12 Januari 2012

Ubuntu Dengan Pelbagai Persekitaran Atas Meja

Hari ini merupakan hari pertama saya mengisi ruangan blog deensokmo ini. Bulan lepas tahun 2011 telah melabuhkan tirainya, dan kini kita di ambang tahun 2012. Masih tidak terlewat untuk saya menyelitkan ucapan yang biasa didengar iaitu "Selamat Tahun Baru".

Banyak sungguh benda yang tercicir, banyak masa saya bocor kepada 2 anak kembar saya yang baru setahun jagung meniti usia untuk bertatih.

Tahun ini, dapat kita perhatikan perkembangan pesat Persekitaran Atas Meja (Desktop Enviroment) Ubuntu. Sejak Unity diperkenalkan bermula Ubuntu versi 10.10 (Maverick Meerkat) dan sehingga sekarang versi 11.10 (Oneiric Ocelot), telah banyak kemas kini perubahan pada wajah Unity tersebut. Di akhir tahun lepas, telah tercatat di Distrowatch.com di mana sokongan Unity telah menurun ke 1 tangga dan tahkta nombor satu tersebut telah dicuri Linux Mint. Kenapa Linux Mint begitu popular? Mengapa Linux Mint berjaya meraih sokongan pengguna Ubuntu amnya? Ini adalah disebabkan Mint 12 (Lisa) telah diberi sentuhan oleh Gnome Shell (Gnome 3). Namun begitu, Gnome Shell tersebut pula diberi nafas baru dengan mencipta Shell Extension yang nampak lebih segar berbanding extension asal Gnome Shell iaitulah MGSE (Mint Gnome Shell Extention).

Sejak sekian lama ramai pengguna Ubuntu telah terbiasa dengan penggunaan Compiz, maka ada yang mengatakan Compiz terlalu tamak RAM (pengunaan memori), laptop mudah panas meskin pun telah membuat perubahan dengan mengkompil pada kernel dan banyak lagi alasan yang tidak sedap didengar. Mungkin mereka sudah lupa, kesan Compiz seperti  Desktop Cube, Animasi khas dalam penjajaran Nautilus Window Manager, Metacity, Compositing dan pelbagai lagi efek menarik adalah punca yang menjinakkan mereka terpaut pada Ubuntu di kala itu. Kini, keindahan Gnome Shell tidak lagi memerlukan kepada jasa Compiz, Gnome Shell diberi kelainan dengan menggunakan Mutter sebagai penganti. Sentuhan Mutter digunakan untuk Compositing Window Manager yang diasaskan daripada Metacity Window Manager. Bagi mencipta efek pergerakan pada Gnome Shell, Clutter toolkit pula telah dimuatkan bersamanya. Menurut staff penyelenggaraan Gnome Shell iaitu Owen Taylor , keperluan Plugin untuk Mutter adalah dihasilkan melalui Skrip Java. Mungkin ramuan teknologi inilah yang menyebabkan pembangun Distro seperti Linux Mint, Pinguys dan lain-lain tidak mahu menggunakan Unity pada Sistem Operasi mereka.

Selain itu, bertambah meriah lagi apabila wujudnya kumpulan daripada pembangun Mint menggunakan MGSE sebagai asas untuk membentuk satu lagi Persekitaran Atas Meja baru yang diberi nama Cinnamon. Sekali pandang, Cinnamon menyamai Mint sebab-sebab yang telah saya sebutkan tadi, namun saya tidak pasti adakah extension MGSE ini boleh dipakai atau tidak pada Cinnamon, kerana saya belum berkesempatan mencubanya lagi.

Berikutan perkembangan ini, Canonical masih lagi memberi ruang kepada pengguna Ubuntu 11.10 memasang Persekitaran Atas Meja yang lama dengan diberi nama Gnome Classic Desktop. Untuk memasang Classic Session ini pengguna hanya mencari dan memasang gnome-session-fallback dalam Ubuntu Software Center.

Sebenarnya anda tidak perlu pening kepala untuk memilih mana satu jenis Desktop yang ingin dipakai, anda boleh memasang ke semua 4 jenis Persekitaran Atas Meja tersebut pada Ubuntu 11.10 anda, untuk memulakan mana-mana Desktop yang disukai, terdapat pilihan Session semasa memasukkan kata laluan atau boleh logout dan login semula pada Ubuntu anda.

