereka menggunakan MS Office). Libre Office dan Open Office pada Ubuntu akan automatik mengesan jenis huruf pada dokumen MS Office (2003/2007/2010), jika tiada; maka sistem TrueType Font pada Ubuntu akan menggantikan jenis tulisan yang paling hampir dan sesuai.

Sebahagian jenis font MS Office
Andale Mono
Arial Black
Arial (Bold, Italic, Bold Italic)
Comic Sans MS (Bold)
Courier New (Bold, Italic, Bold Italic)
Georgia (Bold, Italic, Bold Italic)
Impact
Times New Roman (Bold, Italic, Bold Italic)
Trebuchet (Bold, Italic, Bold Italic)
Verdana (Bold, Italic, Bold Italic)
Webdings

Jadi untuk mengelak kepincangan jenis huruf ini, adalah lebih baik memasang Microsoft Truetype Font pada Ubuntu. Caranya mudah sahaja, buka aplikasi Terminal dan salin-tampal arahan ini:

sudo apt-get install msttcorefonts

Semasa pemasangannya, akan muncul jendela seperti gambar 2 (configuring ttf-mscorefonts-installer), tekan kekunci Tab untuk mengalihkan ke butang arahan "OK" dan tekan kekunci Enter.

Gambar 2

Seterusnya, akan muncul jendela pengesahan lesen EULA seperti gambar 3 dan tekan kekunci Tab atau kekunci anak panah kiri/kanan untuk mengalihkan kursor ke "Yes". Kemudian tunggulah sehingga semuanya selesai.

Gambar 3

Ada kemungkinan perlu logout dan login semula Ubuntu anda untuk mengaktifkan Font ini.

Nota:
Jika anda telah memasang Wine 1.3 dan memasang MS Office melalui PlayOnLinux tidak perlu mengikuti tutorial ini kerana PlayOnLinux akan memuat turun dan memasang Microsoft Font secara automatik.

28 November 2011

Menjadi Penyelaras Web Persatuan Penduduk Blok F

Nampaknya blog deensokmo terganggu buat seketika, saya dengan suka rela menjadi pentadbir untuk membina satu web site oleh AJK Penduduk tempat saya menginap sekarang ini. Saya tahu saya bukannya orang IT, namun saya gagahi juga untuk menyahut cabaran ini.

Kepada pengujung blog deensokmo yang saya hormati, saya meminta maaf di atas ketiadaan entri-entri baru berkenaan Ubuntu khususnya. Bagaimanapun semuanya akan berjalan seperti biasa sehingga ke awal Desember ini.

Walaupun saya tidak ramai pengikut, namun saya percaya ada segelintir pengikut yang selalu mengikuti perkembangan blog ini. Jangan kecewa, saya masih seperti dulu cuma tanggungjawab kena dibahagi-bahagikan. Harap masih bersama saya memberi sokongan.

Sekian daripada saya.

02 November 2011

Muat turun Flash Video Youtube Atau Video Sumber Terlarang Melalui Ubuntu

JIka anda pernah menggunakan Ubuntu 9.10, semua flash yang sedang ditayangkan pada YouTube berada di dalam direktori /temp. Bermula Ubuntu 10.04 dilancarkan, ianya telah mematuhi satu undang-undang hakcipta terpelihara. Tidak dinafikan terdapat banyak cara memuat turun flash daripada Youtube dengan memasang Add Ons pada FireFox browser. Namun adakalanya Add Ons ini tidak berfungsi sama sekali apabila anda memainkan flash video daripada sumber terlarang. Saya tidak mahu cakap halaman tersebut. Anda cari sendiri, Ok.

Sebenarnya flash tersebut masih berada di dalam sistem simpanan sementara, cuma ianya akan dipadamkan sebaik sahaja anda meninggalkan halaman tersebut untuk ke halaman lain pula. Jadi, untuk anda mengambil flash itu, pastikan video flash itu telah tamat tayangan dan jangan tutup dahulu skrin tersebut.

Apa yang perlu anda buat ialah, bina skrip arahan mencari flash, salin semua skrip warna biru ini dan tampal ke text editor (gEdit). Skrip ini boleh dipakai untuk selamanya selagi tidak dipadamkan.

#!/usr/bin/env bash

for flashpid in $(pgrep -f flashplayer.so); do
cd "/proc/$flashpid/fd"
for video in $(file * | grep '/tmp/Flash' | sed 's/\(^[0-9]*\).*/\1/g'); do
echo "/proc/$flashpid/fd/$video"
done
done

(Skrip ini bukan saya yang cipta, harap maklum)

Kemudian simpan skrip ini dengan nama yang sesuai dan hujung nama skrip ini ditambah .sh dan simpan ke direktori Home (nama anda).contohnya: carivideo.sh

Sila berikan keizinan kepada skrip itu (klik kanan pada skrip > properties > permission > Execute). Sebaik tayangan video flash (di internet browser FireFox) selesai, buka terminal:

bash carivideo.sh

Output terminal akan memaparkan senarai nama flash yang tidak diketahui, contohnya: /proc/10390/fd/17. Seterusnya pada terminal ialah salin semula output tersebut dan masukkan nama video yang sesuai. contohnya:

cp /proc/10390/fd/17 ~/Videos/test2.flv

Flash tersebut akan disimpan ke dalam direktori Videos dan nama flash tersebut ialah test2.flv. gantikan test2 dengan nama yang sesuai. Gambar di bawah adalah contoh yang saya buat.


Tutorial ini melanggar hakcipta beberapa buah negara (atau tempat tinggal anda)...

Menjalankan PortableApps.com Pada Ubuntu

Melihat wajah Aplikasi Mudah Bawa (PortableApps) ini, pasti ramai di kalangan kita sudah pun mengetahuinya. Jadi tidak perlulah saya menulis intronya. Gambar yang anda nampak di sebelah ini ialah menu platform Portable Apps.com, di mana di dalamnya terdapat berpuluh-puluh aplikasi yang disusun mengikut kategori seperti Pembangun, Pendidikan, Permainan, Grafik dan  Gambar, Internet, Muzik dan Video serta banyak lagi.

Seperti namanya, Mudah Bawa; jadi semua aplikasi dalam satu ini boleh dipasang pada komponen yang mudah dibawa seperti USB Pendrive, Memori Kad, Cakera Keras, telefon bimbit (yang ada memory stick) dan sebagainya.

Selain itu, ianya juga boleh dipasang pada komputer dan hanya memerlukan satu direktori sahaja jika tidak mahu dipasang pada USB Pendrive. Baiklah, berikut saya lanjutkan bagaimana kita boleh jalankan aplikasi ini pada Ubuntu.
  • Mula-mula KLIK SINI untuk pasangkan wine. (abaikan jika sudah memasang wine)
  • Selesai muat turun, dalam direktori tersebut anda akan dapati ada satu fail PortableApps.com_Platform_Setup_2.0_Pre-Release_4.2.exe (no 1), berikan keizinan fail ini untuk sistem execute. Klik kanan padanya > Properties > Permission > dan tandakan pada Execute. (versi yang saya muat turun ini mungkin tidak sama dengan versi yang anda muat turun).
  • Selepas itu, Klik kanan fail.exe ini dan pilih ke Open with wine Windows loader. Lihat gambar 2 di bawah untuk langkah seterusnya.
Gambar 2
  • Browse (no 2) ke direktori yang diciptakan tadi iaitu direktori PortableApps (no 3). Klik butang Ok (no 4) dan klik butang Install (no 5). untuk memulakan pemasangan.
  • Sistem Wine sedang menjalankan pemasangan fail exe ini, gambar 3.
 Gambar 3

  • Setelah siap dipasang, buka direktori PortableApps dan jalankan fail Start.exe. Akan muncul menu platform seperti gambar mula-mula di atas. Perhatikan pada panel Notification Area, terdapat satu ikon PortableApps dan ini menunjukkan ianya sedang berjalan (running).
  •  Seterusnya, mari kita pasang aplikasi ke dalam platform ini. Klik ikon PortableApps (pada panel). Perhatikan terdapat satu menu pelancar "Manage Apps", klik padanya. Ada 2 cara untuk kita menambah aplikasi baru:
  1. Get More Apps - Muat turun pakej aplikasi dan pemasangan automatik berdasarkan aplikasi yang telah kita tandakan seperti gambar 4. (mesti ada sambungan internet)
  2. Install a New Apps - Muat turun aplikasi dalam format *.paf.exe yang kita pilih sendiri terlebih dahulu dan pemasangan cara ini adalah tanpa talian internet (off line installer).
 Gambar 4

Saya andaikan anda sudah pun memasang beberapa aplikasi, jadi semua aplikasi ini akan disusun secara automatik dan ini akan memudahkan kita mencapai mana-mana aplikasi yang kita mahu jalankan.

