Hari ini merupakan hari pertama saya mengisi ruangan blog deensokmo ini. Bulan lepas tahun 2011 telah melabuhkan tirainya, dan kini kita di ambang tahun 2012. Masih tidak terlewat untuk saya menyelitkan ucapan yang biasa didengar iaitu "Selamat Tahun Baru".
Banyak sungguh benda yang tercicir, banyak masa saya bocor kepada 2 anak kembar saya yang baru setahun jagung meniti usia untuk bertatih.
Tahun ini, dapat kita perhatikan perkembangan pesat Persekitaran Atas Meja (Desktop Enviroment) Ubuntu. Sejak Unity diperkenalkan bermula Ubuntu versi 10.10 (Maverick Meerkat) dan sehingga sekarang versi 11.10 (Oneiric Ocelot), telah banyak kemas kini perubahan pada wajah Unity tersebut. Di akhir tahun lepas, telah tercatat di Distrowatch.com di mana sokongan Unity telah menurun ke 1 tangga dan tahkta nombor satu tersebut telah dicuri Linux Mint. Kenapa Linux Mint begitu popular? Mengapa Linux Mint berjaya meraih sokongan pengguna Ubuntu amnya? Ini adalah disebabkan Mint 12 (Lisa) telah diberi sentuhan oleh Gnome Shell (Gnome 3). Namun begitu, Gnome Shell tersebut pula diberi nafas baru dengan mencipta Shell Extension yang nampak lebih segar berbanding extension asal Gnome Shell iaitulah MGSE (Mint Gnome Shell Extention).
Sejak sekian lama ramai pengguna Ubuntu telah terbiasa dengan penggunaan Compiz, maka ada yang mengatakan Compiz terlalu tamak RAM (pengunaan memori), laptop mudah panas meskin pun telah membuat perubahan dengan mengkompil pada kernel dan banyak lagi alasan yang tidak sedap didengar. Mungkin mereka sudah lupa, kesan Compiz seperti Desktop Cube, Animasi khas dalam penjajaran Nautilus Window Manager, Metacity, Compositing dan pelbagai lagi efek menarik adalah punca yang menjinakkan mereka terpaut pada Ubuntu di kala itu. Kini, keindahan Gnome Shell tidak lagi memerlukan kepada jasa Compiz, Gnome Shell diberi kelainan dengan menggunakan Mutter sebagai penganti. Sentuhan Mutter digunakan untuk Compositing Window Manager yang diasaskan daripada Metacity Window Manager. Bagi mencipta efek pergerakan pada Gnome Shell, Clutter toolkit pula telah dimuatkan bersamanya. Menurut staff penyelenggaraan Gnome Shell iaitu Owen Taylor , keperluan Plugin untuk Mutter adalah dihasilkan melalui Skrip Java. Mungkin ramuan teknologi inilah yang menyebabkan pembangun Distro seperti Linux Mint, Pinguys dan lain-lain tidak mahu menggunakan Unity pada Sistem Operasi mereka.
Selain itu, bertambah meriah lagi apabila wujudnya kumpulan daripada pembangun Mint menggunakan MGSE sebagai asas untuk membentuk satu lagi Persekitaran Atas Meja baru yang diberi nama Cinnamon. Sekali pandang, Cinnamon menyamai Mint sebab-sebab yang telah saya sebutkan tadi, namun saya tidak pasti adakah extension MGSE ini boleh dipakai atau tidak pada Cinnamon, kerana saya belum berkesempatan mencubanya lagi.
Berikutan perkembangan ini, Canonical masih lagi memberi ruang kepada pengguna Ubuntu 11.10 memasang Persekitaran Atas Meja yang lama dengan diberi nama Gnome Classic Desktop. Untuk memasang Classic Session ini pengguna hanya mencari dan memasang gnome-session-fallback dalam Ubuntu Software Center.
Sebenarnya anda tidak perlu pening kepala untuk memilih mana satu jenis Desktop yang ingin dipakai, anda boleh memasang ke semua 4 jenis Persekitaran Atas Meja tersebut pada Ubuntu 11.10 anda, untuk memulakan mana-mana Desktop yang disukai, terdapat pilihan Session semasa memasukkan kata laluan atau boleh logout dan login semula pada Ubuntu anda.
Pun begitu, anda masih lagi bebas memasang Persekitaran Atas Meja yang lain selain daripada yang saya sebutkan di atas seperti XFCE, KDE, LXDE, OPenbox dan pelbagai lagi. Oleh kerana Linux adalah sumber terbuka, maka kunci kebebasan masih berada di dalam genggaman anda. Pilihlah yang mana disukai. Saya? Oh ya masih lagi selesa dengan Ubuntu 10.04 LTS dan mungkin akan dinaik taraf pada bulan 4 (April) tahun ini kerana pada akhir bulan tersebut Ubuntu versi 12.04 LTS akan dilancarkan secara rasminya. Sebab itulah tidak banyak entri saya yang menjurus ke arah Unity atau Gnome Shell.
Sehingga berjumpa lagi.. Sekian..
Tiada ulasan:
Catat Ulasan