16 Jun 2013

Pelayar Slimboat Yang Pantas

Tidak saya nafikan, pelayar internet seperti Firefox, Chrome (aka Chromium di Linux), Safari dan Internet Explorer adalah pilihan utama meskinpun terdapat berpuluh-puluh lagi pelayar yang sedang membangun dan sedang digunakan oleh segelintir pengguna.

Ingin mencuba kelainan? Pelayar Slimboat adalah cross-x platform untuk Windows, Mac OS X dan Linux yang mana menjanjikan kepantasan, keselamatan dan amat stabil. Untuk merasai kehebatan pelayar Slimboat ini, anda harus mencubanya sendiri. Di sini saya sertakan beberapa keratan gambar pelayar Slimboat ini.

Gambar 1

Antara muka saat dimulakan. Bagaimanapun, anda boleh mengubahsuai Bookmarks ini di dalam pilihan "Tools > Options".

Gambar 2

Youtube nampaknya serasi dengan pelayar Slimboat ini. Begitu juga beberapa laman lain yang diuji oleh saya.

Gambar 3

Pelayar Slimboat menyokong Windows, Max OS dan Linux. Pengguna Ubuntu boleh muat turun .deb mengikut Architecture CPU samada 32bit atau 64bit.

Gambar 4

Gambar 4 menunjukkan saya sedang muat turun video daripada Youtube tanpa memasang apa extention atau adds on tambahan, malah diberi pilihan untuk ektrak kepada mp3.

Muat turun pelayar Slimboat

*Pengguna Ubuntu, sila muat turun .deb dan selesai muat turun hanya perlu dwi klik sahaja untuk memasang pelayar ini.

22 Mei 2013

Memasang Microsoft Office Alternatif King Soft Office versi Linux Pada Ubuntu 12.04/12.10/13.04

King Soft Office versi linux ini dibangunkan oleh Zhuhai. Versi setakat hari ini telah mencapai versi 9.1.0.xxxx. Berbeza versi beta sebelum ini yang telah saya uji, versi 9.1.0 ini boleh saya katakan 95% telah ada terjemahan English di mana sebaik sahaja membuka aplikasi King Soft Office ini, akan ditanya bahasa lalai untuk tetapan 'Chinese' atau 'English'.

King Soft Office versi linux ini adalah percuma dan terdiri daripada King Soft Office Writer (Word processor), King Soft Office Spreadsheet (Excel) dan Presentation (Power Point).

Writer
Spreadsheet
Presentation
 Memasang King Soft Office pada Ubuntu 12.04/12.10/13.04

Buka aplikasi Terminal dan masukan baris perintah berikut:

>> Untuk 32bit

cd && wget -O kingsoft-office-ubuntu.deb http://goo.gl/x58jB

sudo dpkg -i kingsoft-office-ubuntu.deb


>>Untuk 64bit

sudo apt-get install ia32-libs

cd && wget -O kingsoft-office-ubuntu.deb http://goo.gl/x58jB

sudo dpkg -i kingsoft-office-ubuntu.deb

Menyelesaikan "Missing Font"
Extract zip wps_symbol_fonts.zip ke ~/.fonts

jika direktori .fonts tiada di Home anda, bina satu direktori tersebut dengan dimulai tanda titik "." (.fonts)

Selesai memasang, anda kini sudah boleh menggunakannya..
Sekian.

23 Februari 2012

Borang Tempahan Dan Pembelian Baju Ubuntu Malaysia


Semua tempahan Baju Ubuntu telah ditutup untuk Fasa 1 ini, buat masa ini jika anda berminat boleh menghubungi saya melalui emel deensokmo@gmail.com. Sekian.

01 Februari 2012

Pertandingan Mencipta Baju Ubuntu Malaysia



Kepada pengunjung blog saya yang budiman, bermula 1 Februari 2012, Ubuntu-my telah mengadakan satu pertandingan merebut johan untuk menghasilkan reka bentuk untuk baju Ubuntu Malaysia LoCo Team.

Untuk menyertai pertandingan ini langkah pertama ialah mesti mendaftar terlebih dahulu di dalam forum Ubuntu Malaysia. (jika belum)

>> Klik untuk daftar keahlian <<
>> Link Pertandingan Mencipta Baju Ubuntu Malaysia <<

Penyertaan yang berjaya ini akan mendapat habuan berupa sehelai Baju Ubuntu Malaysia dan 1 unit 8GB pendrive..

Jom tunjukkan bakat anda! Tidak perlu kemahiran grafik.. Mana tahu mungkin ini rezeki anda?

25 Januari 2012

Muat Turun Permainan Flash Dan Mainkannya Tanpa Internet

Persediaan:
  1. Mesti pakai Firefox Web Browser
  2. Video Download Helper - Pasang add on ini melalui Add on menu firefox
  3. Restart Firefox selepas pemasangan Downloadhelper.
Membuat Konfigurasi pada Downloadhelper 
Klik kanan pada ikon DownloadHelper dan pilih Preference.

Gambar 1

Gambar 2

1. Pergi ke Tab Capture
2. Buangkan tanda pada "Ignore media below size (KB)"
3. Tambahkan perkataan swf
4. Selepas tambah swf tekan butang Add
5. Tekan butang Close untuk mengakhiri tetapan

Muat turun Permainan
  1. Buka Firefox dan pergi mana-mana Website flash game. Contohnya fukgames.com.
  2. Sila jalankan mana-mana permainan yang disukai.
  3. Lalu klik pada anak panah di sebelah ikon DownloadHelper > namapermainan.swf > Download (lihat gambar 3).
 Gambar 3

Simpan permainan
Setelah proses muat turun selesai seperti gambar 4,

Gambar 4

Permainan ini akan disimpan dalam direktori /Home/dwhelper

Mainkan permain flash ini
Buka direktori dwhelper dan pilih permainan yang dimuat turun tadi, lalu klik kanan, Properties > Open with > Firefox Web Browser untuk menjalankan permainan.swf ini melalui Firefox, lihat Gambar 5.

