Adakah anda pengguna Ubuntu yang baru hendak bermula? Tidak kira versi Ubuntu yang anda guna, pasti mula-mula anda akan kekok atau tidak biasa dengan antaramuka (interface) Gnome. Saya yakin, rata-rata pengguna Ubuntu adalah berasal daripada pengguna Windows XP, Vista mahupun 7. Sudah pasti pengalaman anda bersama Windows dahulu masih segar dalam menguasai fungsi, panel, perangai, warna, susun letak icon dan pelbagai lagi arahan Windows.
Adakah semua ini akan membantu anda menguasai dunia Ubuntu? Jawapannya adalah 30% sahaja, kenapa saya berkata demikian? Ini kerana Ubuntu mempunyai antaramuka yang dinama GNOME. Susunatur Menu pada Gnome jauh sekali berbanding Windows.
Di sini saya mahu andaikan anda sudah 4 hingga 5 tahun menggunakan telefon bimbit Nokia, tiba-tiba kemahuan anda beralih arah mahu membeli telefon bimbit jenama Sony Ericsson pula. Buat pertama kali, penggunaan menu dan fungsi butang-butang tertentu membuat anda terhenggeh-henggeh menggunakan Sony Ericsson. Perlahan-lahan anda cuba menguasainya, hari ke hari, minggu silih berganti, dan hampir sebulan anda akan mahir dengan aplikasi pada Sony Ericsson ini.
Pengalaman di atas bolehlah saya simpulkan sebagai "budaya baru". Maka dengan ini, sebaik sahaja anda melangkah ke Ubuntu; sudah pasti anda memerlukan masa untuk menguasai Distro Linux Ubuntu ini. Saya ingin mengingatkan kepada diri sendiri dan kepada anda; bak kata pepatah, malu bertanya sesat jalan. Maksudnya, Jika tidak faham mana-mana bahagian dalam Ubuntu baik dari segi operasi, fungsi, pemacu mahupun perkakasan; eloklah bertanya atau minta pertolongan daripada komuniti, forum, blog-blog tertentu atau rajinkan dengan mencari ilmu daripada sumber percuma di internet.
Menyentuh mengenai tajuk artikel saya ini berkenaan Ubuntu Help Center, berapa ramai yang menggunakannya. Hilang 1 ikon pada panel sudah menggelabah, terus tanya dalam forum. Bukan cara ini tidak betul, cuma jawapan bukanlah serta-merta, mereka (otai-otai) bukannya memasang sistem SMS yang boleh berhubung terus daripada Forum tertentu ke telefon bimbit mereka untuk mengesan setiap soalan yang muncul. Satu perkara lagi, sekiranya soalan anda sudah terjawab dan dapat menyelesaikan masalah yang dihadapi, tandakan SOLVED serta ringankan jemari untuk menaip ucapan terima kasih kepada mereka yang sudi membantu. Setidak-tidaknya mereka dihargai biarpun tiada komisen.
Sebenarnya, masalah-masalah kecil sudah ada jawapannya pada Ubuntu Help Center. Tekan sahaja papan kekunci F1, carilah penyelesaian masalah anda berdasarkan tajuk-tajuk yang telah disusun kemas. Saya percaya, jika tiada masalah sekalipun, anda ada masa terluang bacalah Ubuntu Help Center. Sekurang-kurangnya 40% anda sudah boleh menguasai panel Ubuntu dengan pantas.
Sekian buat kali ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan