27 Mei 2011

Bolehkah Windows Bersalaman Dengan Ubuntu?

Mungkin gambar di atas memeranjatkan anda. Sebenarnya sejak dari dulu lagi Ubuntu-linux tidak menolak Windows, apa yang saya perhatikan ada segelintir pengguna Ubuntu terus menyampah dengan Windows sebaik sahaja jatuh hati pada Ubuntu. Mereka ada sebab kenapa bersifat demikian. Mereka yang menolak Windows pasti tidak akan lupa bahawa mereka juga bermula dengan Windows.

Sistem Operasi Tulen Dan Berbayar
Ubuntu adalah sebuah Distro sumber terbuka, manakala Windows sumber tertutup. Microsoft tidak akan sesekali memberi peluang kepada Canonical, semua produk Microsoft sama sekali tidak akan menyokong sumber terbuka melainkan anda perlu membayar "titik peluh" syarikat gergasi ini untuk mengaktifkan sesuatu perisian bagi mendapatkan lesen yang sah. Namun, secara sedar atau tidak; anda (pengguna Windows) telah pun menggunakan aplikasi Sumber Terbuka ini contohya pelayan Fire Fox, Google Chrome Opera Browser, Open Office, Thunderbird dan banyak lagi. Microsoft berjaya menawan seluruh dunia dan kesannya jika menggunakan produk cetak rompak atau tidak tulin; kompaun yang boleh disabitkan (Malaysia) tidak salah saya di bawah Akta berikut:

AKTA HAKCIPTA 1987
Akta ini dan perundangan-perundangan subsidiari di bawahnya adalah bertujuan untuk memberi hakcipta kepada karya-karya dan melindungi hak-hak eksklusif tuanpunya hakcipta daripada dicabuli oleh pihak lain.

  •     Menjual salinan langgaran karya hakcipta;
  •     Menyewa salinan langgaran karya hakcipta;
  •     Membuat salinan langgaran karya hakcipta;
  •     Mengedar salinan langgaran karya hakcipta;
  •     Memiliki salinan langgaran karya hakcipta;
  •     Mengimport salinan langgaran karya hakcipta;
  •     Mempamerkan salinan langgaran karya hakcipta;
  •     Memiliki alat perekaan bagi membuat salinan langgaran untuk perdagangan
* Salinan langgaran adalah salinan cetak rompak.

Denda yang boleh dikenakan
Bagi kesalahan pertama membuat, menyewa, mengedar, memiliki, mempamerkan, mengimport salinan langgaran denda boleh dikenakan sehingga RM10,000.00 bagi setiap salinan langgaran atau 5 tahun penjara atau kedua-duanya dan bagi kesalahan berikutnya denda sehingga RM20,000.00 setiap salinan langgaran atau 10 tahun penjara atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan pertama membuat/memiliki alat perekaan untuk membuat salinan langgaran denda boleh dikenakan sehingga RM20,000.00 bagi setiap salinan langgaran atau 10 tahun penjara atau kedua-duanya dan bagi kesalahan berikutnya denda sehingga RM40,000.00 bagi setiap perekaan atau 20 tahun penjara atau kedua-duanya.

Sistem Operasi Tulen Dan Percuma
Tidak seperti Windows, Ubuntu akan selamanya tulen dan percuma tanpa perlu mengaktifkannya dengan kekunci produk kerana inilah yang dijanjikan oleh syarikat Canonical. Bahkan banyak entri saya sebelum ini dengan terang dan jelas menyatakan salinlah Sistem Operasi Ubuntu sebanyak mana yang anda mampu dan edarkannya kepada rakan-rakan tanpa anda mengenakan cas terhadap OS ini; cas yang mungkin boleh dikena adalah dari segi masa, harga Blank CD, pembungkusan, penghantaran dan lain-lain perkara yang munasabah.

