25 Oktober 2011

Inkscape: Menukar Warna Teks Kepada Warna Objek

Entri ini adalah kesinambungan entri Inkscape saya yang lepas. Saya bukanlah pandai sangat menggunakan aplikasi penyunting grafik Inkscape ini, namun sejak kebelakangan ini suka sangat melekat di Inkscape. Jadi, saya mahu berkongsi sedikit tutorial Inkscape bagaimana warna teks dapat kita tukarkan kepada warna objek lain. Contoh tutorial yang saya buat ialah menggunakan objek daun yang hijau. Saksikan video bisu yang saya muat naik ini. Langkah demi langkah ada di bawah.


(A) Bahan-bahan
  1. Inkscape versi 0.48.2 (boleh dipasang melalui Ubuntu Software Center)
  2. Sekeping gambar daun hijau (suka hati anda mahu pakai gambar apa).
(B) Suntingan teks
  1. Perkataan: deen
  2. Jenis font: Impact
  3. Saiz font: 45px atau biar besar dan ikut selera.
 (C) Document properties (Shift + Ctrl + D)
  1. Saiz: A8
  2. Orientation: Landscape

(D) Langkah-langkah berikut adalah turutan di dalam video. (Muat turun lagi senang).
  1. Buka aplikasi Inkscape. 
  2. Import gambar daun (Ctrl + I). Kecilkan objek daun.
  3. Bina perkataan (F8) "deen" dan padankan ke atas objek daun.
  4. Select objek daun, kemudian klik menu Object > Pattern > Object to Pattern.
  5. Select objek daun + (Shift) + select teks deen.
  6. Klik menu Path > Intersection.
  7. Select teks deen dan duplicate (Ctrl + D) untuk menghasilkan teks deen bayang.
  8. Select teks deen bayang, alihkan sedikit kedudukannya ke bawah dan tukarkan warnanya ke hijau gelap.
  9. Select teks deen bayang, tekan tools Lower selection to buttom (End) dan susun kedudukannya seperti bayang.
  10. Option: anda boleh ciptakan stroke border jika mahu seperti yang saya lakukan iaitu Select teks + (Shift) > klik warna yang sesuai. Lakukan perkara yang sama juga untuk teks deen bayang.
Nota:
Anda boleh tekan (F1) untuk pintasan Select and transform objects (memilih atau menukar arahan sebelum klik pada tools yang lain). Tulisan bewarna Unggu ialah tekan papan kekunci.

Anda sudah pun siap, selain teks, kaedah ringkas ini boleh juga digunakan untuk lain-lain suntingan gambar.

24 Oktober 2011

Mencetak Dokumen MS Word 07 Ke PDF Melalui Ubuntu

Mereka yang menggunakan Libre Office atau Open Office tiada masalah untuk mencetak dokumen tertentu ke format PDF, hanya tekan butang PDF semua dokumen daripada .odt akan bertukar kepada .pdf. Tapi bagaimana pula seseorang itu yang memasang Micsrosoft Office pada Ubuntu melalui Wine ingin menukar dokumen itu ke format PDF? Pemasangan CutePDF tidak berhasil melalui Wine dan banyak lagi aplikasi kecil "print to PDF" yang dipasang ke dalam wine juga gagal bekerja sebagai virtual pdf printer. Sebenar jika mereka pakar sistem Unix dan wine boleh sahaja membuat beberapa konfigurasi untuk membenarkan satu-satu aplikasi berfungsi dengan baik dalam Wine. Tetapi saya bukanlah golongan orang yang demikian. Oleh kerana itu,  saya mengambil jalan mudah iaitu dengan memasang cups-pdf.

CUPS-PDF
CUPS-PDF menyediakan PDF Writer backend kepada CUPS. Ini bolehlah digunakan sebagai satu pencetak maya dalam satu rangkaian dokumen tanpa kertas atau boleh juga membuat persembahan ujian pada CUPS. (Sistem Pencetak Linux)

Pemasangan CUPS-PDF
Jalankan Ubuntu Software Center dan taipkan cups-pdf, tekan butang Install untuk mula memasang.

Membuat semakan pencetak.
Jalankan aplikasi Printing, sila periksa adakah wujud pencetak PDF di situ. Jika tiada sila Add > Printer > generic CUPS printer. Ada kemungkinan anda perlu Logout dan login semula Ubuntu anda untuk restart sistem CUPS. Apabila berjaya, sepatutnya seperti gambar 1 di bawah.

Gambar 1

Mari kita uji pencetak maya PDF ini melalui Microsoft Word 2007 (dalam Wine). Buka mana-mana dokumen sedia ada .docx atau .doc atau buat 1 dokumen baru melalui MS Office Word 07. Contohnya gambar 2 di bawah.

 Gambar 2

Kemudian tekan papan kekunci Ctrl+P, jendela Print akan muncul dan sila pilih nama pencetak iaitu PDF dan klik OK untuk menukarkan dokumen tersebut ke format pdf. Rujuk gambar 3.