Gambar 5

Jika Firefox tiada dalam senarai, sila tekan butang "show other applications". Kini anda sudah boleh bermain permainan Flash ini tanpa talian internet.

Nota: Cara yang saya tunjukkan di sini adalah untuk permainan yang tidak melibatkan level menaik, hanya untuk permainan yang mudah-mudah sahaja. Dan cara ini juga belum tentu dapat diaplikasikan kepada semua jenis permainan yang melibatkan hakcipta pembangun permainan tersebut.

Tutorial ini menggunakan Ubuntu 11.10 (Oneiric Ocelot) dan menggunakan Firefox versi 9.

Sekian.

Memasang Deepin Software Center Pada Ubuntu 11.10

Deepin Software Center (DSC)

Baru semalam saya memasang Ubuntu 11.10 pada Desktop saya setelah menggunakan Ubuntu 10.04 berbulan-bulan lamanya. Banyak benda yang perlu dibuat konfigurasi untuk menyesuaikan dengan kehendak saya.

Pada kali ini, tidak banyak yang ingin disentuh bagaimana mahu "Tweak" kan Ubuntu dengan Persekitaran Unity ini. Telah banyak blog mengetengahkan kelebihan Unity dan kekurangannya. Pada saya, Unity juga mudah diakses dan hanya mengambil sedikit waktu untuk membiasakan diri.

Baiklah, gambar di atas adalah Deepin Software Center (DSC). Aplikasi pemasangan perisian berpusat ini mempunyai tugas yang sama seperti Ubuntu Software Center yang didatangkan secara lalai, namun DSC nampaknya lebih menawan dan ditambah lagi ciri mesra seperti:
  1. Home - Muka paparan utama (seperti gambar)
  2. Repository - Menyelongkar perisian atau aplikasi untuk dibaca dahulu sebelum memasangnya dengan 1 klik.
  3. Upgrade - Memunculkan notis kemaskini secara automatik  jika ada versi terbaru aplikasi yang telah dipasang.
  4. Uninstall - Membuang aplikasi dalam sistem dengan selamat dan mudah.
  5. Download - Ikon notis yang menunjukan status aplikasi yang sedang dipasang.
  6. Pengguna juga boleh menukar tema DCS ini dengan menekan ikon petak-petak di sebelah butang Control windows (Max, Min, Closed).
Pemasangan
Pengguna Ubuntu boleh memuat turun pakej deb Deepin Software Center ini di sini:

Muat turun Deepin Software Center

Secara keseluruhan, dengan adanya DSC ini, kerja-kerja mengurus aplikasi dalam sistem Repo menjadi lagi lebih mudah dan menyeronokkan. Anda juga boleh mengaturkan DSC ini ke dalam Unity Launcher untuk senang diakses dan menjalankannya.

12 Januari 2012

Ubuntu Dengan Pelbagai Persekitaran Atas Meja

Hari ini merupakan hari pertama saya mengisi ruangan blog deensokmo ini. Bulan lepas tahun 2011 telah melabuhkan tirainya, dan kini kita di ambang tahun 2012. Masih tidak terlewat untuk saya menyelitkan ucapan yang biasa didengar iaitu "Selamat Tahun Baru".

Banyak sungguh benda yang tercicir, banyak masa saya bocor kepada 2 anak kembar saya yang baru setahun jagung meniti usia untuk bertatih.

Tahun ini, dapat kita perhatikan perkembangan pesat Persekitaran Atas Meja (Desktop Enviroment) Ubuntu. Sejak Unity diperkenalkan bermula Ubuntu versi 10.10 (Maverick Meerkat) dan sehingga sekarang versi 11.10 (Oneiric Ocelot), telah banyak kemas kini perubahan pada wajah Unity tersebut. Di akhir tahun lepas, telah tercatat di Distrowatch.com di mana sokongan Unity telah menurun ke 1 tangga dan tahkta nombor satu tersebut telah dicuri Linux Mint. Kenapa Linux Mint begitu popular? Mengapa Linux Mint berjaya meraih sokongan pengguna Ubuntu amnya? Ini adalah disebabkan Mint 12 (Lisa) telah diberi sentuhan oleh Gnome Shell (Gnome 3). Namun begitu, Gnome Shell tersebut pula diberi nafas baru dengan mencipta Shell Extension yang nampak lebih segar berbanding extension asal Gnome Shell iaitulah MGSE (Mint Gnome Shell Extention).

Sejak sekian lama ramai pengguna Ubuntu telah terbiasa dengan penggunaan Compiz, maka ada yang mengatakan Compiz terlalu tamak RAM (pengunaan memori), laptop mudah panas meskin pun telah membuat perubahan dengan mengkompil pada kernel dan banyak lagi alasan yang tidak sedap didengar. Mungkin mereka sudah lupa, kesan Compiz seperti  Desktop Cube, Animasi khas dalam penjajaran Nautilus Window Manager, Metacity, Compositing dan pelbagai lagi efek menarik adalah punca yang menjinakkan mereka terpaut pada Ubuntu di kala itu. Kini, keindahan Gnome Shell tidak lagi memerlukan kepada jasa Compiz, Gnome Shell diberi kelainan dengan menggunakan Mutter sebagai penganti. Sentuhan Mutter digunakan untuk Compositing Window Manager yang diasaskan daripada Metacity Window Manager. Bagi mencipta efek pergerakan pada Gnome Shell, Clutter toolkit pula telah dimuatkan bersamanya. Menurut staff penyelenggaraan Gnome Shell iaitu Owen Taylor , keperluan Plugin untuk Mutter adalah dihasilkan melalui Skrip Java. Mungkin ramuan teknologi inilah yang menyebabkan pembangun Distro seperti Linux Mint, Pinguys dan lain-lain tidak mahu menggunakan Unity pada Sistem Operasi mereka.

