16 Januari 2011

Tahun lepas Dan Tahun Baru 2011

Lidah Pengarang 16 Jan: Bagi sesiapa sahaja yang mengikuti blog saya, mungkin kecewa sebab sudah masuk pertengahan bulan Januari 2011 tiada satu pun artikel dikeluarkan. Bukan saudara sahaja yang terasa, bahkan saya sendiri pun terasa demikian. Sepertimana penulis blog yang lain, mereka juga ada komitmen masing-masing. Begitulah juga saya, akhir-akhir ini anak kecil (kembar) saya yang baru mencecah hampir 3 bulan buat perangai tidur lewat. Ada kadang-kadang waktunya sehingga jam 3 pagi, demi anak yang baru mengenali dunia amatlah saya titik beratkan.

Kepada saudara atau rakan-rakan saya yang membaca blog ini yang sudah besar panjang, tentu boleh berdikari sendiri ke mana haluan mahu dituju. Jadi, dengan penjelasan yang  ringkas ini dapatlah memberikan sedikit jawapan kepada saudara.

Sebelum saya meneruskan muqadimmah tahun 2011 ini, saya ingin ucapkan berbanyak terima kasih kepada pembaca sekalian meskin pun baru hari ini anda menemui blog ini. Saya juga ingin memohon maaf andainya ada terkasar bahasa baik dari segi penulisan, menjawab semua pertanyaan (E-mail) dan macam-macam lagi kekurangan. Jujur saya katakan, memang cara susunan ayat-ayat saya tidak seperti penulis blog yang lain yang nampak agak kemas dan canggih, penuh bahasa baku dan jauh sekali berbanding ayat-ayat saya. Darjah 1 hingga ke darjah 6, subjek Bahasa Malaysia saya agak lemah (selalu merah bila diberi markah). Tapi semua ini, tidak melumpuhkan hasrat saya untuk terus berkarya. Biar apa orang kata, saya tetap saya.

Sepanjang 2 tahun lepas, artikel saya banyak memfokuskan kepada cara penggunaan Ubuntu yang menyentuh mengenai Nautilus, panel, beberapa hubungan gajet dan permasalahan yang perlu ditangani. Jika anda perasan, saya jarang mengeluarkan berita perkembangan terkini tentang ubuntu, kemaskini aplikasi baru dan sebagainya. Tentang apa yang terbaru dalam perkembangan berita ubuntu, anda boleh kunjungi laman tempatan seperti Jomlinux.com, Melayubuntu, SumberTerbuka.Net dan beberapa lagi.

Jadi Tahun ini, semua artikel saya masih menjurus ke arah penggunaan dalam menguasai Sistem Operasi Ubuntu dan sekali-sekala akan diselitkan artikel perkembangan, keserasian gajet, tutorial tertentu dan lain-lain dirasakan perlu atau di atas permintaan pembaca.

Jadi, tidak perlulah membandingkan blog saya dengan orang lain; masing-masing mempunyai konsep yang berbeza. Oh ya! kalaulah blog saya pasal politik, muat turun lagu, berita panas artis sudah tentu jumlah pelawat beribu-ribu sehari!! Tahun lepas, purata pengujung yang melawat blog saya setiap hari masih tidak lebih daripada 100 kali (80 hingga 90 kali sahaja). Saya tidak kecewa dengan angka ini, kesimpulannya masih ramai rakyat di Malaysia yang masih tidak tahu Sumber Terbuka. Kalau ada pun, masih selesa mengunjungi laman berbahasa Inggeris. 

Adakah Bahasa Malaysia tidak relevan untuk diterjemahkan ke ilmu komputer? Anda tanyalah pada diri anda sendiri!

Akhir kata, saya memohon ke Hadrat Illahi agar diberi semangat untuk meneruskan perjalanan blog ini hingga bersua ke tahun hadapan.

1 ulasan:

Arya Putra berkata...

Saya menyokong penuh bro deen!
Teruskan bersemangat menulis bro!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...