Gambar 3

Sebaik sahaja klik OK, di mana dokumen.pdf ini berada? Semua dokumen akan di tempatkan direktori Home anda contonhya: deensokmo/PDF/ < nama dokumen pdf >.

Sekian..

umPlayer: Muat Turun Video YouTube Dan SHOUTcast Radio Pada Ubuntu

Gambar 1

umPlayer bukan sekadar pemain muzik dan pemain video yang biasa, seperti juga pemain VLC yang mempunyai keistimewaan tersendiri. Antara ciri-ciri utama yang membuatkan saya berminat dengan umPlayer ini ialah:
  • Muat turun video daripada Youtube
  • SHOUTcast Radio - mendengar radio internet
  • Sebagai pemain muzik
  • Sebagai penayang video
Pemasangan umplayer (kredit kepada Webupd8.org)
Menambahkan PPA umPlayer pada Ubuntu (Ubuntu 10.04, 10.10, 11.04, 11.10) dan pemasangannya dengan menyalin dan tampal baris arahan berikut pada terminal:

sudo add-apt-repository ppa:webupd8team/umplayer
sudo apt-get update
sudo apt-get install umplayer

Jika umPlayer gagal dihidupkan, ini adalah berpunca daripada isu "subtitles", jadi perlu dinaik taraf melalui PPA MPlayer harian (MPlayer daily builds PPA):

sudo add-apt-repository ppa:motumedia/mplayer-daily
sudo apt-get update
sudo apt-get dist-upgrade

Cuba hidupkan semula pemain umPlayer ini. Muncul seperti gambar 1 yang berskrin hitam kerana belum memainkan apa-apa video lagi. Dalam ruangan / kotak carian - Youtube - sila taipkan video kegemaran anda dan akan muncul jendela baru yang menyenaraikan beberapa berkaitan video pencarian anda seperti gambar 2.

 Gambar 2

Klik kanan pada salah satu senarai video itu terdapat 3 pilihan iaitu:
  • Play video
  • Record video
  • Watch on YuoTube
Untuk mendengar SHOUcast Radio (radio internet), klik menu Tools -> SHOUTcast dan akan terpapar jendela senarai radio internet seperti gambar 3 di bawah.

Gambar 3

Terdapat kotak carian di hujung bawah, taipkan kata kunci contohnya melayu atau cinta atau juga muzik untuk menapis radio internet berbahasa melayu. Kemudian dwi klik atau klik kanan dan muncul pilihan Tune In untuk mendengar.

Tips:
Jika anda berminat untuk merakam radio internet ini jangan lupa pasangkan Audio Recorder pada Ubuntu anda.

23 Oktober 2011

Cara Menarik Kuat Isyarat Wifi Dan 3G Broadband

Percayakah anda? Dengan hanya menggunakan barang-barang dapur dan perkakasan terbuang mampu menarik signal Wifi lebih kuat atau mungkin juga boleh untuk menarik signal 3G Broadband modem kepada tahap maksimum. Anda boleh ketawa bila melihat beberapa gambar di bawah.


Dengan menggunakan penutup cerek air, nampaknya 3G lebih baik ermmm..


Ini pula menggunakan penutup periuk 10 inch.. Tarik signal wifi. Amacam? ada kelas?


Satu lagi cara tarik signal 3G, mangkuk aluminium pun jadi...


Hah, ini pula bekas loyang (bekas buat kuih) yang terbiar, daripada berhabuk ada faedah sampingan rupanya!


Bekas tin coklat buat kuih. Ambil pembalut aluminium kasi balut dan tindih atas 3G USB modem..

Pendek kata, material yang berasaskan aluminium memang dijadikan penarik signal frenkuensi... Jadi selepas ni mungkin anda boleh mencubanya sendiri.. renung-renungkan dan cuba amal. (buat diam-diam ok)

Merakam Streaming Audio Melalui Ubuntu

Ada beberapa cara untuk kita merekod apa sahaja audio melalui Ubuntu samada suara melalui mikrofon, Streaming audio (online radio) perbualan Skype mahupun Google Talks-plugin dan lain-lain. Saya cuba mencari dan memasang pelbagai aplikasi yang membolehkan saya merekod radio online, namun terdapat pelbagai masalah seperti kualiti audio yang lemah, terdapat gangguan audio (noisy) dan macam-macam ragam dengan Ubuntu ini. Dan akhirnya saya terjumpa satu kaedah yang praktikal untuk merekod bunyi yang sedang berkumandang di corong pembesar suara.

Rakaman audio yang akan saya tunjukan di bawah ini adalah menggunakan Ubuntu 11.04, namun saya percaya tiada masalah untuk sebarang versi Ubuntu. Tutorial rakaman audio ini melibatkan streaming audio (radio online) dengan sambungan ke THR Gegar Pantai Timur.

Langkah 1
Dengar THR Gegar Pantai Timur - Klik THR Gegar Capsule

Seharusya anda dapat mendengar radio online tersebut dengan lancar. Jika gagal, sila kemaskini versi terkini Adobe Flash Player atau periksa kelajuan internet.