Nota:
Direktori PortableApps (bersama aplikasinya sekali) yang kita cipta tersebut sebenarnya boleh disalin-tampal (copy and paste) ke USB pendrive utk membolehkan kita menggunakan platform Portable Apps ini pada komputer yang lain samada OS Ubuntu atau Windows. Hanya klik pada fail Start.exe sahaja.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman rasminya di PortableApps.com.

25 Oktober 2011

Inkscape: Menukar Warna Teks Kepada Warna Objek

Entri ini adalah kesinambungan entri Inkscape saya yang lepas. Saya bukanlah pandai sangat menggunakan aplikasi penyunting grafik Inkscape ini, namun sejak kebelakangan ini suka sangat melekat di Inkscape. Jadi, saya mahu berkongsi sedikit tutorial Inkscape bagaimana warna teks dapat kita tukarkan kepada warna objek lain. Contoh tutorial yang saya buat ialah menggunakan objek daun yang hijau. Saksikan video bisu yang saya muat naik ini. Langkah demi langkah ada di bawah.


(A) Bahan-bahan
  1. Inkscape versi 0.48.2 (boleh dipasang melalui Ubuntu Software Center)
  2. Sekeping gambar daun hijau (suka hati anda mahu pakai gambar apa).
(B) Suntingan teks
  1. Perkataan: deen
  2. Jenis font: Impact
  3. Saiz font: 45px atau biar besar dan ikut selera.
 (C) Document properties (Shift + Ctrl + D)
  1. Saiz: A8
  2. Orientation: Landscape

(D) Langkah-langkah berikut adalah turutan di dalam video. (Muat turun lagi senang).
  1. Buka aplikasi Inkscape. 
  2. Import gambar daun (Ctrl + I). Kecilkan objek daun.
  3. Bina perkataan (F8) "deen" dan padankan ke atas objek daun.
  4. Select objek daun, kemudian klik menu Object > Pattern > Object to Pattern.
  5. Select objek daun + (Shift) + select teks deen.
  6. Klik menu Path > Intersection.
  7. Select teks deen dan duplicate (Ctrl + D) untuk menghasilkan teks deen bayang.
  8. Select teks deen bayang, alihkan sedikit kedudukannya ke bawah dan tukarkan warnanya ke hijau gelap.
  9. Select teks deen bayang, tekan tools Lower selection to buttom (End) dan susun kedudukannya seperti bayang.
  10. Option: anda boleh ciptakan stroke border jika mahu seperti yang saya lakukan iaitu Select teks + (Shift) > klik warna yang sesuai. Lakukan perkara yang sama juga untuk teks deen bayang.
Nota:
Anda boleh tekan (F1) untuk pintasan Select and transform objects (memilih atau menukar arahan sebelum klik pada tools yang lain). Tulisan bewarna Unggu ialah tekan papan kekunci.

Anda sudah pun siap, selain teks, kaedah ringkas ini boleh juga digunakan untuk lain-lain suntingan gambar.

24 Oktober 2011

Mencetak Dokumen MS Word 07 Ke PDF Melalui Ubuntu

Mereka yang menggunakan Libre Office atau Open Office tiada masalah untuk mencetak dokumen tertentu ke format PDF, hanya tekan butang PDF semua dokumen daripada .odt akan bertukar kepada .pdf. Tapi bagaimana pula seseorang itu yang memasang Micsrosoft Office pada Ubuntu melalui Wine ingin menukar dokumen itu ke format PDF? Pemasangan CutePDF tidak berhasil melalui Wine dan banyak lagi aplikasi kecil "print to PDF" yang dipasang ke dalam wine juga gagal bekerja sebagai virtual pdf printer. Sebenar jika mereka pakar sistem Unix dan wine boleh sahaja membuat beberapa konfigurasi untuk membenarkan satu-satu aplikasi berfungsi dengan baik dalam Wine. Tetapi saya bukanlah golongan orang yang demikian. Oleh kerana itu,  saya mengambil jalan mudah iaitu dengan memasang cups-pdf.

CUPS-PDF
CUPS-PDF menyediakan PDF Writer backend kepada CUPS. Ini bolehlah digunakan sebagai satu pencetak maya dalam satu rangkaian dokumen tanpa kertas atau boleh juga membuat persembahan ujian pada CUPS. (Sistem Pencetak Linux)

Pemasangan CUPS-PDF
Jalankan Ubuntu Software Center dan taipkan cups-pdf, tekan butang Install untuk mula memasang.

Membuat semakan pencetak.
Jalankan aplikasi Printing, sila periksa adakah wujud pencetak PDF di situ. Jika tiada sila Add > Printer > generic CUPS printer. Ada kemungkinan anda perlu Logout dan login semula Ubuntu anda untuk restart sistem CUPS. Apabila berjaya, sepatutnya seperti gambar 1 di bawah.

Gambar 1

Mari kita uji pencetak maya PDF ini melalui Microsoft Word 2007 (dalam Wine). Buka mana-mana dokumen sedia ada .docx atau .doc atau buat 1 dokumen baru melalui MS Office Word 07. Contohnya gambar 2 di bawah.

 Gambar 2

Kemudian tekan papan kekunci Ctrl+P, jendela Print akan muncul dan sila pilih nama pencetak iaitu PDF dan klik OK untuk menukarkan dokumen tersebut ke format pdf. Rujuk gambar 3.

Gambar 3

Sebaik sahaja klik OK, di mana dokumen.pdf ini berada? Semua dokumen akan di tempatkan direktori Home anda contonhya: deensokmo/PDF/ < nama dokumen pdf >.

Sekian..

umPlayer: Muat Turun Video YouTube Dan SHOUTcast Radio Pada Ubuntu

Gambar 1

umPlayer bukan sekadar pemain muzik dan pemain video yang biasa, seperti juga pemain VLC yang mempunyai keistimewaan tersendiri. Antara ciri-ciri utama yang membuatkan saya berminat dengan umPlayer ini ialah:
  • Muat turun video daripada Youtube
  • SHOUTcast Radio - mendengar radio internet
  • Sebagai pemain muzik
  • Sebagai penayang video
Pemasangan umplayer (kredit kepada Webupd8.org)
Menambahkan PPA umPlayer pada Ubuntu (Ubuntu 10.04, 10.10, 11.04, 11.10) dan pemasangannya dengan menyalin dan tampal baris arahan berikut pada terminal:

sudo add-apt-repository ppa:webupd8team/umplayer
sudo apt-get update
sudo apt-get install umplayer

Jika umPlayer gagal dihidupkan, ini adalah berpunca daripada isu "subtitles", jadi perlu dinaik taraf melalui PPA MPlayer harian (MPlayer daily builds PPA):

sudo add-apt-repository ppa:motumedia/mplayer-daily
sudo apt-get update
sudo apt-get dist-upgrade

Cuba hidupkan semula pemain umPlayer ini. Muncul seperti gambar 1 yang berskrin hitam kerana belum memainkan apa-apa video lagi. Dalam ruangan / kotak carian - Youtube - sila taipkan video kegemaran anda dan akan muncul jendela baru yang menyenaraikan beberapa berkaitan video pencarian anda seperti gambar 2.