Selain itu, bertambah meriah lagi apabila wujudnya kumpulan daripada pembangun Mint menggunakan MGSE sebagai asas untuk membentuk satu lagi Persekitaran Atas Meja baru yang diberi nama Cinnamon. Sekali pandang, Cinnamon menyamai Mint sebab-sebab yang telah saya sebutkan tadi, namun saya tidak pasti adakah extension MGSE ini boleh dipakai atau tidak pada Cinnamon, kerana saya belum berkesempatan mencubanya lagi.

Berikutan perkembangan ini, Canonical masih lagi memberi ruang kepada pengguna Ubuntu 11.10 memasang Persekitaran Atas Meja yang lama dengan diberi nama Gnome Classic Desktop. Untuk memasang Classic Session ini pengguna hanya mencari dan memasang gnome-session-fallback dalam Ubuntu Software Center.

Sebenarnya anda tidak perlu pening kepala untuk memilih mana satu jenis Desktop yang ingin dipakai, anda boleh memasang ke semua 4 jenis Persekitaran Atas Meja tersebut pada Ubuntu 11.10 anda, untuk memulakan mana-mana Desktop yang disukai, terdapat pilihan Session semasa memasukkan kata laluan atau boleh logout dan login semula pada Ubuntu anda.

Pun begitu, anda masih lagi bebas memasang Persekitaran Atas Meja yang lain selain daripada yang saya sebutkan di atas seperti XFCE, KDE, LXDE, OPenbox dan pelbagai lagi. Oleh kerana Linux adalah sumber terbuka, maka kunci kebebasan masih berada di dalam genggaman anda. Pilihlah yang mana disukai. Saya? Oh ya masih lagi selesa dengan Ubuntu 10.04 LTS dan mungkin akan dinaik taraf pada bulan 4 (April) tahun ini kerana pada akhir bulan tersebut Ubuntu versi 12.04 LTS akan dilancarkan secara rasminya. Sebab itulah tidak banyak entri saya yang menjurus ke arah Unity atau Gnome Shell.

Sehingga berjumpa lagi.. Sekian..

24 Disember 2011

Pelancaran Sabily Uhud 11.10


Sebagai penutup pada tahun 2011 ini, projek Ubuntu edisi Muslim iaitu Sabily.org telah melancarkan OS terbaru mereka yang diberi nama Uhud 11.10 dan menggunakan asas Ubuntu Oneiric Ocelot. OS terbaru ini dipancu oleh persekitaran Gnome 3 dan didatangi bersama kernel Linux 3.0.

Seperti edisi sebelum ini, Sabily Uhud ini masih lagi mengekalkan ciri-ciri Muslim seperti aplikasi mempelajari Al-Quran / alat carian dan pemberitahuan waktu solat, kalendar Islam (Hijra, Thawab, Monajad) dan sokongan untuk bahasa Arab serta  lain-lain lagi. Dan apa yang menariknya ialah ke semua aplikasi yang dibekalkan ini telah diubahsuai supaya memiliki keserasian yang khas untuk Gnome3 (gnome shell). Antara lain, turut memuatkan aplikasi baru seperti:
  • Alfanous: Enjin carian Quran
  • gnome-shell-extension-islamic-datetime: Kemudahan gnome Shell Extention untuk fungsi kalendar / masa.
  • gnome-tweak-tool: Kemudahan untuk mengendalikan dan suntingan Gnome 3 (ikon, tema, extention dll)
Seperti Linux Mint, Uhud 11.10 juga telah dipadatkan dengan Java, Medibuntu, gstreamer, kod sumber terlarang dan macam-macam lagi agar pengguna baru tidak perlu lagi membuang masa untuk memuat turun dan memasang plugin tambahan ini, iaitu berkonsepkan "Pasang-Siap".

Apa lagi yang ditunggu, jom baca selanjutnya di laman rasmi mereka di http://www.sabily.org/website/ dan boleh muat turun Uhud 11.10 ini secara percuma.

Wassalam.

20 Disember 2011

Muat turun Pakej DEB Untuk Ubuntu

Saya terpanggil untuk mengetengahkan entri ini kerana masih ada lagi segelintir pengguna Ubuntu baru yang bertanya kepada saya di manakah tempat (URL/Link) untuk muat turun aplikasi Ubuntu terutamanya pakej DEB. Mereka yang bertanya ini kerana komputer mereka terhad kepada sambungan internet, maksudnya mereka mahukan Offline Installer.

Terdahulu saya telah tuliskan entri memasang pakej secara tanpa talian melalui Synaptic Package Manager. Cara tersebut amatlah senang, saya tidak tahu di manakah kegagalan untuk muat turun pakej melalui kaedah ini. 

Ok, baiklah; selain daripada kaedah itu, sebenarnya APTonCD juga boleh memain peranan untuk memasang pakej secara tanpa talian internet. Cuma ada di antara meraka tidak tahu menggunakan APTonCD ini.

APTonCD mestilah dipasang dahulu pada komputer Ubuntu yang ada talian internet dan Ubuntu tersebut mestilah sama versi dengan Ubuntu yang tiada talian internet. Dengan APTonCD, kita boleh mencipta meta package dan aplikasi ISO untuk dibakar ke CD/DVD dengan syarat-syarat berikut:
  • Komputer Ubuntu yang ada talian internet telah mengemas kini dengan aplikasi terkini.
  • Komputer ini juga tidak pernah menjalankan autoremove, clean dan sebagainya yang memaksa membuang pakej sementara deb.
Anda boleh ikuti tutorial APTonCD di sini. Antara lain, anda boleh mencuba Keryx Project di sini.