Langkah 2
Gstreamer plugin: Ini adalah persediaan ke dua untuk memastikan sistem audio Ubuntu anda dapat menyokong Wav dan Flac, ugly/multiverse untuk mp3 dan bad/multiverse untuk AAC dan m4a. Pasang pakej ini melalui terminal:

"sudo apt-get install gstreamer0.10-plugins-base gstreamer0.10-plugins-good gstreamer0.10-plugins-ugly gstreamer0.10-plugins-ugly-multiverse gstreamer0.10-plugins-bad gstreamer0.10-plugins-bad-multiverse"

Nota: Salin semua arahan di atas tanpa simbol quote.

Langkah 3
Memasang aplikasi PulseAudio Volume Control atau pavucontrol, buka Ubuntu Software Center dan taipkan pavucontrol (PulseAudio Volume Control).

Langkah 4
Pastikan THR Gegar masih berkumandang. Hidupkan aplikasi Pulse Audio Volume Control dan Sound Recorder - Sound Recorder adalah aplikasi lalai pada Ubuntu. Lihat gambar 1 di bawah.

Gambar 1

Langkah 5
Aplikasi Sound Recorder:
>Record as: pilih ogg atau mp3

Mulakan rekod pada butang Sound Recorder. Kemudian klik tab Recording pada PulseAudio Volume Control, buat 2 tetapan berikut:
>Show: Application
>record stream from: pilih Monitor of Internal Audio Analogue Stereo. 

Langkah 6
Klik butang stop pada Sound Recorder untuk mengakhiri rakaman dan klik butang Save untuk simpan. Lihat gambar 2 di bawah.

Gambar 2

Fail yang ingin disimpan tersebut boleh dinamakan mengikut kesesuaian atau ikut sahaja nama lalai yang telah disyorkan (format tarikh dan masa). 

Sekarang anda boleh main-semula (playback) rakaman yang telah direkodkan tadi. Ada kemungkinan fail pertama tadi audionya terputus-putus, namun ulangi Langkah 5 dan anda akan dapati audionya kini lebih baik.

Tips:
Selain menggunakan Sound Recorder (default Ubuntu), anda boleh juga memasang Audio Recorder di mana tetapannya yang lebih terperinci dan menyokong persekitaran Unity.

Selamat mencuba.. jika anda ada cara yang paling senang silalah berkongsi dengan saya, sila tinggalkan komen..

20 Oktober 2011

Memasang Gnome3 Pada Xubuntu 11.10

Apa yang menarik pada Xubuntu 11.10 ini ialah cubaan saya memasang Gnome3 atau juga dikenali Gnome Shell berjaya tanpa saya menemui bug.

Sebelum anda mahu memasang Gnome3 pada Xubuntu 11.10 ini, paling penting grafik kad anda telah dipasang pemacu grfik kad yang sesuai dengan perkakasan komputer anda tersebut seperti Nvidia atau Intel.

Video klip di bawah adalah hasilnya setelah saya memasang Gnome shell pada Xubuntu 11.10.


Pemasangan Gnome Shell
Buka Ubuntu Software Center dan taipkan perkataan "gnome-shell", kemudian klik untuk pemasangannya.

Selepas siap dipasang, logout dan semasa login pilih session Gnome, masukan katalaluan anda.

Mungkin pertama kali login, wallpaper mungkin biru sahaja. Jangan risau anda boleh menukarkan wallpaper tersebut dengan klik kanan pada Desktop.. Disitu ada pilihan untuk membuat tetapan ini.

Aplikasi Favorite atau launcher disebelah kiri disertakan Nautilus sebagai File Manager sebagai lalai. Namun anda boleh tukarkannya dengan Thunar jika terasa Nautilus agak berat.

Anda boleh juga boleh memasang Gnome Tweak Tools untuk membuat beberapa perubahan pada tema Gnome shell. Melalui Ubuntu Software Center, taipkan perkatan gnome-tweak-tool dan klik butang install. Untuk mengaksesnya, Taipkan gnome tweak pada ruang pencarian Gnome Shell.. Aplikasi ini bukan lagi namanya gnome tweak tetapi sudah bertukar kepada nama "Advanced Setting"

Bagi mencantikkan lagi tema gnome shell ini anda boleh memasang tema biru Ambiance. Selain itu bagi memudahkankan menukar tema yang berlainan pula anda boleh memasang Gnome Shell Theme Selector. Mungkin anda juga perlukan kepada Extension untuk Gnome Shell ini, ikut di sini untuk  memasang extensions lain-lain. Terima kasih saya ucapkan kepada Webupd8.org.

Semoga seronok bermain dengan Gnome3 ini!

19 Oktober 2011

Tentang Xubuntu 11.10 (Oneiric Ocelot)

Dalam diam selama 3 tahun, sebenarnya saya tidak akan terlepas terhadap semua versi-versi Xubuntu selain daripada versi Ubuntu. Xubuntu 11.10 juga diberi nama Oneiric Ocelot seperti  Ubuntu 11.10.