 Gambar 2

Klik kanan pada salah satu senarai video itu terdapat 3 pilihan iaitu:
  • Play video
  • Record video
  • Watch on YuoTube
Untuk mendengar SHOUcast Radio (radio internet), klik menu Tools -> SHOUTcast dan akan terpapar jendela senarai radio internet seperti gambar 3 di bawah.

Gambar 3

Terdapat kotak carian di hujung bawah, taipkan kata kunci contohnya melayu atau cinta atau juga muzik untuk menapis radio internet berbahasa melayu. Kemudian dwi klik atau klik kanan dan muncul pilihan Tune In untuk mendengar.

Tips:
Jika anda berminat untuk merakam radio internet ini jangan lupa pasangkan Audio Recorder pada Ubuntu anda.

23 Oktober 2011

Cara Menarik Kuat Isyarat Wifi Dan 3G Broadband

Percayakah anda? Dengan hanya menggunakan barang-barang dapur dan perkakasan terbuang mampu menarik signal Wifi lebih kuat atau mungkin juga boleh untuk menarik signal 3G Broadband modem kepada tahap maksimum. Anda boleh ketawa bila melihat beberapa gambar di bawah.


Dengan menggunakan penutup cerek air, nampaknya 3G lebih baik ermmm..


Ini pula menggunakan penutup periuk 10 inch.. Tarik signal wifi. Amacam? ada kelas?


Satu lagi cara tarik signal 3G, mangkuk aluminium pun jadi...


Hah, ini pula bekas loyang (bekas buat kuih) yang terbiar, daripada berhabuk ada faedah sampingan rupanya!


Bekas tin coklat buat kuih. Ambil pembalut aluminium kasi balut dan tindih atas 3G USB modem..

Pendek kata, material yang berasaskan aluminium memang dijadikan penarik signal frenkuensi... Jadi selepas ni mungkin anda boleh mencubanya sendiri.. renung-renungkan dan cuba amal. (buat diam-diam ok)

Merakam Streaming Audio Melalui Ubuntu

Ada beberapa cara untuk kita merekod apa sahaja audio melalui Ubuntu samada suara melalui mikrofon, Streaming audio (online radio) perbualan Skype mahupun Google Talks-plugin dan lain-lain. Saya cuba mencari dan memasang pelbagai aplikasi yang membolehkan saya merekod radio online, namun terdapat pelbagai masalah seperti kualiti audio yang lemah, terdapat gangguan audio (noisy) dan macam-macam ragam dengan Ubuntu ini. Dan akhirnya saya terjumpa satu kaedah yang praktikal untuk merekod bunyi yang sedang berkumandang di corong pembesar suara.

Rakaman audio yang akan saya tunjukan di bawah ini adalah menggunakan Ubuntu 11.04, namun saya percaya tiada masalah untuk sebarang versi Ubuntu. Tutorial rakaman audio ini melibatkan streaming audio (radio online) dengan sambungan ke THR Gegar Pantai Timur.

Langkah 1
Dengar THR Gegar Pantai Timur - Klik THR Gegar Capsule

Seharusya anda dapat mendengar radio online tersebut dengan lancar. Jika gagal, sila kemaskini versi terkini Adobe Flash Player atau periksa kelajuan internet.

Langkah 2
Gstreamer plugin: Ini adalah persediaan ke dua untuk memastikan sistem audio Ubuntu anda dapat menyokong Wav dan Flac, ugly/multiverse untuk mp3 dan bad/multiverse untuk AAC dan m4a. Pasang pakej ini melalui terminal:

"sudo apt-get install gstreamer0.10-plugins-base gstreamer0.10-plugins-good gstreamer0.10-plugins-ugly gstreamer0.10-plugins-ugly-multiverse gstreamer0.10-plugins-bad gstreamer0.10-plugins-bad-multiverse"

Nota: Salin semua arahan di atas tanpa simbol quote.

Langkah 3
Memasang aplikasi PulseAudio Volume Control atau pavucontrol, buka Ubuntu Software Center dan taipkan pavucontrol (PulseAudio Volume Control).

Langkah 4
Pastikan THR Gegar masih berkumandang. Hidupkan aplikasi Pulse Audio Volume Control dan Sound Recorder - Sound Recorder adalah aplikasi lalai pada Ubuntu. Lihat gambar 1 di bawah.

Gambar 1

Langkah 5
Aplikasi Sound Recorder:
>Record as: pilih ogg atau mp3

Mulakan rekod pada butang Sound Recorder. Kemudian klik tab Recording pada PulseAudio Volume Control, buat 2 tetapan berikut:
>Show: Application
>record stream from: pilih Monitor of Internal Audio Analogue Stereo. 

Langkah 6
Klik butang stop pada Sound Recorder untuk mengakhiri rakaman dan klik butang Save untuk simpan. Lihat gambar 2 di bawah.

Gambar 2

Fail yang ingin disimpan tersebut boleh dinamakan mengikut kesesuaian atau ikut sahaja nama lalai yang telah disyorkan (format tarikh dan masa). 

Sekarang anda boleh main-semula (playback) rakaman yang telah direkodkan tadi. Ada kemungkinan fail pertama tadi audionya terputus-putus, namun ulangi Langkah 5 dan anda akan dapati audionya kini lebih baik.

Tips:
Selain menggunakan Sound Recorder (default Ubuntu), anda boleh juga memasang Audio Recorder di mana tetapannya yang lebih terperinci dan menyokong persekitaran Unity.

Selamat mencuba.. jika anda ada cara yang paling senang silalah berkongsi dengan saya, sila tinggalkan komen..

20 Oktober 2011

Memasang Gnome3 Pada Xubuntu 11.10

Apa yang menarik pada Xubuntu 11.10 ini ialah cubaan saya memasang Gnome3 atau juga dikenali Gnome Shell berjaya tanpa saya menemui bug.

Sebelum anda mahu memasang Gnome3 pada Xubuntu 11.10 ini, paling penting grafik kad anda telah dipasang pemacu grfik kad yang sesuai dengan perkakasan komputer anda tersebut seperti Nvidia atau Intel.

Video klip di bawah adalah hasilnya setelah saya memasang Gnome shell pada Xubuntu 11.10.


Pemasangan Gnome Shell
Buka Ubuntu Software Center dan taipkan perkataan "gnome-shell", kemudian klik untuk pemasangannya.

Selepas siap dipasang, logout dan semasa login pilih session Gnome, masukan katalaluan anda.

Mungkin pertama kali login, wallpaper mungkin biru sahaja. Jangan risau anda boleh menukarkan wallpaper tersebut dengan klik kanan pada Desktop.. Disitu ada pilihan untuk membuat tetapan ini.

Aplikasi Favorite atau launcher disebelah kiri disertakan Nautilus sebagai File Manager sebagai lalai. Namun anda boleh tukarkannya dengan Thunar jika terasa Nautilus agak berat.

Anda boleh juga boleh memasang Gnome Tweak Tools untuk membuat beberapa perubahan pada tema Gnome shell. Melalui Ubuntu Software Center, taipkan perkatan gnome-tweak-tool dan klik butang install. Untuk mengaksesnya, Taipkan gnome tweak pada ruang pencarian Gnome Shell.. Aplikasi ini bukan lagi namanya gnome tweak tetapi sudah bertukar kepada nama "Advanced Setting"

Bagi mencantikkan lagi tema gnome shell ini anda boleh memasang tema biru Ambiance. Selain itu bagi memudahkankan menukar tema yang berlainan pula anda boleh memasang Gnome Shell Theme Selector. Mungkin anda juga perlukan kepada Extension untuk Gnome Shell ini, ikut di sini untuk  memasang extensions lain-lain. Terima kasih saya ucapkan kepada Webupd8.org.