Windows saya adalah tulen, perlukah kepada Ubuntu?
Inilah topik yang saya mahu tekankan di sini. Renungkan sejenak akta di atas, jika anda adalah sebaliknya; mungkin anda boleh mngelak diri daripada kompaun ini, tetapi tidak dengan Allah S.W.T yang Maha mengetahui... balasan-Nya adalah beribu-ribu kali ganda azabnya di akhirat nanti. Subhanallah!!

Di awal perenggan saya membawa maksud Ubuntu boleh bersalaman dengan Windows. Kenapa saya berkata begini? Baiklah akan saya terangkan secara umum. Terdapat beberapa kriteria yang ketara iaitu penggunaan WUBI, GRUB, WINE.

WUBI dicipta secara ringkasnya adalah untuk Ubuntu berada di dalam dicelah-celah aplikasi Windows. Iaitu ianya hidup seolah-olah aplikasi dan boleh dibuang Ubuntu ini sekiranya tidak suka. Tidakkah ini mencerminkan Ubuntu ingin berdamping dengan Windows? Sebaliknya Windows yang sumber tertutup tidak akan menyediakan kemudahan seakan WUBI ini untuk pengguna linux. (jangan ambil kira aplikasi Virtual Machine).


GRUB pula beperanan menggantikan MBR bagi memboleh Windows dan Ubuntu berkongsi rumah (komputer) yang mana mempunyai sistem perkakasannya yang serupa. Di dalam senarai menu GRUB (jika dual-boot) masih lagi diberi laluan kepada Windows untuk hidup bersama, betapa murninya sistem yang dibangunkan oleh sekumpulan sumber terbuka ini. Tidakkah ini mengambarkan Ubuntu masih sayangkan Windows? Sebaliknya, jika anda memasang Ubuntu terlebih dahulu pada sesebuah komputer dan disusuli pemasangan Windows, minta maaf tiada komproni lagi, habis akan jahanam GRUB akibat tendangan MBR semata-mata untuk Windows tersebut hidup. (Jangan risau, ada penyelesaiannya)..

WINE adalah sebuah pentas yang membolehkan sebarang aplikasi berformat .EXE di pasang pada Ubuntu. Agaknya bila Windows boleh menyediakan platfom sedemikian untuk .DEB bertapak sebaris dengan aplikasi dalam Windows? Atau mungkin anda perlu muat turun FreeConverterDEB2EXE? Ah tidak mungkin idea ini akan berlaku.

Oleh yang demikian, jadi tidak salah mencuba yang percuma seperti Sistem Operasi Ubuntu ini, percayalah dan yakinlah anda akan menemui sesuatu pengalaman baru sebaik sahaja mencuba Ubuntu. Pengalaman ini amat berbeza sekali sewaktu anda menggunakan Windows. Samada anda darjah 1, Tingkatan 1, Semester 1 di Kolej , beristeri lebih daripada 1, atau 1 Malaysia boleh menguasai Ubuntu dengan mudah. Kebanyakan Sumber Terbuka bergabung idea dari seluruh pelusuk dunia untuk menghasilkan sesuatu yang terbaik yang mempunyai ciri-ciri mudah, mesra pengguna, auto-pemasangan dan keselamatan untuk disebarkan kepada umum secara percuma; berbanding Windows yang ideanya datang daripada sebahagian kakitangan jurutera aturcara di dalam syarikat tersebut untuk anda mesti membelinya. 

Akhir kata, kepada saudara baru Ubuntu dan pembaca Windows khususnya, selagi belum mencuba Ubuntu jangan berkata apa-apa (susah atau senang), jangan mendengar kata orang Linux adalah susah. Cuba pelajari, hayati keindahannya, rasai kestabilannya, selami kehebatannya terlebih dahulu dan barulah anda boleh menilaikannya. Pada pendapat saya, apakah rasionalnya anda menghindari Ubuntu-linux sebelum mencubanya dan sanggup pula sedaya upaya mencari Anti-Virus yang terbaik bagi menjamin keselamatan Windows anda?

Tiada ulasan:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...