Mungkin anda ingin tahu kenapa saya suka Xubuntu selain Ubuntu, bagi peminat Distro linux amnya, Xubuntu bukanlah distro yang baru muncul. Anda mungkin perlu membaca Xubuntu daripada halaman rasminya di Xubuntu.org untuk maklumat lanjut. Perkara utama yang membuatkan saya suka akan Xubuntu ini ialah kerana asas komponennya menggunakan XFCE. Perenggan di bawah saya ulaskan serba sedikit berkenaan Xfce ini.

Pelepasan setiap versi Xubuntu adalah serentak dengan Ubuntu, Kubuntu dan Edubuntu. Meskinpun ianya tidak popular seperti Ubuntu, namun banyak tutorial Ubuntu sebenarnya boleh diadaptasikan kepada Xubuntu. Perkara ini akan anda ketahui jika mendalaminya. Dengan menggunakan Xfce sebagai persekitaran meja kerja, maka akan jadilah Xfce + Ubuntu menghasilkan Xubuntu.

Xubuntu juga bernaung di bawah syarikat Canonical yang mana apa yang dijanjikan untuk Ubuntu juga Xubuntu dapat menikmatinya. Sudah pasti versi 11.10 banyak pembaharuan yang telah diketengahkan oleh Canonical.

Jika Ubuntu menggunakan Nautilus sebagai File Manager, Xubuntu pula menggunakan Thunar sebagai File Manager-nya. Pemilihan Thunar  pada Xubuntu adalah berketepatan yang mana ciri-cirinya yang lebih ringan berbanding Nautilus mahupun Dolphine - KDE. Antara ciri-ciri lain yang menarik ialah seperti memiliki panel versi xfce4-panel, Windows Manager daripada xfwm4, System Setting menggunakan xfce-setting, Session manager menggunakan xfce4-session dan banyak lagi yang menggunakan kod xf dihadapannya. Saya juga suka kepada gthumb sebagai Photo Viewer lalai. Terdapat banyak lagi keistimewaannya yang tidak cukup untuk saya taipkan di sini.

Oh! ya, yang menarik perhatian saya lagi ialah sejak Xubuntu 11.04 lagi telah kemaskinikan dengan Xfce Desktop Enviroment versi 4.8, kini wajahnya amat ketara berbanding versi sebelum ini dan saya sendiri dapat alami peningkatan kecekapannya yang meminimumkan penggunaan kuasa prossessor. Ditambah lagi Xubuntu 11.10 ini didatangkan dengan kernel linux versi 3.0. Oleh yang demikian, versi Xubuntu hari ini telah mengalami kepesatan pencapaiannya dalam menyokong pemacu gajet-gajet yang serba baru yang lahir pada ketika ini.

Jadi kepada mereka yang belum lagi merasai kemanisan Xubuntu, bolehlah memuat turun Xubuntu ini di pautan halaman rasminya. Insyaallah, blog saya akan menyelitkan beberapa entri berkenaan Xubuntu jika tiada ara melintang.

Automount NTFS Partisi Xubuntu 11.10

Memandang saya selalu lupa cara mudah untuk auto mount NTFS kat Xubuntu, jadi ini sebagai rujukan saya dan untuk anda juga kalau mahu.

1. Memeriksa partisi NTFS
sudo fdisk -l

2. Membuat direktori dalam media
sudo mkdir /media/Data

3. Membuat konfigurasi
sudo mount /dev/sda1 /media/Data -t ntfs

sda1 mungkin berbeza milik saya dan anda..

15 Oktober 2011

Blog Deensokmo Dalam Pembinaan Tema

Perhatian buat pengunjung semua!

Saya dengan tidak sengaja telah mengedit beberapa perubahan tema blog, dan akhirnya tema, layout dan beberapa widgets blog ini menjadi kacau bilau.. Maaf di atas kesulitan ini. Insyaalah semuanya akan selesai sedikit masa lagi..

14 Oktober 2011

Temu Lawak Bersama DeenSokmo

Saya rasa inilah entri wawancara yang pelik pertama kali anda terjumpa pada mana-mana blog, entah siapa yang datang membuat temuramah dengan deensokmo ini, saya pun tak kenal, dan daripada mana beliau muncul pun saya tak tahu..

Siapakah gerangan yang menemuramah deensokmo tidak penting, yang penting kita saksikan temubual ini bersama deensokmo.

Makhluk Asing: MA
DeenSokmo: DS

MA: Apa khabar Densokmo? Sihat?

DS: Khabar baik. Dah tanya apa khabar.. kenapa tanya sihat pulak? Kamu tu sihat ke?

MA: Aku sihat. Pertama sekali, aku nak ucapkan terima kasih kerana sudi bersama dengan aku. Aku harap kamu dapat menjawab semua soalan dan tuduhan aku ini dengan mulianya.

DS: Sama-sama. Insyaallah, semua akan aku jawab dengan tenang. Apa yang beria sangat kamu mahu menemu bual aku? Aku ... (perbualan terhenti. twitt..twitt..twitt.. Ada burung lalu).

MA: Ehem. Burung apa tu?

DS: Burung Pidgin..

MA: Burung Pidgin? Burung Pidgin burung apa tu? (perut MA Berkerut seribu, nak berkerut dahi, dahi tak ada).