Semoga seronok bermain dengan Gnome3 ini!

19 Oktober 2011

Tentang Xubuntu 11.10 (Oneiric Ocelot)

Dalam diam selama 3 tahun, sebenarnya saya tidak akan terlepas terhadap semua versi-versi Xubuntu selain daripada versi Ubuntu. Xubuntu 11.10 juga diberi nama Oneiric Ocelot seperti  Ubuntu 11.10.

Mungkin anda ingin tahu kenapa saya suka Xubuntu selain Ubuntu, bagi peminat Distro linux amnya, Xubuntu bukanlah distro yang baru muncul. Anda mungkin perlu membaca Xubuntu daripada halaman rasminya di Xubuntu.org untuk maklumat lanjut. Perkara utama yang membuatkan saya suka akan Xubuntu ini ialah kerana asas komponennya menggunakan XFCE. Perenggan di bawah saya ulaskan serba sedikit berkenaan Xfce ini.

Pelepasan setiap versi Xubuntu adalah serentak dengan Ubuntu, Kubuntu dan Edubuntu. Meskinpun ianya tidak popular seperti Ubuntu, namun banyak tutorial Ubuntu sebenarnya boleh diadaptasikan kepada Xubuntu. Perkara ini akan anda ketahui jika mendalaminya. Dengan menggunakan Xfce sebagai persekitaran meja kerja, maka akan jadilah Xfce + Ubuntu menghasilkan Xubuntu.

Xubuntu juga bernaung di bawah syarikat Canonical yang mana apa yang dijanjikan untuk Ubuntu juga Xubuntu dapat menikmatinya. Sudah pasti versi 11.10 banyak pembaharuan yang telah diketengahkan oleh Canonical.

Jika Ubuntu menggunakan Nautilus sebagai File Manager, Xubuntu pula menggunakan Thunar sebagai File Manager-nya. Pemilihan Thunar  pada Xubuntu adalah berketepatan yang mana ciri-cirinya yang lebih ringan berbanding Nautilus mahupun Dolphine - KDE. Antara ciri-ciri lain yang menarik ialah seperti memiliki panel versi xfce4-panel, Windows Manager daripada xfwm4, System Setting menggunakan xfce-setting, Session manager menggunakan xfce4-session dan banyak lagi yang menggunakan kod xf dihadapannya. Saya juga suka kepada gthumb sebagai Photo Viewer lalai. Terdapat banyak lagi keistimewaannya yang tidak cukup untuk saya taipkan di sini.

Oh! ya, yang menarik perhatian saya lagi ialah sejak Xubuntu 11.04 lagi telah kemaskinikan dengan Xfce Desktop Enviroment versi 4.8, kini wajahnya amat ketara berbanding versi sebelum ini dan saya sendiri dapat alami peningkatan kecekapannya yang meminimumkan penggunaan kuasa prossessor. Ditambah lagi Xubuntu 11.10 ini didatangkan dengan kernel linux versi 3.0. Oleh yang demikian, versi Xubuntu hari ini telah mengalami kepesatan pencapaiannya dalam menyokong pemacu gajet-gajet yang serba baru yang lahir pada ketika ini.

Jadi kepada mereka yang belum lagi merasai kemanisan Xubuntu, bolehlah memuat turun Xubuntu ini di pautan halaman rasminya. Insyaallah, blog saya akan menyelitkan beberapa entri berkenaan Xubuntu jika tiada ara melintang.

Automount NTFS Partisi Xubuntu 11.10

Memandang saya selalu lupa cara mudah untuk auto mount NTFS kat Xubuntu, jadi ini sebagai rujukan saya dan untuk anda juga kalau mahu.

1. Memeriksa partisi NTFS
sudo fdisk -l

2. Membuat direktori dalam media
sudo mkdir /media/Data

3. Membuat konfigurasi
sudo mount /dev/sda1 /media/Data -t ntfs

sda1 mungkin berbeza milik saya dan anda..

15 Oktober 2011

Blog Deensokmo Dalam Pembinaan Tema

Perhatian buat pengunjung semua!

Saya dengan tidak sengaja telah mengedit beberapa perubahan tema blog, dan akhirnya tema, layout dan beberapa widgets blog ini menjadi kacau bilau.. Maaf di atas kesulitan ini. Insyaalah semuanya akan selesai sedikit masa lagi..

14 Oktober 2011

Temu Lawak Bersama DeenSokmo

Saya rasa inilah entri wawancara yang pelik pertama kali anda terjumpa pada mana-mana blog, entah siapa yang datang membuat temuramah dengan deensokmo ini, saya pun tak kenal, dan daripada mana beliau muncul pun saya tak tahu..

Siapakah gerangan yang menemuramah deensokmo tidak penting, yang penting kita saksikan temubual ini bersama deensokmo.

Makhluk Asing: MA
DeenSokmo: DS

MA: Apa khabar Densokmo? Sihat?

DS: Khabar baik. Dah tanya apa khabar.. kenapa tanya sihat pulak? Kamu tu sihat ke?

MA: Aku sihat. Pertama sekali, aku nak ucapkan terima kasih kerana sudi bersama dengan aku. Aku harap kamu dapat menjawab semua soalan dan tuduhan aku ini dengan mulianya.

DS: Sama-sama. Insyaallah, semua akan aku jawab dengan tenang. Apa yang beria sangat kamu mahu menemu bual aku? Aku ... (perbualan terhenti. twitt..twitt..twitt.. Ada burung lalu).

MA: Ehem. Burung apa tu?

DS: Burung Pidgin..

MA: Burung Pidgin? Burung Pidgin burung apa tu? (perut MA Berkerut seribu, nak berkerut dahi, dahi tak ada).

DS: Burung Pidgin ni macam murai jugak. Itu sebabnya dulu aku pasang Pidgin IM untuk bersembang dan bermurai dengan kawan aku. Sekarang burung tu dah tak ada, yang ada Empathy IM iaitu bukan sejenis burung tapi sejenis hubungan akrab sesama kita. Kalau kamu mahu, burung Pidgin aku boleh tangkap semula.

MA: Oh! Begitu, fahamlah aku. Kenapa kamu buat blog pasal Ubuntu? Kenapa tidak dimasukkan artikel pasal ayam, burung, unta, harimau, ikan ke? Atau perkara lain yang mungkin boleh menaikan trafik pengunjung blog?

DS: Ni aku nak bagitau. Benda yang kamu sebut tu (ayam, burung, unta.. dan blaa.. blaa) adalah tergolong dari kalangan haiwan. Nama-nama Ubuntu sebenarnya diambil sempena nama-nama haiwan terpilih contohnya Koala, Lynx, Meerkat dan sekarang Ubuntu 11.04 dinamakan oleh haiwan Narwhal. Idea blog ini dihiasi dengan Ubuntu kerana rasa ingin berkongsi. Sebab blog tentang muzik, politik, artis, filem dan automotif sudah ramai orang yang buat. Pengunjung blog aku boleh dibilang jari, kalau jumlahnya ramai pun sekali pun, apa yang aku dapat?

MA: Kenapa ada 2 resepi Nasi Dagang dan Sup Tulang dalam blog deensokmo? Tak mahu gugurkan  ke entri resepi ini?