Cara seterusnya ini adalah kegemaran saya untuk muat turun pakej DEB melalui:
  1. Ubuntu Package (laman rasmi)
  2. pkgs.org (laman third party)
Mungkin ada banyak lagi laman yang menyediakan pakej deb seumpama ini, oleh kerana Ubuntu telah menyediakan USC (Ubuntu Software Center) jadi tidaklah susah sangat untuk memasang aplikasi (mesti ada talian internet). Walaupun entri ini ringkas, setidak-tidaknya anda tahu apa yang mahu saya sampaikan.

Sekian.

16 Disember 2011

Memasang Microsoft Font Pada Ubuntu

Gambar 1

Penting ke Huruf Microsoft ini pada Ubuntu? Errmm, sebenarnya tidak penting jika tidak perlu, namun ianya diperlukan bagi menjamin keaslian jenis tulisan pada dokumen yang ditaip oleh kawan kita (jika mereka menggunakan MS Office). Libre Office dan Open Office pada Ubuntu akan automatik mengesan jenis huruf pada dokumen MS Office (2003/2007/2010), jika tiada; maka sistem TrueType Font pada Ubuntu akan menggantikan jenis tulisan yang paling hampir dan sesuai.

Sebahagian jenis font MS Office
Andale Mono
Arial Black
Arial (Bold, Italic, Bold Italic)
Comic Sans MS (Bold)
Courier New (Bold, Italic, Bold Italic)
Georgia (Bold, Italic, Bold Italic)
Impact
Times New Roman (Bold, Italic, Bold Italic)
Trebuchet (Bold, Italic, Bold Italic)
Verdana (Bold, Italic, Bold Italic)
Webdings

Jadi untuk mengelak kepincangan jenis huruf ini, adalah lebih baik memasang Microsoft Truetype Font pada Ubuntu. Caranya mudah sahaja, buka aplikasi Terminal dan salin-tampal arahan ini:

sudo apt-get install msttcorefonts

Semasa pemasangannya, akan muncul jendela seperti gambar 2 (configuring ttf-mscorefonts-installer), tekan kekunci Tab untuk mengalihkan ke butang arahan "OK" dan tekan kekunci Enter.

Gambar 2

Seterusnya, akan muncul jendela pengesahan lesen EULA seperti gambar 3 dan tekan kekunci Tab atau kekunci anak panah kiri/kanan untuk mengalihkan kursor ke "Yes". Kemudian tunggulah sehingga semuanya selesai.

Gambar 3

Ada kemungkinan perlu logout dan login semula Ubuntu anda untuk mengaktifkan Font ini.

Nota:
Jika anda telah memasang Wine 1.3 dan memasang MS Office melalui PlayOnLinux tidak perlu mengikuti tutorial ini kerana PlayOnLinux akan memuat turun dan memasang Microsoft Font secara automatik.

28 November 2011

Menjadi Penyelaras Web Persatuan Penduduk Blok F

Nampaknya blog deensokmo terganggu buat seketika, saya dengan suka rela menjadi pentadbir untuk membina satu web site oleh AJK Penduduk tempat saya menginap sekarang ini. Saya tahu saya bukannya orang IT, namun saya gagahi juga untuk menyahut cabaran ini.

Kepada pengujung blog deensokmo yang saya hormati, saya meminta maaf di atas ketiadaan entri-entri baru berkenaan Ubuntu khususnya. Bagaimanapun semuanya akan berjalan seperti biasa sehingga ke awal Desember ini.

Walaupun saya tidak ramai pengikut, namun saya percaya ada segelintir pengikut yang selalu mengikuti perkembangan blog ini. Jangan kecewa, saya masih seperti dulu cuma tanggungjawab kena dibahagi-bahagikan. Harap masih bersama saya memberi sokongan.

Sekian daripada saya.

02 November 2011

Muat turun Flash Video Youtube Atau Video Sumber Terlarang Melalui Ubuntu

JIka anda pernah menggunakan Ubuntu 9.10, semua flash yang sedang ditayangkan pada YouTube berada di dalam direktori /temp. Bermula Ubuntu 10.04 dilancarkan, ianya telah mematuhi satu undang-undang hakcipta terpelihara. Tidak dinafikan terdapat banyak cara memuat turun flash daripada Youtube dengan memasang Add Ons pada FireFox browser. Namun adakalanya Add Ons ini tidak berfungsi sama sekali apabila anda memainkan flash video daripada sumber terlarang. Saya tidak mahu cakap halaman tersebut. Anda cari sendiri, Ok.

Sebenarnya flash tersebut masih berada di dalam sistem simpanan sementara, cuma ianya akan dipadamkan sebaik sahaja anda meninggalkan halaman tersebut untuk ke halaman lain pula. Jadi, untuk anda mengambil flash itu, pastikan video flash itu telah tamat tayangan dan jangan tutup dahulu skrin tersebut.

Apa yang perlu anda buat ialah, bina skrip arahan mencari flash, salin semua skrip warna biru ini dan tampal ke text editor (gEdit). Skrip ini boleh dipakai untuk selamanya selagi tidak dipadamkan.

