2 tahun yang lalu tidak pernah terlintas untuk saya menggunakan Ubuntu atau lebih tepat lagi Sistem Operasi pengendalian Linux ini. Malah mendengar nama Ubuntu pun sudah membuatkan saya ketawa, mungkin pada ketika itu; saya merasakan Ubuntu Linux hanya sesuai untuk mereka yang pakar dalam aturcara komputer sahaja. Ternyata andaian ini meleset sama sekali, ikuti cerita saya selanjutnya.
Saya masih ingat lagi, ada seorang pengaturcara di pejabat saya yang mengesyorkan agar menggunakan Ubuntu jika malas melayan karenah Virus yang menjangkiti Windows. Hamba Allah tersebut telah pun meletak jawatannya di pejabat saya sekitar penghujung tahun lepas dan kini sudah bekerja di tempat baru. Pada masa beliau memperkenalkan Ubuntu kepada saya (tahun 2008) hanya versi 8.04 LTS. Bakh (bukan nama sebenar) telah menunjukkan kepada saya rupa Ubuntu tersebut, dek kerana tema Ubuntu nampak hodoh, langsung saya tidak mempedulikannya. Pada saya, Ubuntu tidak sesuai untuk orang macam saya yang tidak tahu apa-apa tentang komputer. Apa yang saya tahu hanyalah memasang aplikasi pada Windows sahaja.
Mencuba Ubuntu
Takdir malang telah menimpa kepada saya. Saya terbabit kemalangan pada penghujung tahun 2009 hampir meragut nyawa saya, namun saya bersyukur kerana tangan kiri sahaja yang patah dan kini ada besi sepanjang 2 inci yang menjadi penyokong tulang yang patah tersebut. Dipendekkan cerita, nasib malang sekali lagi menimpa apabila semua maklumat dalam komputer saya pada ketika itu telah musnah kerana kejahatan Virus. Sudahlah saya tidak berupaya dan cuti panjang terlantar dirumah, komputer pula buat hal. Kesempatan inilah saya mengunjungi Cyber Cafe berdekatan rumah saya untuk mencari jawapannya dan hal ini juga mengingatkan kepada saya Ubuntu sepertimana cerita saya di atas tadi.
Setelah menunggu CD live Ubuntu yang ditempah percuma, 2 minggu kemudian tibalah Ubuntu tersebut iaitu Ubuntu 9.04. Saya pun memasangnya pada komputer saya, kerana buta komputer dan pengetahuan saya yang amat lemah, banyak kesilapan sebagai pengguna baru menyebabkan saya mengambil jalan pintas dengan Format semula sehingga berulang-ulang kali. Saya bertekad untuk menggunakan Ubuntu bagi menggantikan Windows hanya kerana Virus sahaja!, biarlah kata orang bersusah dahulu, bersenang kemudian. Jadi biarlah kita mengenal dahulu dan mencuba Ubuntu sejauh mana kemesraan OS ini.
Pengalaman Menggunakan Ubuntu
Berkat usaha, sabar dan yakin tiada apa yang susah melainkan berusaha untuk mencapainya, kini saya telah pun selesa bersama Ubuntu. Kini baru saya tahu, Ubuntu tidak susah. Kenapa saya rasa susah diperingkat awal sebab saya mengatakan Ubuntu adalah Windows, sebaliknya Ubuntu bukannya Windows. Andainya saya didedahkan ilmu ini di peringkat mula-mula, sebenarnya Ubuntu adalah mudah kerana setiap aplikasi disusunkan mengikut kategorinya.
Berkongsi
Bertitik tolak hasil pencarian, usaha yang tidak jemu, saya merasakan sudah tiba masanya saya mula bercakap tentang Ubuntu dengan jiran-jiran terlebih dahulu. Demi Allah ketika itu, tidak seorang pun tertarik dengan Ubuntu setelah saya bercerita panjang lebar. Hanya tuhan sahaja yang tahu niat murni ini untuk menyelesaikan kebuntuan yang mereka hadapi terhadap karenah Windows. Namun, kesungguhan niat baik ini; satu persatu saya memasang Ubuntu pada Komputer mahupun laptop pada jiran dan kawan-kawan saya. Masa tersebut, saya belum lagi menulis blog ini, kerana susahnya saya mahu membantu mereka dengan ilmu Ubuntu, maka saya mula menulis blog khas untuk kawan-kawan saya di Terengganu, Sabah, Johor dan beberapa negeri lain kerana mereka telah menggunakan Ubuntu. Saya tidak mengharapkan apa-apa balasan, cuma saya akan merasa puas kerana dapat membantu mereka dengan beberapa tutorial di blog saya. Inilah perjuangan saya selagi tangan ini mampu menulis.
Satu pesanan daripada saya, berkongsilah apa yang anda tahu kepada rakan-rakan anda, jangan lebih-lebih memberitahu kepada mereka. Ukurlah baju sendiri, takut termakan diri.
Masih Belajar
Saya tidak pernah mengatakan saya pandai atau pakar dalam menguasai Ubuntu, buangkan jauh-jauh fikiran ini pada kotak fikiran saudara. Saya masih lagi belajar kerana setiap saat ada perkara baru yang belum saya ketahui. Lihat sendirilah, pada entri blog saya, terlalu banyak perkara yang tidak sempat saya muatkan. Terus terang saya katakan, setiap kali saya mencari, menjelajah internet dengan Google bersabit Ubuntu, pasti ada sahaja artikel baru, permasalahan, penyelesaian, perkongsian dan tidak lupa juga ada yang menghentam penggunaan Ubuntu yang katanya tidak relevan dengan masa serta tidak mampu berhubung dengan teknologi pekakasan yang saban hari semakin berdaya saing. Ah! Orang ini sebenarnya lebih kepada dengki yang hakikatnya mereka belum lagi mencubanya. Ingat, Ubuntu adalah percuma; jadi belajar ... belajar.. belajar.. adalah penyelesaiannya untuk menguasai sesuatu yang istimewa ini, jangan ingat belajar 1 benda hendak pandai 10 benda dalam sekelip mata. Mustahil!..
Kesimpulannya, bagi mereka yang baru sahaja mengunjungi blog saya ini, terimalah saya seadanya. Saya lebih selesa memperkenalkan Ubuntu dan cara-cara menggunakannya, tentang tutorial pemasangan aplikasi hanyalah selingan entri sahaja. Percayalah, hanya dengan menaip di internet (google) apa-apa perkataan dan diakhiri "ubuntu", anda akan menemui beribu-ribu jawapannya. Yakinlah, susah atau senang sesuatu perkara bergantung kepada usaha di tangan anda sendiri!....
2 ulasan:
Kaedah Cuba-Jaya gak yang paling best dan mudah ingat.
:3
Aku dulu pun belaja dgn kaedah ni. Nak hancur PC aku main reformat je. he he
Iyer, masa tu aku selalu bermain dengan pelbagai Tema-tema, habis lari setting default.. pengalaman mengajar kita bagaimana menghargainya..
Catat Ulasan