DS: Nasi dagang asalnya dari Pantai Timur dan Sup Tulang terkenal di serata Malaysia. Aku suka makan nasi dagang hee hee.. dan hirup sup tulang. Huu.. huuu.. huu. Nasi dagang inilah yang memberi ilham kepada aku untuk meletakan perkataan SOKMO dihujung DEEN. Sup Tulang pula membawa maksud blog ini sesuai kepada semua rakyat di Malaysia dan kepada Asia Tenggara khususnya. 2 Resepi ini tidak akan dibuang, malah ada pengunjung blog yang jatuh hati kepada Ubuntu dalam mencari resepi nasi dagang di internet dan terjumpalah blog resepi Ubuntu ini.  Jadi, 2 entri resepi itu boleh aku katakan jerangkap samar.

MA: Oh! Ya. Apa maksud "Doh kalu lagu tu, guane gamok"? Aku perhatikan slogan ini tidak pernah berubah walaupun tema blog telah berubah-ubah. Boleh kamu jelaskan secara terperinci?

DS: Haa.. haa.. haa. Aku sendiri pun tak tahu kenapa aku suka ayat itu. Ada banyak makna yang tersirat. "Doh kalu lagu tu" bermaksud "If like that" atau dalam Bahasa Malaysia ialah "Jikalau begitu". Manakala pegertian "guane gamok?" adalah makna kepada soalan yang dituju kepada seseorang itu tentang reaksinya setelah menyelaminya sebentar tadi. Atau ringkasannya "Bagaimana penerimaanmu?" dan dalam bahasa Inggeris "How do you feel?" Adakah kamu faham? Okey aku jadikan satu ayat mudah dengan mencantumkan 2 ayat tersebut iaitu "Jikalau begitu, bagaimanakah penerimaanmu?" (soalan ini dilontarkan kepada pembaca blog). Sama juga jika saya sebut "If like that, how do you feel?"..(atau boleh juga "what do you think?").

MA: Baiklah, soalan seterusya. Ini soalan menjerat. Sejak kamu menggunakan dan mempromosi Ubuntu ini, apakah kamu tidak pandang kepada OS lain seperti Windows? Dan  apakah yang kamu nampak perkembangan Windows hari ini?

DS: Menjerat ker? Biasa jer. Aku guna Ubuntu dan promosi bukan niat keuntungan dan Windows masih lagi menjadi OS ke dua aku. Jadi, tolong nasihatkan kepada pembaca semua walau pakar mana sekali pun dalam Ubuntu-linux, ingat ada masa dan ketika Windows akan menjadi penawar. aku nak ambil 1 teladan positif daripada kisah Nabi Muhammad S.A.W dalam mengembangkan syiar Islam, baginda tidak pernah menolak kaum bukan Islam meskinpun beliau dimusuhi olehnya. Beliau juga tidak menganggap golongan kafir sebagai musuh, bahkan menerima kehadiran golongan ini di dalam empayar negara Islam. Di sini maksud aku, bukan soal agama; tetapi pokoknya menjurus ke arah keperibadian beliau yang mencerminkan kemurliaan seorang pemimpin yang berkawan tanpa mengira agama dan bangsa. Menyentuh perkembangan Windows sekarang ini, terus terang aku katakan, sejak Win7 dikeluarkan, aku jarang benar buka Windows dan hanya menggunakannya untuk menyelesaikan masalah kerja dan beberapa perisian yang Ubuntu masih belum lagi menyokongnya. Win 7 Sekarang pun belum khatam lagi, dah muncul pula Win 8 Trial.. ermm.. tak banyak yang aku tahu berita tentang Windows. Sebab dalam Windows aku jadi pengguna biasa sahaja.

MA: Lazimnya penulis blog yang berkait komputer dan IT adalah kerana mereka memiliki aliran komputer semasa mereka menuntut di kolej  atau Universiti dahulu. Jadi adakah kamu juga daripada aliran Sains Dan Komputer? Dan kamu berasal daripada kolej mana?

DS: Itu pandangan kamu sahaja. Lebih kurang 13 tahun yang lalu aku belajar di Politeknik dalam bidang Elektronik. Bidang ini tidak kena-mengena dengan komputer pada waktu itu; dan pada masa itu juga tidak seorang pun pelajar yang mampu memiliki mesin pencetak, apatah lagi sebuah komputer riba. Tokey balak jer yang mampu beli pada harganya sekitar RM8,000 untuk sebuah komputer dan telefon bimbit asas (tahun 1996) sekitar RM3,500. Kalau kamu tak percaya, bila kamu sampai rumah kamu nanti, tolong tanya bapak kamu harga gajet-gajet ini pada tahun tersebut. Pendek cerita, aku hanya mengenali komputer pada tahun 2007 walaupun aku telah membelinya pada tahun 2004 melalui skim yang ditawarkan oleh KWSP.

MS: Lagi soalan aku. Susah tak hendak menulis dan mengekalkan blogspot Ubuntu ini?

DS: Eh! Menulis blog yang mempunyai artikel sumber terbukalah yang senang. Sebab apa, bila baca blog orang lain.. faham apa yang dia cuba sampaikan dan kemudian salin semula ke blog kita dengan olahan kita sendiri. Ayat biar menyimpang tidak mengapa, yang penting maksud yang hendak dipaparkan itu tidak lari. Hendak mengekalkan populariti ke atau supaya blog ini tidak terkubur? begitu ker maksudnya? Tak kiralah yang mana satu, sebenarnya kalau ditanya soalan ini kepada blogger lain jawapan yang biasa dengar iaitu MASA. Ya! Masa adalah menjadi penentu dan ukuran, aku beri alasan ini kerana aku pun ada komitmen lain yang sedang menunggu.

MA: Apakah sumbangan kamu setakat ini terhadap komuniti Ubuntu terutamanya di Malaysia ini? Adakah kamu mengenali blogger Ubuntu yang lain atau penulis blog sumber terbuka yang lain di Malaysia amnya?

DS: Aku penulis bebas, jika suatu hari nanti aku nak tulis pasal kereta, aku akan tulis. Namun buat masa ini belum lagi. Sumbangan aku? Err.. adalah satu dua, antaranya menghidupkan kempen memiliki Baju Ubuntu.. mempromosikan Ubuntu kepada kawan-kawan melalui MukaBuku, secara lisan, dan itu sahaja kot. Susah hendak bergerak seorang, kena buat geng baru best skit. Aku ada juga menyertai KOSTEM (Koperasi Sumber Terbuka Malaysia) untuk merapatkan jurang komuniti ini. Ditanya mengenai hubungan aku dengan blogger (sumber terbuka) yang lain, hanya 1 orang jer yang aku kenal gitu-gitu. Jadi, gitu-gitulah aku.. 

MA: Sebelum aku mahu mengakhiri wawancara ini. Jika sebelum ini aku tanya tentang perkembangan Windows, jadi bagaimana kamu melihat perkembangan OS linux khususnya di Malaysia ini?

DS: Ini pandangan aku sahaja. Perkembangan Linux di Malaysia sudah mula menapak kehadapan, tapi ditahap yang masih belum dapat dibanggakan. Kewujudan tablet PC Android dan telefon pintar Android membuktikan rakyat Malaysia sudah mula menerima Linux meskinpun ada diantara mereka tidak sedar yang mereka telah pun menggunakan linux di sebalik gajet Android tersebut.

MA: Akhir sekali, apakah harapan yang bermain di fikiran kamu dan boleh tak selitkan sedikit mesej kepada pengguna yang masih belum lagi menggunakan Ubuntu atau takut-takut untuk mencuba Ubuntu...