DS: Burung Pidgin ni macam murai jugak. Itu sebabnya dulu aku pasang Pidgin IM untuk bersembang dan bermurai dengan kawan aku. Sekarang burung tu dah tak ada, yang ada Empathy IM iaitu bukan sejenis burung tapi sejenis hubungan akrab sesama kita. Kalau kamu mahu, burung Pidgin aku boleh tangkap semula.

MA: Oh! Begitu, fahamlah aku. Kenapa kamu buat blog pasal Ubuntu? Kenapa tidak dimasukkan artikel pasal ayam, burung, unta, harimau, ikan ke? Atau perkara lain yang mungkin boleh menaikan trafik pengunjung blog?

DS: Ni aku nak bagitau. Benda yang kamu sebut tu (ayam, burung, unta.. dan blaa.. blaa) adalah tergolong dari kalangan haiwan. Nama-nama Ubuntu sebenarnya diambil sempena nama-nama haiwan terpilih contohnya Koala, Lynx, Meerkat dan sekarang Ubuntu 11.04 dinamakan oleh haiwan Narwhal. Idea blog ini dihiasi dengan Ubuntu kerana rasa ingin berkongsi. Sebab blog tentang muzik, politik, artis, filem dan automotif sudah ramai orang yang buat. Pengunjung blog aku boleh dibilang jari, kalau jumlahnya ramai pun sekali pun, apa yang aku dapat?

MA: Kenapa ada 2 resepi Nasi Dagang dan Sup Tulang dalam blog deensokmo? Tak mahu gugurkan  ke entri resepi ini?

DS: Nasi dagang asalnya dari Pantai Timur dan Sup Tulang terkenal di serata Malaysia. Aku suka makan nasi dagang hee hee.. dan hirup sup tulang. Huu.. huuu.. huu. Nasi dagang inilah yang memberi ilham kepada aku untuk meletakan perkataan SOKMO dihujung DEEN. Sup Tulang pula membawa maksud blog ini sesuai kepada semua rakyat di Malaysia dan kepada Asia Tenggara khususnya. 2 Resepi ini tidak akan dibuang, malah ada pengunjung blog yang jatuh hati kepada Ubuntu dalam mencari resepi nasi dagang di internet dan terjumpalah blog resepi Ubuntu ini.  Jadi, 2 entri resepi itu boleh aku katakan jerangkap samar.

MA: Oh! Ya. Apa maksud "Doh kalu lagu tu, guane gamok"? Aku perhatikan slogan ini tidak pernah berubah walaupun tema blog telah berubah-ubah. Boleh kamu jelaskan secara terperinci?

DS: Haa.. haa.. haa. Aku sendiri pun tak tahu kenapa aku suka ayat itu. Ada banyak makna yang tersirat. "Doh kalu lagu tu" bermaksud "If like that" atau dalam Bahasa Malaysia ialah "Jikalau begitu". Manakala pegertian "guane gamok?" adalah makna kepada soalan yang dituju kepada seseorang itu tentang reaksinya setelah menyelaminya sebentar tadi. Atau ringkasannya "Bagaimana penerimaanmu?" dan dalam bahasa Inggeris "How do you feel?" Adakah kamu faham? Okey aku jadikan satu ayat mudah dengan mencantumkan 2 ayat tersebut iaitu "Jikalau begitu, bagaimanakah penerimaanmu?" (soalan ini dilontarkan kepada pembaca blog). Sama juga jika saya sebut "If like that, how do you feel?"..(atau boleh juga "what do you think?").

MA: Baiklah, soalan seterusya. Ini soalan menjerat. Sejak kamu menggunakan dan mempromosi Ubuntu ini, apakah kamu tidak pandang kepada OS lain seperti Windows? Dan  apakah yang kamu nampak perkembangan Windows hari ini?

DS: Menjerat ker? Biasa jer. Aku guna Ubuntu dan promosi bukan niat keuntungan dan Windows masih lagi menjadi OS ke dua aku. Jadi, tolong nasihatkan kepada pembaca semua walau pakar mana sekali pun dalam Ubuntu-linux, ingat ada masa dan ketika Windows akan menjadi penawar. aku nak ambil 1 teladan positif daripada kisah Nabi Muhammad S.A.W dalam mengembangkan syiar Islam, baginda tidak pernah menolak kaum bukan Islam meskinpun beliau dimusuhi olehnya. Beliau juga tidak menganggap golongan kafir sebagai musuh, bahkan menerima kehadiran golongan ini di dalam empayar negara Islam. Di sini maksud aku, bukan soal agama; tetapi pokoknya menjurus ke arah keperibadian beliau yang mencerminkan kemurliaan seorang pemimpin yang berkawan tanpa mengira agama dan bangsa. Menyentuh perkembangan Windows sekarang ini, terus terang aku katakan, sejak Win7 dikeluarkan, aku jarang benar buka Windows dan hanya menggunakannya untuk menyelesaikan masalah kerja dan beberapa perisian yang Ubuntu masih belum lagi menyokongnya. Win 7 Sekarang pun belum khatam lagi, dah muncul pula Win 8 Trial.. ermm.. tak banyak yang aku tahu berita tentang Windows. Sebab dalam Windows aku jadi pengguna biasa sahaja.