#!/usr/bin/env bash

for flashpid in $(pgrep -f flashplayer.so); do
cd "/proc/$flashpid/fd"
for video in $(file * | grep '/tmp/Flash' | sed 's/\(^[0-9]*\).*/\1/g'); do
echo "/proc/$flashpid/fd/$video"
done
done

(Skrip ini bukan saya yang cipta, harap maklum)

Kemudian simpan skrip ini dengan nama yang sesuai dan hujung nama skrip ini ditambah .sh dan simpan ke direktori Home (nama anda).contohnya: carivideo.sh

Sila berikan keizinan kepada skrip itu (klik kanan pada skrip > properties > permission > Execute). Sebaik tayangan video flash (di internet browser FireFox) selesai, buka terminal:

bash carivideo.sh

Output terminal akan memaparkan senarai nama flash yang tidak diketahui, contohnya: /proc/10390/fd/17. Seterusnya pada terminal ialah salin semula output tersebut dan masukkan nama video yang sesuai. contohnya:

cp /proc/10390/fd/17 ~/Videos/test2.flv

Flash tersebut akan disimpan ke dalam direktori Videos dan nama flash tersebut ialah test2.flv. gantikan test2 dengan nama yang sesuai. Gambar di bawah adalah contoh yang saya buat.


Tutorial ini melanggar hakcipta beberapa buah negara (atau tempat tinggal anda)...

Menjalankan PortableApps.com Pada Ubuntu

Melihat wajah Aplikasi Mudah Bawa (PortableApps) ini, pasti ramai di kalangan kita sudah pun mengetahuinya. Jadi tidak perlulah saya menulis intronya. Gambar yang anda nampak di sebelah ini ialah menu platform Portable Apps.com, di mana di dalamnya terdapat berpuluh-puluh aplikasi yang disusun mengikut kategori seperti Pembangun, Pendidikan, Permainan, Grafik dan  Gambar, Internet, Muzik dan Video serta banyak lagi.

Seperti namanya, Mudah Bawa; jadi semua aplikasi dalam satu ini boleh dipasang pada komponen yang mudah dibawa seperti USB Pendrive, Memori Kad, Cakera Keras, telefon bimbit (yang ada memory stick) dan sebagainya.

Selain itu, ianya juga boleh dipasang pada komputer dan hanya memerlukan satu direktori sahaja jika tidak mahu dipasang pada USB Pendrive. Baiklah, berikut saya lanjutkan bagaimana kita boleh jalankan aplikasi ini pada Ubuntu.
  • Mula-mula KLIK SINI untuk pasangkan wine. (abaikan jika sudah memasang wine)
  • Selesai muat turun, dalam direktori tersebut anda akan dapati ada satu fail PortableApps.com_Platform_Setup_2.0_Pre-Release_4.2.exe (no 1), berikan keizinan fail ini untuk sistem execute. Klik kanan padanya > Properties > Permission > dan tandakan pada Execute. (versi yang saya muat turun ini mungkin tidak sama dengan versi yang anda muat turun).
  • Selepas itu, Klik kanan fail.exe ini dan pilih ke Open with wine Windows loader. Lihat gambar 2 di bawah untuk langkah seterusnya.
Gambar 2
  • Browse (no 2) ke direktori yang diciptakan tadi iaitu direktori PortableApps (no 3). Klik butang Ok (no 4) dan klik butang Install (no 5). untuk memulakan pemasangan.
  • Sistem Wine sedang menjalankan pemasangan fail exe ini, gambar 3.
 Gambar 3

  • Setelah siap dipasang, buka direktori PortableApps dan jalankan fail Start.exe. Akan muncul menu platform seperti gambar mula-mula di atas. Perhatikan pada panel Notification Area, terdapat satu ikon PortableApps dan ini menunjukkan ianya sedang berjalan (running).
  •  Seterusnya, mari kita pasang aplikasi ke dalam platform ini. Klik ikon PortableApps (pada panel). Perhatikan terdapat satu menu pelancar "Manage Apps", klik padanya. Ada 2 cara untuk kita menambah aplikasi baru:
  1. Get More Apps - Muat turun pakej aplikasi dan pemasangan automatik berdasarkan aplikasi yang telah kita tandakan seperti gambar 4. (mesti ada sambungan internet)
  2. Install a New Apps - Muat turun aplikasi dalam format *.paf.exe yang kita pilih sendiri terlebih dahulu dan pemasangan cara ini adalah tanpa talian internet (off line installer).
 Gambar 4

Saya andaikan anda sudah pun memasang beberapa aplikasi, jadi semua aplikasi ini akan disusun secara automatik dan ini akan memudahkan kita mencapai mana-mana aplikasi yang kita mahu jalankan.

Nota:
Direktori PortableApps (bersama aplikasinya sekali) yang kita cipta tersebut sebenarnya boleh disalin-tampal (copy and paste) ke USB pendrive utk membolehkan kita menggunakan platform Portable Apps ini pada komputer yang lain samada OS Ubuntu atau Windows. Hanya klik pada fail Start.exe sahaja.

Untuk maklumat lanjut, anda boleh layari laman rasminya di PortableApps.com.

25 Oktober 2011

Inkscape: Menukar Warna Teks Kepada Warna Objek

Entri ini adalah kesinambungan entri Inkscape saya yang lepas. Saya bukanlah pandai sangat menggunakan aplikasi penyunting grafik Inkscape ini, namun sejak kebelakangan ini suka sangat melekat di Inkscape. Jadi, saya mahu berkongsi sedikit tutorial Inkscape bagaimana warna teks dapat kita tukarkan kepada warna objek lain. Contoh tutorial yang saya buat ialah menggunakan objek daun yang hijau. Saksikan video bisu yang saya muat naik ini. Langkah demi langkah ada di bawah.