DS: Semua orang ada harapan. Tinggi atau rendah, impian tercapai atau tidak bukanlah ukuran aku. Cuma, aku nak beritahu bahawa kita ada pilihan, mencuba sesuatu yang baru itu sebenarnya indah. Ubuntu adalah percuma, bebas virus, lebih stabil dan ada Umphh!! Serta banyak lagi faedah lain. Aku sendiri pun masih belajar. Mesej aku ialah kepada pengguna Windows janganlah suka menabur fitnah mengatakan Linux adalah susah, semua itu karut dan tidak berasas. Cuba Ubuntu dulu baru bercakap. Rasai sendiri dulu baru komen. Ingat, sesuatu yang percuma itu tidak boleh dibandingkan 100% dengan yang berbayar.

MA: Baiklah, kita pun sudah sampai ke penghujungnya. Aku ucapkan terima kasih sekali lagi kepada saudara DeenSokmo. Semoga berjaya dan tabah menangani cabaran.

DS: Sama-sama kembali. Kesempatan ini juga aku nak ucapkan tahniah kepada mereka yang telah cuba menggunakan Sistem Operasi Ubuntu samada secara Live atau pasang pada komputer. Sekian. Wassalam.

12 Oktober 2011

USU 7: Sebuah Distro Kelahiran Ubuntu


USU 7. Distro ini juga lahir daripada GNU/linux Ubuntu seperti Zorin OS, LinuxMint, Pinguys, Bodhi Linux dan sebagainya. USU membawa maksud Distro GNU/Linux Yang Terbaik! daripada bahasa Bulgarian.

Distro ini dibangunkan oleh dua orang iaitu Krasimir Stefanov dan Svetoslav Stefanov (adik beradik ke ni?). Tidak banyak maklumat yang dapat saya perolehi daripada mana versi 7 ini diterbikan, adakah ada USU 6 atau 5 sebelum ini? Bagi pengemar Distro yang berasaskan Ubuntu, mungkin USU 7 ini dijadikan koleksi untuk simpanan mahupun dipasang pada komputer. USU 7 menawarkan 3 kategori iaitu:

  1. USU Desktop - Sesuai untuk komputer atau Desktop PC yang mana ianya difokuskan untuk pelajar, guru dan pengguna biasa.
  2. USU Mini - Juga sesuai untuk komputer biasa dan telah dipilih beberapa aplikasi penggunaan seharian seperti mendengar lagu, menaip, menonton video dan lain-lain. 
  3. USU Netbook - Dikhaskan untuk komputer riba yang kecil atau lebih tepat untuk Netbook, yang mana memiliki skrin kecil dan penggunaan memori yang terhad dan bagi memanjangkan tempoh hayat bateri.
Apa yang menarik perhatian saya, semua kategori USU ini telah disumbatkan Medibuntu dan Ubuntu Restricted Format supaya ianya terus dapat memainkan sesetengah format video dan MP3 sebaik sahaja dipasang. Selain itu, juga disertakan pelbagai perisian percuma untuk aplikasi pejabat, internet, lagu dan video, pendidikan, grafik, permainan dan lain-lain.

Meskinpun laman rasminya tidak disertakan link mana-mana forum, tidak perlu risau kerana sebarang kekeliruan boleh sahaja merujuk kepada forum Ubuntu, blog Ubuntu dan sebagainya.

Oleh kerana saya sedang memuat turun USU 7 ini, (ketika entri ini ditulis) saya tidak pasti samada USU 7 ini diceduk daripada versi Ubuntu 10.04, 10.10 atau versi sebelum ini lagi.
Bila selesai bakar ISO ke USB drive atau ke CD/DVD, sila boot komputer melalui media yang anda buat tersebut. Dan semasa USU startup, cepat-cepat tekan F2 dan pilih bahasa English..

 Jadi, jangan lepaskan peluang untuk mencuba USU 7 ini!

08 Oktober 2011

Asas-asas Cakera Keras Dan Partisi Dalam Ubuntu-Linux


Oleh kerana cakera keras adalah komponen utama dalam sesebuah komputer, entri ini akan menjurus kepada isu teknikal. Namun saya akan menggarapkannya menjadi bahan bacaan yang mudah difahami meskin pun anda bukan golongan mahir IT.

Cakera Keras ( Hard disk)
Cakera keras merupakan salah satu komponen penting dalam komputer anda. Semua gambar, video, lagu dan pelbagai lagi data penting akan disimpan di dalam cakera keras. Anda tidak perlu tahu secara serius apakah itu cakera keras? Cukuplah sahaja anda tahu ianya adalah suatu ruang untuk menyimpan data atau maklumat di dalam sebuah komputer. Terdapat berbagai saiz yang dijual dipasaran contohnya 120GB, 160GB, 320GB, 500GB, 1TB dan seterusnya.

IDE dan SATA
Semakin besar saiznya, semakin besarlah storan yang dimiliki. Jika dahulu, sambungan cakera keras dihubungkan kepada Papan Utama (mother board) menggunakan IDE, sekarang rata-rata pengeluar cakera keras menggunakan sambungan SATA yang mana konsep terbaru ini menambah baikan dalam kelajuan proses pemindahan data. Dalam sistem Ubuntu cakera keras IDE akan dikategorikan sebagai kod hd dan SATA dikodkan sebagai sd. Lihat contoh berikut:

IDE => dev/hda1
SATA => dev/sda1

Format cakera keras
Bagi pengguna Windows FAT32, NTFS adalah format lazim yang biasa dilihat pada cakera keras. Manakala pengguna Ubuntu atau Linux amnya akan menemui format yang berbeza namanya iaitu Linux Swap (swap space), EXT2, EXT3 dan terkini EXT4. Hari ini, saya syorkan menggunakan format ext4 kepada pengguna yang ingin memasang Ubuntu, namun ext3 masih lagi relevan jika mahu.

Jumlah cakera keras pada komputer
Pada sebuah komputer terdapat hanya 1 cakera keras dibekalkan. Cakera keras ini dinamakan Master-Primary Hard disk. Jika anda ingin menambahkan bilangan cakera keras pada komputer anda, ianya akan menjadi cakera keras Secondary. Merujuk gambarajah di atas, cakera keras Primary adalah keutamaan pertama, manakala cakera keras Secondary menjadi keutamaan kedua. Lazimnya, cakera keras Primary ini adalah tapak kepada Sistem Operasi samada Ubuntu atau Windows. Manakala cakera keras Secondary pula dikhaskan kepada storan kedua untuk ruang penyimpanan data atau sebagai ruang backup. Seterusnya lihat contoh kod untuk mewakili jumlah/bilangan cakera keras pada Ubuntu:

Cakera keras Primary =>
Cakera keras Secondary => b
... kedudukan cakera keras seterusnya (boleh jadi USB pendrive) => c

jadi tertib susunan dalam sistem adalah dev/sda1 dan dev/sdb1 atau dev/sdc1

Jumlah kedudukan partisi dalam sesebuah cakera keras
Partisi (partition) terbentuk apabila sebuah cakera keras diformatkan kepada 1 bahagian atau lebih bahagian. Sebagai contoh, gambarjah di atas memaparkan cakera keras Primary telah dibahagikan kepada 5 partisi termasuk Extended dan cakera keras Secondary dipecahkan kepada 2 partisi. Partisi Extended dicipta kerana piawaian sesebuah cakera keras hanya dibenarkan kepada maximum 4 bahagian partisi sahaja. Maka jika anda ingin lebihkan bilangan partisi menjadi 5 atau lebih; cakera keras tersebut mestilah diciptakan partisi Extended. Di mana, daripada Extended ini bolehlah dipecah-pecahkan ke beberapa partisi yang seterusnya.

Oleh kerana entri ini agak panjang, gambarajah yang sama di atas saya sematkan di bawah.