MA: Lazimnya penulis blog yang berkait komputer dan IT adalah kerana mereka memiliki aliran komputer semasa mereka menuntut di kolej  atau Universiti dahulu. Jadi adakah kamu juga daripada aliran Sains Dan Komputer? Dan kamu berasal daripada kolej mana?

DS: Itu pandangan kamu sahaja. Lebih kurang 13 tahun yang lalu aku belajar di Politeknik dalam bidang Elektronik. Bidang ini tidak kena-mengena dengan komputer pada waktu itu; dan pada masa itu juga tidak seorang pun pelajar yang mampu memiliki mesin pencetak, apatah lagi sebuah komputer riba. Tokey balak jer yang mampu beli pada harganya sekitar RM8,000 untuk sebuah komputer dan telefon bimbit asas (tahun 1996) sekitar RM3,500. Kalau kamu tak percaya, bila kamu sampai rumah kamu nanti, tolong tanya bapak kamu harga gajet-gajet ini pada tahun tersebut. Pendek cerita, aku hanya mengenali komputer pada tahun 2007 walaupun aku telah membelinya pada tahun 2004 melalui skim yang ditawarkan oleh KWSP.

MS: Lagi soalan aku. Susah tak hendak menulis dan mengekalkan blogspot Ubuntu ini?

DS: Eh! Menulis blog yang mempunyai artikel sumber terbukalah yang senang. Sebab apa, bila baca blog orang lain.. faham apa yang dia cuba sampaikan dan kemudian salin semula ke blog kita dengan olahan kita sendiri. Ayat biar menyimpang tidak mengapa, yang penting maksud yang hendak dipaparkan itu tidak lari. Hendak mengekalkan populariti ke atau supaya blog ini tidak terkubur? begitu ker maksudnya? Tak kiralah yang mana satu, sebenarnya kalau ditanya soalan ini kepada blogger lain jawapan yang biasa dengar iaitu MASA. Ya! Masa adalah menjadi penentu dan ukuran, aku beri alasan ini kerana aku pun ada komitmen lain yang sedang menunggu.

MA: Apakah sumbangan kamu setakat ini terhadap komuniti Ubuntu terutamanya di Malaysia ini? Adakah kamu mengenali blogger Ubuntu yang lain atau penulis blog sumber terbuka yang lain di Malaysia amnya?

DS: Aku penulis bebas, jika suatu hari nanti aku nak tulis pasal kereta, aku akan tulis. Namun buat masa ini belum lagi. Sumbangan aku? Err.. adalah satu dua, antaranya menghidupkan kempen memiliki Baju Ubuntu.. mempromosikan Ubuntu kepada kawan-kawan melalui MukaBuku, secara lisan, dan itu sahaja kot. Susah hendak bergerak seorang, kena buat geng baru best skit. Aku ada juga menyertai KOSTEM (Koperasi Sumber Terbuka Malaysia) untuk merapatkan jurang komuniti ini. Ditanya mengenai hubungan aku dengan blogger (sumber terbuka) yang lain, hanya 1 orang jer yang aku kenal gitu-gitu. Jadi, gitu-gitulah aku.. 

MA: Sebelum aku mahu mengakhiri wawancara ini. Jika sebelum ini aku tanya tentang perkembangan Windows, jadi bagaimana kamu melihat perkembangan OS linux khususnya di Malaysia ini?

DS: Ini pandangan aku sahaja. Perkembangan Linux di Malaysia sudah mula menapak kehadapan, tapi ditahap yang masih belum dapat dibanggakan. Kewujudan tablet PC Android dan telefon pintar Android membuktikan rakyat Malaysia sudah mula menerima Linux meskinpun ada diantara mereka tidak sedar yang mereka telah pun menggunakan linux di sebalik gajet Android tersebut.

MA: Akhir sekali, apakah harapan yang bermain di fikiran kamu dan boleh tak selitkan sedikit mesej kepada pengguna yang masih belum lagi menggunakan Ubuntu atau takut-takut untuk mencuba Ubuntu...

DS: Semua orang ada harapan. Tinggi atau rendah, impian tercapai atau tidak bukanlah ukuran aku. Cuma, aku nak beritahu bahawa kita ada pilihan, mencuba sesuatu yang baru itu sebenarnya indah. Ubuntu adalah percuma, bebas virus, lebih stabil dan ada Umphh!! Serta banyak lagi faedah lain. Aku sendiri pun masih belajar. Mesej aku ialah kepada pengguna Windows janganlah suka menabur fitnah mengatakan Linux adalah susah, semua itu karut dan tidak berasas. Cuba Ubuntu dulu baru bercakap. Rasai sendiri dulu baru komen. Ingat, sesuatu yang percuma itu tidak boleh dibandingkan 100% dengan yang berbayar.