(A) Bahan-bahan
  1. Inkscape versi 0.48.2 (boleh dipasang melalui Ubuntu Software Center)
  2. Sekeping gambar daun hijau (suka hati anda mahu pakai gambar apa).
(B) Suntingan teks
  1. Perkataan: deen
  2. Jenis font: Impact
  3. Saiz font: 45px atau biar besar dan ikut selera.
 (C) Document properties (Shift + Ctrl + D)
  1. Saiz: A8
  2. Orientation: Landscape

(D) Langkah-langkah berikut adalah turutan di dalam video. (Muat turun lagi senang).
  1. Buka aplikasi Inkscape. 
  2. Import gambar daun (Ctrl + I). Kecilkan objek daun.
  3. Bina perkataan (F8) "deen" dan padankan ke atas objek daun.
  4. Select objek daun, kemudian klik menu Object > Pattern > Object to Pattern.
  5. Select objek daun + (Shift) + select teks deen.
  6. Klik menu Path > Intersection.
  7. Select teks deen dan duplicate (Ctrl + D) untuk menghasilkan teks deen bayang.
  8. Select teks deen bayang, alihkan sedikit kedudukannya ke bawah dan tukarkan warnanya ke hijau gelap.
  9. Select teks deen bayang, tekan tools Lower selection to buttom (End) dan susun kedudukannya seperti bayang.
  10. Option: anda boleh ciptakan stroke border jika mahu seperti yang saya lakukan iaitu Select teks + (Shift) > klik warna yang sesuai. Lakukan perkara yang sama juga untuk teks deen bayang.
Nota:
Anda boleh tekan (F1) untuk pintasan Select and transform objects (memilih atau menukar arahan sebelum klik pada tools yang lain). Tulisan bewarna Unggu ialah tekan papan kekunci.

Anda sudah pun siap, selain teks, kaedah ringkas ini boleh juga digunakan untuk lain-lain suntingan gambar.

24 Oktober 2011

Mencetak Dokumen MS Word 07 Ke PDF Melalui Ubuntu

Mereka yang menggunakan Libre Office atau Open Office tiada masalah untuk mencetak dokumen tertentu ke format PDF, hanya tekan butang PDF semua dokumen daripada .odt akan bertukar kepada .pdf. Tapi bagaimana pula seseorang itu yang memasang Micsrosoft Office pada Ubuntu melalui Wine ingin menukar dokumen itu ke format PDF? Pemasangan CutePDF tidak berhasil melalui Wine dan banyak lagi aplikasi kecil "print to PDF" yang dipasang ke dalam wine juga gagal bekerja sebagai virtual pdf printer. Sebenar jika mereka pakar sistem Unix dan wine boleh sahaja membuat beberapa konfigurasi untuk membenarkan satu-satu aplikasi berfungsi dengan baik dalam Wine. Tetapi saya bukanlah golongan orang yang demikian. Oleh kerana itu,  saya mengambil jalan mudah iaitu dengan memasang cups-pdf.

CUPS-PDF
CUPS-PDF menyediakan PDF Writer backend kepada CUPS. Ini bolehlah digunakan sebagai satu pencetak maya dalam satu rangkaian dokumen tanpa kertas atau boleh juga membuat persembahan ujian pada CUPS. (Sistem Pencetak Linux)

Pemasangan CUPS-PDF
Jalankan Ubuntu Software Center dan taipkan cups-pdf, tekan butang Install untuk mula memasang.

Membuat semakan pencetak.
Jalankan aplikasi Printing, sila periksa adakah wujud pencetak PDF di situ. Jika tiada sila Add > Printer > generic CUPS printer. Ada kemungkinan anda perlu Logout dan login semula Ubuntu anda untuk restart sistem CUPS. Apabila berjaya, sepatutnya seperti gambar 1 di bawah.

Gambar 1

Mari kita uji pencetak maya PDF ini melalui Microsoft Word 2007 (dalam Wine). Buka mana-mana dokumen sedia ada .docx atau .doc atau buat 1 dokumen baru melalui MS Office Word 07. Contohnya gambar 2 di bawah.

 Gambar 2

Kemudian tekan papan kekunci Ctrl+P, jendela Print akan muncul dan sila pilih nama pencetak iaitu PDF dan klik OK untuk menukarkan dokumen tersebut ke format pdf. Rujuk gambar 3.

Gambar 3

Sebaik sahaja klik OK, di mana dokumen.pdf ini berada? Semua dokumen akan di tempatkan direktori Home anda contonhya: deensokmo/PDF/ < nama dokumen pdf >.

Sekian..

umPlayer: Muat Turun Video YouTube Dan SHOUTcast Radio Pada Ubuntu

Gambar 1

umPlayer bukan sekadar pemain muzik dan pemain video yang biasa, seperti juga pemain VLC yang mempunyai keistimewaan tersendiri. Antara ciri-ciri utama yang membuatkan saya berminat dengan umPlayer ini ialah:
  • Muat turun video daripada Youtube
  • SHOUTcast Radio - mendengar radio internet
  • Sebagai pemain muzik
  • Sebagai penayang video
Pemasangan umplayer (kredit kepada Webupd8.org)
Menambahkan PPA umPlayer pada Ubuntu (Ubuntu 10.04, 10.10, 11.04, 11.10) dan pemasangannya dengan menyalin dan tampal baris arahan berikut pada terminal:

sudo add-apt-repository ppa:webupd8team/umplayer
sudo apt-get update
sudo apt-get install umplayer

Jika umPlayer gagal dihidupkan, ini adalah berpunca daripada isu "subtitles", jadi perlu dinaik taraf melalui PPA MPlayer harian (MPlayer daily builds PPA):

sudo add-apt-repository ppa:motumedia/mplayer-daily
sudo apt-get update
sudo apt-get dist-upgrade

Cuba hidupkan semula pemain umPlayer ini. Muncul seperti gambar 1 yang berskrin hitam kerana belum memainkan apa-apa video lagi. Dalam ruangan / kotak carian - Youtube - sila taipkan video kegemaran anda dan akan muncul jendela baru yang menyenaraikan beberapa berkaitan video pencarian anda seperti gambar 2.