Dalam gambarajah ini, dapat diperhatikan terdapat nombor di dalam kurungan merah. Nombor-nombor yang saya maksudkan ini adalah merupakan kedudukan partisi di dalam cakera keras pertama dan kedua. Saya cuba ringkaskan gambarajah ini dan perhatikan lahirnya tertib kod partisi di hujungnya seperti di bawah:

Cakera keras Primary (a)
Local Disk 30 GB NTFS = dev/sda1
30 GB ext4 = dev/sda2
2 GB swap space = dev/sda3
38 GB ext4 = dev/sda4

Cakera keras Secondary (b)
New volume 50 GB NTFS = dev/sdb1
DATA 50 GB ext3 = dev/sdb2

Supaya lebih difahami, saya simpulkan di bawah agar lebih terang dan jelas:

dev/sda1

dev = mewakili sumber device dalam hiraki sistem Ubuntu linux
sd = mewakili jenis cakera keras IDE (hd) atau SATA (sd)
a = bilangan cakera keras, USB pendrive pada Ubuntu samada a, b, c dan seterusnya.
1 = kedudukan sesebuah partisi dalam cakera keras.

Jika anda sekarang menggunakan Ubuntu, buka aplikasi Terminal dan taipkan baris arahan ini untuk melihat senarai jumlah cakera keras, bilangan partisi dan jenis format partisi tersebut:

sudo fdisk -l

Atau boleh juga menggunakan GUI iaitu dengan bantuan aplikasi Disk Utility.

Saya rasa sedikit sebanyak entri ini boleh membantu memahami format partisi dan kedudukannya di dalam sistem linux, untuk mengetahui lebih lanjut format-format ext2, ext3 mahu pun ext4, anda boleh membaca di wiki ext4. dan mungkin Linux partition HOWTO boleh menjelaskan lagi keadaan sebenarnya.

Jika berkesempatan di lain masa, akan saya ketengahkan asas pemasangan Ubuntu pada sebuah cakera keras di komputer. Insyaallah..

01 Oktober 2011

Baju T Ubuntu: Bersedia Untuk Dihantar




Setelah 2 minggu saya outstation (kerja), pagi tadi baru saya sampai ke Kuala Lumpur (rumah saya).. penat outstation pun belum habis lagi.. sempat saya ambil gambar longgokan baju T Ubuntu seperti di atas..
Pertama sekali, saya mohon maaf di atas kelewatan ini dan beberapa masalah lain yang timbul. Kini, baju tersebut akan saya packing sehari dua ini dan Isnin akan mula dihantar mengikut alamat masing-masing. Jadi, saya jangka minggu depan semua akan mendapat baju tersebut. Mana-mana yang self collect sila hubungi saya mulai hari ini untuk mengambilnya. 

Kesempatan ini, saya ucapkan ribuan terima kasih kepada mereka yang telah menyokong kempen baju Ubuntu ini, lepas ini bolehlah tayang kat member-member.. Baju yang anda akan pakai ini nanti akan mula membuka cerita tanpa mulut anda memulakannya.. iyer sokonglah sumber terbuka!

Terima kasih sekali lagi..


26 September 2011

Loudtalks: Perisian Walkie Talkie Ubuntu, Android dan Windows

Loudtalks - Supersonic Communications

Loudtalks adalah sebuah aplikasi yang menghantar dan menerima suara kepada/daripada rakan yang mempunyai akaun dengan Loudtalks. Lebih tepat lagi ialah ianya berkonsepkan PTT iaitu Push-To-Talk. Biar pun perisian kecil ini tidak secanggih Skype, namun keupayaannya tidak dapat saya sangkal lagi kerana saya telah mengujinya pada telefon bimbit Samsung Android dengan hanya dikuasai oleh 2G. (GPRS). Suara akan lagi lebih cepat dihantar jika saya menghidupkan 3G atau HSDPA. 

Loudtalks terbahagi kepada 3 kategori iaitu Loadtalks lite, Loudtalks mesh dan Loudtalks cloud. Hanya Loudtalks lite sahaja yang percuma. Anda boleh baca selanjutnya melalui laman rasminya Loudtalks.com

Perisian PTT ini boleh dipasang pada Android, Blackberry, Windows Mobile, Windows. Menurut pembangunnya, Loudtalks boleh dipasang pada Ubuntu melalui WINE, dan saya telah memasangnya pada Ubuntu tanpa ada masalah. Anda boleh muat turun Loudtalks DISINI.

Pemasangan Loudtalks

  • Pada Ubuntu - Pasang Loudtalks.exe melalui wine.
  • Android - Pasang melalui Android market.
Untuk anda bercakap atau berkomunikasi secara percuma walau di mana rakan anda berada sudah tentu perlu membina akaun Loudtalks terlebih dahulu. Pendaftaran hanya memerlukan username, password dan e-mail sahaja. Kemudian rakan anda perlu membuat perkara yang sama seperti anda. Selepas menghidupkan perisian ini, sila tambah rakan (add a contact) dan rakan anda perlu membenarkan (Accept).

Sekarang anda bebas walkie talkie dengan rakan di seluruh dunia.. Antara kelemahan yang saya nampak ialah perisian PTT ini tidak boleh menukar avatar atau gambar profil rakan dan kita... Bagaimanapun ianya seronok digunakan pada Android, macam guna walkie talkie pulak..

Perhatian:
Penggunaan Loudtalks ini menggunakan 20kps/jam semasa idling dan maximum 110kps semasa bercakap, jadi periksa pelan 3G broadband anda terlebih dahulu sebelum menggunakannya. 

23 September 2011

Berkongsi 3g Broadband melalui WIFI Menggunakan Ubuntu

Sesiapa yang melanggan Streamyx tiada masalah untuk berkongsi Wifi kerana TM telah membekalkan secara percuma modem tanpa wayar kepada pelanggannya. Bagaimana pula kepada pelanggan yang menggunakan DIGI, CELCOM dan MAXIS serta U Mobile? Tahukah anda? Dengan modem 3G/3.5G USB modem yang anda gunakan itu boleh dijadikan sebagai sumber Wifi kepada laptop rakan anda yang lain. Menarik bukan? Ini secara tidak langsung dengan 1 talian internet boleh dikembangkan kepada 2 atau lebih untuk dikongsi Wifi.

Keperluan:
1 unit 3g usb modem (saya hanya guna telefon bimbit Samsung Galaxy S) dan sebuah komputer riba yang dipasang Ubuntu.

Persediaan:
Pastikan 3g usb modem anda tersebut dapat berfungsi dengan baik, maksudnya anda telah berjaya mengkases internet melaluinya. Anda boleh ikut tutorial DISINI jika perlu.

Mencipta New Wireless

Gambar 1

Apabila anda klik pada ikon Network Manager, akan muncul info berkaitannya seperti Gambar 1 di atas. Pastikan koneksi Mobile Broadband telah bersambung seperti no 1. Kemudian klik pada no 2 iaitu Create New Wireless Network.

Gambar 2

Gambar 2. Ciptakan nama Wireless yang ingin dibuat dan kata laluan sebagai kunci keselamatan. Pada ruangan Wireless Security saya memilih WEP 128-bit Passphrase. Klik butang Create untuk pengesahan.

Gambar 3

Pada Gambar 3, dapat diperhatikan muncul 1 nama Wireless baru yang kita ciptakan sebentar tadi.

Membuat konfigurasi Mobile Broadband

Klik kanan pada ikon Network Manager dan pilih Edit Connections. Akan muncul seperti Gambar 4 di bawah.

Gambar 4

Pilih nama koneksi anda (contoh Celcom Default) no 1 dan klik butang Edit no 2.

Gambar 5

Masukan katalaluan Ubuntu anda apabila diminta.

Gambar 6

Merujuk Gambar 6 klik pada tab PPP Setting seperti no 1. Seterusnya dalam ruangan Encho, sila berikan tanda pada Send PPP encho packets seperti no 2 dan klik butang Apply seperti no 3.

Membuat konfigurasi Wireless


Selesai langkah di atas, klik pula pada tab Wireless.