MA: Baiklah, kita pun sudah sampai ke penghujungnya. Aku ucapkan terima kasih sekali lagi kepada saudara DeenSokmo. Semoga berjaya dan tabah menangani cabaran.

DS: Sama-sama kembali. Kesempatan ini juga aku nak ucapkan tahniah kepada mereka yang telah cuba menggunakan Sistem Operasi Ubuntu samada secara Live atau pasang pada komputer. Sekian. Wassalam.

12 Oktober 2011

USU 7: Sebuah Distro Kelahiran Ubuntu


USU 7. Distro ini juga lahir daripada GNU/linux Ubuntu seperti Zorin OS, LinuxMint, Pinguys, Bodhi Linux dan sebagainya. USU membawa maksud Distro GNU/Linux Yang Terbaik! daripada bahasa Bulgarian.

Distro ini dibangunkan oleh dua orang iaitu Krasimir Stefanov dan Svetoslav Stefanov (adik beradik ke ni?). Tidak banyak maklumat yang dapat saya perolehi daripada mana versi 7 ini diterbikan, adakah ada USU 6 atau 5 sebelum ini? Bagi pengemar Distro yang berasaskan Ubuntu, mungkin USU 7 ini dijadikan koleksi untuk simpanan mahupun dipasang pada komputer. USU 7 menawarkan 3 kategori iaitu:

  1. USU Desktop - Sesuai untuk komputer atau Desktop PC yang mana ianya difokuskan untuk pelajar, guru dan pengguna biasa.
  2. USU Mini - Juga sesuai untuk komputer biasa dan telah dipilih beberapa aplikasi penggunaan seharian seperti mendengar lagu, menaip, menonton video dan lain-lain. 
  3. USU Netbook - Dikhaskan untuk komputer riba yang kecil atau lebih tepat untuk Netbook, yang mana memiliki skrin kecil dan penggunaan memori yang terhad dan bagi memanjangkan tempoh hayat bateri.
Apa yang menarik perhatian saya, semua kategori USU ini telah disumbatkan Medibuntu dan Ubuntu Restricted Format supaya ianya terus dapat memainkan sesetengah format video dan MP3 sebaik sahaja dipasang. Selain itu, juga disertakan pelbagai perisian percuma untuk aplikasi pejabat, internet, lagu dan video, pendidikan, grafik, permainan dan lain-lain.

Meskinpun laman rasminya tidak disertakan link mana-mana forum, tidak perlu risau kerana sebarang kekeliruan boleh sahaja merujuk kepada forum Ubuntu, blog Ubuntu dan sebagainya.

Oleh kerana saya sedang memuat turun USU 7 ini, (ketika entri ini ditulis) saya tidak pasti samada USU 7 ini diceduk daripada versi Ubuntu 10.04, 10.10 atau versi sebelum ini lagi.
Bila selesai bakar ISO ke USB drive atau ke CD/DVD, sila boot komputer melalui media yang anda buat tersebut. Dan semasa USU startup, cepat-cepat tekan F2 dan pilih bahasa English..

 Jadi, jangan lepaskan peluang untuk mencuba USU 7 ini!

08 Oktober 2011

Asas-asas Cakera Keras Dan Partisi Dalam Ubuntu-Linux


Oleh kerana cakera keras adalah komponen utama dalam sesebuah komputer, entri ini akan menjurus kepada isu teknikal. Namun saya akan menggarapkannya menjadi bahan bacaan yang mudah difahami meskin pun anda bukan golongan mahir IT.

Cakera Keras ( Hard disk)
Cakera keras merupakan salah satu komponen penting dalam komputer anda. Semua gambar, video, lagu dan pelbagai lagi data penting akan disimpan di dalam cakera keras. Anda tidak perlu tahu secara serius apakah itu cakera keras? Cukuplah sahaja anda tahu ianya adalah suatu ruang untuk menyimpan data atau maklumat di dalam sebuah komputer. Terdapat berbagai saiz yang dijual dipasaran contohnya 120GB, 160GB, 320GB, 500GB, 1TB dan seterusnya.

IDE dan SATA
Semakin besar saiznya, semakin besarlah storan yang dimiliki. Jika dahulu, sambungan cakera keras dihubungkan kepada Papan Utama (mother board) menggunakan IDE, sekarang rata-rata pengeluar cakera keras menggunakan sambungan SATA yang mana konsep terbaru ini menambah baikan dalam kelajuan proses pemindahan data. Dalam sistem Ubuntu cakera keras IDE akan dikategorikan sebagai kod hd dan SATA dikodkan sebagai sd. Lihat contoh berikut:

IDE => dev/hda1
SATA => dev/sda1

Format cakera keras
Bagi pengguna Windows FAT32, NTFS adalah format lazim yang biasa dilihat pada cakera keras. Manakala pengguna Ubuntu atau Linux amnya akan menemui format yang berbeza namanya iaitu Linux Swap (swap space), EXT2, EXT3 dan terkini EXT4. Hari ini, saya syorkan menggunakan format ext4 kepada pengguna yang ingin memasang Ubuntu, namun ext3 masih lagi relevan jika mahu.