 Gambar 2

Klik kanan pada salah satu senarai video itu terdapat 3 pilihan iaitu:
  • Play video
  • Record video
  • Watch on YuoTube
Untuk mendengar SHOUcast Radio (radio internet), klik menu Tools -> SHOUTcast dan akan terpapar jendela senarai radio internet seperti gambar 3 di bawah.

Gambar 3

Terdapat kotak carian di hujung bawah, taipkan kata kunci contohnya melayu atau cinta atau juga muzik untuk menapis radio internet berbahasa melayu. Kemudian dwi klik atau klik kanan dan muncul pilihan Tune In untuk mendengar.

Tips:
Jika anda berminat untuk merakam radio internet ini jangan lupa pasangkan Audio Recorder pada Ubuntu anda.

23 Oktober 2011

Cara Menarik Kuat Isyarat Wifi Dan 3G Broadband

Percayakah anda? Dengan hanya menggunakan barang-barang dapur dan perkakasan terbuang mampu menarik signal Wifi lebih kuat atau mungkin juga boleh untuk menarik signal 3G Broadband modem kepada tahap maksimum. Anda boleh ketawa bila melihat beberapa gambar di bawah.


Dengan menggunakan penutup cerek air, nampaknya 3G lebih baik ermmm..


Ini pula menggunakan penutup periuk 10 inch.. Tarik signal wifi. Amacam? ada kelas?


Satu lagi cara tarik signal 3G, mangkuk aluminium pun jadi...


Hah, ini pula bekas loyang (bekas buat kuih) yang terbiar, daripada berhabuk ada faedah sampingan rupanya!


Bekas tin coklat buat kuih. Ambil pembalut aluminium kasi balut dan tindih atas 3G USB modem..

Pendek kata, material yang berasaskan aluminium memang dijadikan penarik signal frenkuensi... Jadi selepas ni mungkin anda boleh mencubanya sendiri.. renung-renungkan dan cuba amal. (buat diam-diam ok)

Merakam Streaming Audio Melalui Ubuntu

Ada beberapa cara untuk kita merekod apa sahaja audio melalui Ubuntu samada suara melalui mikrofon, Streaming audio (online radio) perbualan Skype mahupun Google Talks-plugin dan lain-lain. Saya cuba mencari dan memasang pelbagai aplikasi yang membolehkan saya merekod radio online, namun terdapat pelbagai masalah seperti kualiti audio yang lemah, terdapat gangguan audio (noisy) dan macam-macam ragam dengan Ubuntu ini. Dan akhirnya saya terjumpa satu kaedah yang praktikal untuk merekod bunyi yang sedang berkumandang di corong pembesar suara.

Rakaman audio yang akan saya tunjukan di bawah ini adalah menggunakan Ubuntu 11.04, namun saya percaya tiada masalah untuk sebarang versi Ubuntu. Tutorial rakaman audio ini melibatkan streaming audio (radio online) dengan sambungan ke THR Gegar Pantai Timur.

Langkah 1
Dengar THR Gegar Pantai Timur - Klik THR Gegar Capsule

Seharusya anda dapat mendengar radio online tersebut dengan lancar. Jika gagal, sila kemaskini versi terkini Adobe Flash Player atau periksa kelajuan internet.

Langkah 2
Gstreamer plugin: Ini adalah persediaan ke dua untuk memastikan sistem audio Ubuntu anda dapat menyokong Wav dan Flac, ugly/multiverse untuk mp3 dan bad/multiverse untuk AAC dan m4a. Pasang pakej ini melalui terminal:

"sudo apt-get install gstreamer0.10-plugins-base gstreamer0.10-plugins-good gstreamer0.10-plugins-ugly gstreamer0.10-plugins-ugly-multiverse gstreamer0.10-plugins-bad gstreamer0.10-plugins-bad-multiverse"

Nota: Salin semua arahan di atas tanpa simbol quote.

Langkah 3
Memasang aplikasi PulseAudio Volume Control atau pavucontrol, buka Ubuntu Software Center dan taipkan pavucontrol (PulseAudio Volume Control).

Langkah 4
Pastikan THR Gegar masih berkumandang. Hidupkan aplikasi Pulse Audio Volume Control dan Sound Recorder - Sound Recorder adalah aplikasi lalai pada Ubuntu. Lihat gambar 1 di bawah.

Gambar 1

Langkah 5
Aplikasi Sound Recorder:
>Record as: pilih ogg atau mp3

Mulakan rekod pada butang Sound Recorder. Kemudian klik tab Recording pada PulseAudio Volume Control, buat 2 tetapan berikut:
>Show: Application
>record stream from: pilih Monitor of Internal Audio Analogue Stereo. 

Langkah 6
Klik butang stop pada Sound Recorder untuk mengakhiri rakaman dan klik butang Save untuk simpan. Lihat gambar 2 di bawah.

Gambar 2

Fail yang ingin disimpan tersebut boleh dinamakan mengikut kesesuaian atau ikut sahaja nama lalai yang telah disyorkan (format tarikh dan masa). 

Sekarang anda boleh main-semula (playback) rakaman yang telah direkodkan tadi. Ada kemungkinan fail pertama tadi audionya terputus-putus, namun ulangi Langkah 5 dan anda akan dapati audionya kini lebih baik.

Tips:
Selain menggunakan Sound Recorder (default Ubuntu), anda boleh juga memasang Audio Recorder di mana tetapannya yang lebih terperinci dan menyokong persekitaran Unity.