Gambar 7

No 1 pilih nama wireless yang anda cipta dan tekan butang Edit seperti no 2.

Gambar 8

Sampai langkah ini, klik pada tab Wireless seperti no 1. Dalam ruangan Mode pilih Ad-hoc seperti no 2 dan klik pada tab IPv4 Setting seperti no 3 untuk langkah seterusnya.

Gambar 9

Pada Gambar 9, setelah klik pada tab IPv4 setting, dalam ruangan Method seperti no 1 pilih Shared to other computers. Dan akhir sekali klik butang Apply seperti no 2 untuk pengesahan dan mengakhiri semua konfigurasi yang dilakukan.

Tiba di sini, anda sudah boleh mencuba Wifi/Wireless yang anda ciptakan ini pada komputer riba rakan anda yang lain. Cuba akseskan Wifi ini sekarang, katalaluan adalah kekunci keselamatan wireless yang anda ciptakan pada Gambar 2.

Kredit:
Terima kasih saya ucapkan kepada rakan saya iaitu saudara Ahmabd Albab kerana pengkongsian ilmu ini.

17 September 2011

Strategi Menawan Ubuntu

Tidak saya nafikan, ramai pengguna Windows yang ingin mencuba Ubuntu tetapi akhirnya kecewa berikutan sokongan permainan komputer yang terdapat pada Ubuntu tidak sehebat Windows. Ini bukannya masalah Ubuntu kerana antara fokusnya adalah membabitkan penggunaan komputer seharian. Selain permainan komputer, suntingan CAD, seperti AutoCAD juga gagal dipasang ke dalam Ubuntu-wine meskinpun ada desas desus mengatakan AutoCAD boleh dipasang, nanum anda akan terjumpa dengan ralat tertentu. Sebagai penyelesaian masalah ini, buatkan komputer anda dual boot Windows dan Ubuntu.

Strategi Dan Kejayaan
Saya memfokuskan entri ini kepada Windows-gamer. Sebelum saya memanjangkan entri ini, saya ingin menyentuh sedikit berkenaan Gamers atau kaki permainan komputer. Apabila mereka hendak memulakan sesuatu permainan komputer, saya percaya mungkin apa yang saya senaraikan di bawah adalah keperluan dan kehendak mereka:

  • Mengenal pasti nama permainan.
  • Memasang perisian permainan tersebut ke dalam Windows.
  • Mencuba dan berusaha Crack perisian itu supaya jadi asli (jika cetak rompak).
  • Langkah seterusnya, mereka Windows Gamers akan mula menghidupkan permainan itu.
  • Lalu mereka memikirkan persediaan awal umpamanya bermain dengan mengutip mata setinggi mungkin sebagai bekalan untuk perlawanan kelak.
  • Sebaik permainan berlangsung, mereka ini akan memikirkan hala tuju permainan ini, mencari musuh tersembunyi, mencari senjata yang tersembunyi dengan beberapa klu, mengelak diri daripada dihidu musuh dan menentang habis-habisan.
  • Gaya strategi di atas mungkin mengambil masa sehingga 1 minggu atau lebih untuk permainan episod pertama. Jika dicampurkan lagi ke episod seterusnya mungkin mengambil masa sehingga sebulan atau lebih untuk mencapai kejayaan sesuatu permainan komputer.
  • Apabila permainan sudah selesai, maka misi telah berjaya dan akan memuat turun permainan yang lain pula.
Tahukah anda apakah perbuatan yang mereka lakukan itu? Itulah yang saya namakan strategi dan di akhiri dengan kejayaan sehingga mereka mengukirkan senyuman tanda puas.

Okey, berbalik kepada strategi menawan Ubuntu. Lagak dan perwatakan di atas sebenarnya boleh diadaptasikan dalam menawan Ubuntu. Mungkin perbezaan ini tidak sama, namun pengguna baru ubuntu mesti memiliki kriteria yang menyamai seorang kaki permainan komputer iaitu:
  • Muat turun Ubuntu daripada internet.
  • Memasang Ubuntu pada komputer.
  • Mencari sesetangah pemacu yang mungkin tidak disokong olehnya. Hakikatnya Linux versi 3.0 telah disumbatkan dengan pelbagai perisian pemacu secara automatik sebaik Ubuntu dipasang.
  • Memikirkan hala tuju penggunaan Ubuntu ini, apa yang perlu dilakukan lagi jika semua pemacu gajet telah berjaya dipasang. Bagaimana menangani masalah yang timbul, dan akhirnya mereka pengguna Ubuntu baru ini akan berasa puas dengan usaha gigih mereka ini.
  • Dalam proses menyelami Ubuntu, mungkin mengambil masa 1 minggu hingga ke 1 bulan, selepas itu tiada lagi apa yang perlu dilakukan melainkan mereka mencuba pula selongkar sistem Ubuntu.
Baiklah, ingin saya ulangi sekali lagi strategi menawan Ubuntu sebenarnya adalah suatu keseronokan seakan anda bermain dengan permainan komputer. Jadi kepada kaki permainan komputer terutamanya pengguna Windows, sahutlah cabaran saya ini. Memang saya akui permainan seperti Portal 2, Deus Ex: Human Revolution, Witcher 2, Guild Wars 2, Test Drive Unlimited 2 dan lain-lain lagi amat mencabar. Apa kata mencuba pula "Permainan Ubuntu" ini? baru anda akan betul-betul dicabar. Ada berani?

12 September 2011

Baju T Ubuntu: Entri 3

Hampir 3 minggu lebih saya menjalankan kempen Baju T Ubuntu ini, tidak saya nafikan permintaan adalah agak memuaskan. Memandangkan saya tiada pengalaman untuk membuat baju ini, beberapa isu yang timbul dapat saya selesaikan juga walaupun dengan kepayahan. Tujuan saya membuat program baju Ubuntu ini sekadar hanya mencuba dan mencari reaksi pembaca blog deensokmo. Jadi, kepada mereka yang telah menempah baju ini saya ucapkan berbanyak terima kasih yang tidak terhingga. Baju ini akan siap selewat-lewatnya Selasa atau Rabu minggu depan, kelewatan ini kita sama-sama tanggung berikutan terdapat seorang rakan kita yang menempah saiz 5XL yang terpaksa di custom saiz ini..

Jadi, kesempatan ini saya ingin rakamkan tahniah kepada anda semua kerana berjaya memiliki baju ini. Apa yang banggakan ialah baju ini dibuat jenis kain terpilih iaitu interlog. Dan selepas ini saya tidak berani janji lagi harga RM30 boleh dapat untuk kain jenis ini, sememangnya kain ini jenis yang berkualiti. 

Biarlah saya nyatakan di sini, saya menerima tempahan ini daripada serata tanah air.. Sabah, Sarawak, Kelantan, Perak, Johor, Penang, Melaka, Negeri 9, Kuala lumpur, selangor..dan lain-lain.

Jika ditanya kepada saya samada mahu meneruskan kempen baju Ubuntu ini, saya tidak berani berjanji untuk itu. Ini kerana terdapat beberapa cabaran yang terpaksa saya lalui walaupun agak remeh, namun biarlah saya merahsiakannya kerana mahu menjaga hati perasaan orang lain. 

Di bulan yang mulia ini, saya ingin mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI.. kepada pembaca blog saya yang budiman..
Sekian.

03 September 2011

Borang Tempahan Baju T Ubuntu

Klik DI SINI untuk melihat maklumat baju T Ubuntu ini. Kepada mereka yang telah menghantar secara emel maklumat di bawah sebelum ini tidak perlu lagi mengisi borang ini.

Pengumuman!
Semua tempahan Baju T Ubuntu telah ditutup sepenuhnya! jangan nak mengatal buat bayaran..



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...