Jumlah cakera keras pada komputer
Pada sebuah komputer terdapat hanya 1 cakera keras dibekalkan. Cakera keras ini dinamakan Master-Primary Hard disk. Jika anda ingin menambahkan bilangan cakera keras pada komputer anda, ianya akan menjadi cakera keras Secondary. Merujuk gambarajah di atas, cakera keras Primary adalah keutamaan pertama, manakala cakera keras Secondary menjadi keutamaan kedua. Lazimnya, cakera keras Primary ini adalah tapak kepada Sistem Operasi samada Ubuntu atau Windows. Manakala cakera keras Secondary pula dikhaskan kepada storan kedua untuk ruang penyimpanan data atau sebagai ruang backup. Seterusnya lihat contoh kod untuk mewakili jumlah/bilangan cakera keras pada Ubuntu:

Cakera keras Primary =>
Cakera keras Secondary => b
... kedudukan cakera keras seterusnya (boleh jadi USB pendrive) => c

jadi tertib susunan dalam sistem adalah dev/sda1 dan dev/sdb1 atau dev/sdc1

Jumlah kedudukan partisi dalam sesebuah cakera keras
Partisi (partition) terbentuk apabila sebuah cakera keras diformatkan kepada 1 bahagian atau lebih bahagian. Sebagai contoh, gambarjah di atas memaparkan cakera keras Primary telah dibahagikan kepada 5 partisi termasuk Extended dan cakera keras Secondary dipecahkan kepada 2 partisi. Partisi Extended dicipta kerana piawaian sesebuah cakera keras hanya dibenarkan kepada maximum 4 bahagian partisi sahaja. Maka jika anda ingin lebihkan bilangan partisi menjadi 5 atau lebih; cakera keras tersebut mestilah diciptakan partisi Extended. Di mana, daripada Extended ini bolehlah dipecah-pecahkan ke beberapa partisi yang seterusnya.

Oleh kerana entri ini agak panjang, gambarajah yang sama di atas saya sematkan di bawah.


Dalam gambarajah ini, dapat diperhatikan terdapat nombor di dalam kurungan merah. Nombor-nombor yang saya maksudkan ini adalah merupakan kedudukan partisi di dalam cakera keras pertama dan kedua. Saya cuba ringkaskan gambarajah ini dan perhatikan lahirnya tertib kod partisi di hujungnya seperti di bawah:

Cakera keras Primary (a)
Local Disk 30 GB NTFS = dev/sda1
30 GB ext4 = dev/sda2
2 GB swap space = dev/sda3
38 GB ext4 = dev/sda4

Cakera keras Secondary (b)
New volume 50 GB NTFS = dev/sdb1
DATA 50 GB ext3 = dev/sdb2

Supaya lebih difahami, saya simpulkan di bawah agar lebih terang dan jelas:

dev/sda1

dev = mewakili sumber device dalam hiraki sistem Ubuntu linux
sd = mewakili jenis cakera keras IDE (hd) atau SATA (sd)
a = bilangan cakera keras, USB pendrive pada Ubuntu samada a, b, c dan seterusnya.
1 = kedudukan sesebuah partisi dalam cakera keras.

Jika anda sekarang menggunakan Ubuntu, buka aplikasi Terminal dan taipkan baris arahan ini untuk melihat senarai jumlah cakera keras, bilangan partisi dan jenis format partisi tersebut:

sudo fdisk -l

Atau boleh juga menggunakan GUI iaitu dengan bantuan aplikasi Disk Utility.

Saya rasa sedikit sebanyak entri ini boleh membantu memahami format partisi dan kedudukannya di dalam sistem linux, untuk mengetahui lebih lanjut format-format ext2, ext3 mahu pun ext4, anda boleh membaca di wiki ext4. dan mungkin Linux partition HOWTO boleh menjelaskan lagi keadaan sebenarnya.

Jika berkesempatan di lain masa, akan saya ketengahkan asas pemasangan Ubuntu pada sebuah cakera keras di komputer. Insyaallah..

01 Oktober 2011

Baju T Ubuntu: Bersedia Untuk Dihantar




Setelah 2 minggu saya outstation (kerja), pagi tadi baru saya sampai ke Kuala Lumpur (rumah saya).. penat outstation pun belum habis lagi.. sempat saya ambil gambar longgokan baju T Ubuntu seperti di atas..
Pertama sekali, saya mohon maaf di atas kelewatan ini dan beberapa masalah lain yang timbul. Kini, baju tersebut akan saya packing sehari dua ini dan Isnin akan mula dihantar mengikut alamat masing-masing. Jadi, saya jangka minggu depan semua akan mendapat baju tersebut. Mana-mana yang self collect sila hubungi saya mulai hari ini untuk mengambilnya. 

Kesempatan ini, saya ucapkan ribuan terima kasih kepada mereka yang telah menyokong kempen baju Ubuntu ini, lepas ini bolehlah tayang kat member-member.. Baju yang anda akan pakai ini nanti akan mula membuka cerita tanpa mulut anda memulakannya.. iyer sokonglah sumber terbuka!

Terima kasih sekali lagi..


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...