Selamat mencuba.. jika anda ada cara yang paling senang silalah berkongsi dengan saya, sila tinggalkan komen..

20 Oktober 2011

Memasang Gnome3 Pada Xubuntu 11.10

Apa yang menarik pada Xubuntu 11.10 ini ialah cubaan saya memasang Gnome3 atau juga dikenali Gnome Shell berjaya tanpa saya menemui bug.

Sebelum anda mahu memasang Gnome3 pada Xubuntu 11.10 ini, paling penting grafik kad anda telah dipasang pemacu grfik kad yang sesuai dengan perkakasan komputer anda tersebut seperti Nvidia atau Intel.

Video klip di bawah adalah hasilnya setelah saya memasang Gnome shell pada Xubuntu 11.10.


Pemasangan Gnome Shell
Buka Ubuntu Software Center dan taipkan perkataan "gnome-shell", kemudian klik untuk pemasangannya.

Selepas siap dipasang, logout dan semasa login pilih session Gnome, masukan katalaluan anda.

Mungkin pertama kali login, wallpaper mungkin biru sahaja. Jangan risau anda boleh menukarkan wallpaper tersebut dengan klik kanan pada Desktop.. Disitu ada pilihan untuk membuat tetapan ini.

Aplikasi Favorite atau launcher disebelah kiri disertakan Nautilus sebagai File Manager sebagai lalai. Namun anda boleh tukarkannya dengan Thunar jika terasa Nautilus agak berat.

Anda boleh juga boleh memasang Gnome Tweak Tools untuk membuat beberapa perubahan pada tema Gnome shell. Melalui Ubuntu Software Center, taipkan perkatan gnome-tweak-tool dan klik butang install. Untuk mengaksesnya, Taipkan gnome tweak pada ruang pencarian Gnome Shell.. Aplikasi ini bukan lagi namanya gnome tweak tetapi sudah bertukar kepada nama "Advanced Setting"

Bagi mencantikkan lagi tema gnome shell ini anda boleh memasang tema biru Ambiance. Selain itu bagi memudahkankan menukar tema yang berlainan pula anda boleh memasang Gnome Shell Theme Selector. Mungkin anda juga perlukan kepada Extension untuk Gnome Shell ini, ikut di sini untuk  memasang extensions lain-lain. Terima kasih saya ucapkan kepada Webupd8.org.

Semoga seronok bermain dengan Gnome3 ini!

19 Oktober 2011

Tentang Xubuntu 11.10 (Oneiric Ocelot)

Dalam diam selama 3 tahun, sebenarnya saya tidak akan terlepas terhadap semua versi-versi Xubuntu selain daripada versi Ubuntu. Xubuntu 11.10 juga diberi nama Oneiric Ocelot seperti  Ubuntu 11.10.

Mungkin anda ingin tahu kenapa saya suka Xubuntu selain Ubuntu, bagi peminat Distro linux amnya, Xubuntu bukanlah distro yang baru muncul. Anda mungkin perlu membaca Xubuntu daripada halaman rasminya di Xubuntu.org untuk maklumat lanjut. Perkara utama yang membuatkan saya suka akan Xubuntu ini ialah kerana asas komponennya menggunakan XFCE. Perenggan di bawah saya ulaskan serba sedikit berkenaan Xfce ini.

Pelepasan setiap versi Xubuntu adalah serentak dengan Ubuntu, Kubuntu dan Edubuntu. Meskinpun ianya tidak popular seperti Ubuntu, namun banyak tutorial Ubuntu sebenarnya boleh diadaptasikan kepada Xubuntu. Perkara ini akan anda ketahui jika mendalaminya. Dengan menggunakan Xfce sebagai persekitaran meja kerja, maka akan jadilah Xfce + Ubuntu menghasilkan Xubuntu.

Xubuntu juga bernaung di bawah syarikat Canonical yang mana apa yang dijanjikan untuk Ubuntu juga Xubuntu dapat menikmatinya. Sudah pasti versi 11.10 banyak pembaharuan yang telah diketengahkan oleh Canonical.

Jika Ubuntu menggunakan Nautilus sebagai File Manager, Xubuntu pula menggunakan Thunar sebagai File Manager-nya. Pemilihan Thunar  pada Xubuntu adalah berketepatan yang mana ciri-cirinya yang lebih ringan berbanding Nautilus mahupun Dolphine - KDE. Antara ciri-ciri lain yang menarik ialah seperti memiliki panel versi xfce4-panel, Windows Manager daripada xfwm4, System Setting menggunakan xfce-setting, Session manager menggunakan xfce4-session dan banyak lagi yang menggunakan kod xf dihadapannya. Saya juga suka kepada gthumb sebagai Photo Viewer lalai. Terdapat banyak lagi keistimewaannya yang tidak cukup untuk saya taipkan di sini.

Oh! ya, yang menarik perhatian saya lagi ialah sejak Xubuntu 11.04 lagi telah kemaskinikan dengan Xfce Desktop Enviroment versi 4.8, kini wajahnya amat ketara berbanding versi sebelum ini dan saya sendiri dapat alami peningkatan kecekapannya yang meminimumkan penggunaan kuasa prossessor. Ditambah lagi Xubuntu 11.10 ini didatangkan dengan kernel linux versi 3.0. Oleh yang demikian, versi Xubuntu hari ini telah mengalami kepesatan pencapaiannya dalam menyokong pemacu gajet-gajet yang serba baru yang lahir pada ketika ini.

Jadi kepada mereka yang belum lagi merasai kemanisan Xubuntu, bolehlah memuat turun Xubuntu ini di pautan halaman rasminya. Insyaallah, blog saya akan menyelitkan beberapa entri berkenaan Xubuntu jika tiada ara melintang.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...