Pun begitu, anda masih lagi bebas memasang Persekitaran Atas Meja yang lain selain daripada yang saya sebutkan di atas seperti XFCE, KDE, LXDE, OPenbox dan pelbagai lagi. Oleh kerana Linux adalah sumber terbuka, maka kunci kebebasan masih berada di dalam genggaman anda. Pilihlah yang mana disukai. Saya? Oh ya masih lagi selesa dengan Ubuntu 10.04 LTS dan mungkin akan dinaik taraf pada bulan 4 (April) tahun ini kerana pada akhir bulan tersebut Ubuntu versi 12.04 LTS akan dilancarkan secara rasminya. Sebab itulah tidak banyak entri saya yang menjurus ke arah Unity atau Gnome Shell.

Sehingga berjumpa lagi.. Sekian..

24 Disember 2011

Pelancaran Sabily Uhud 11.10


Sebagai penutup pada tahun 2011 ini, projek Ubuntu edisi Muslim iaitu Sabily.org telah melancarkan OS terbaru mereka yang diberi nama Uhud 11.10 dan menggunakan asas Ubuntu Oneiric Ocelot. OS terbaru ini dipancu oleh persekitaran Gnome 3 dan didatangi bersama kernel Linux 3.0.

Seperti edisi sebelum ini, Sabily Uhud ini masih lagi mengekalkan ciri-ciri Muslim seperti aplikasi mempelajari Al-Quran / alat carian dan pemberitahuan waktu solat, kalendar Islam (Hijra, Thawab, Monajad) dan sokongan untuk bahasa Arab serta  lain-lain lagi. Dan apa yang menariknya ialah ke semua aplikasi yang dibekalkan ini telah diubahsuai supaya memiliki keserasian yang khas untuk Gnome3 (gnome shell). Antara lain, turut memuatkan aplikasi baru seperti:
  • Alfanous: Enjin carian Quran
  • gnome-shell-extension-islamic-datetime: Kemudahan gnome Shell Extention untuk fungsi kalendar / masa.
  • gnome-tweak-tool: Kemudahan untuk mengendalikan dan suntingan Gnome 3 (ikon, tema, extention dll)
Seperti Linux Mint, Uhud 11.10 juga telah dipadatkan dengan Java, Medibuntu, gstreamer, kod sumber terlarang dan macam-macam lagi agar pengguna baru tidak perlu lagi membuang masa untuk memuat turun dan memasang plugin tambahan ini, iaitu berkonsepkan "Pasang-Siap".

Apa lagi yang ditunggu, jom baca selanjutnya di laman rasmi mereka di http://www.sabily.org/website/ dan boleh muat turun Uhud 11.10 ini secara percuma.

Wassalam.

20 Disember 2011

Muat turun Pakej DEB Untuk Ubuntu

Saya terpanggil untuk mengetengahkan entri ini kerana masih ada lagi segelintir pengguna Ubuntu baru yang bertanya kepada saya di manakah tempat (URL/Link) untuk muat turun aplikasi Ubuntu terutamanya pakej DEB. Mereka yang bertanya ini kerana komputer mereka terhad kepada sambungan internet, maksudnya mereka mahukan Offline Installer.

Terdahulu saya telah tuliskan entri memasang pakej secara tanpa talian melalui Synaptic Package Manager. Cara tersebut amatlah senang, saya tidak tahu di manakah kegagalan untuk muat turun pakej melalui kaedah ini. 

Ok, baiklah; selain daripada kaedah itu, sebenarnya APTonCD juga boleh memain peranan untuk memasang pakej secara tanpa talian internet. Cuma ada di antara meraka tidak tahu menggunakan APTonCD ini.

APTonCD mestilah dipasang dahulu pada komputer Ubuntu yang ada talian internet dan Ubuntu tersebut mestilah sama versi dengan Ubuntu yang tiada talian internet. Dengan APTonCD, kita boleh mencipta meta package dan aplikasi ISO untuk dibakar ke CD/DVD dengan syarat-syarat berikut:
  • Komputer Ubuntu yang ada talian internet telah mengemas kini dengan aplikasi terkini.
  • Komputer ini juga tidak pernah menjalankan autoremove, clean dan sebagainya yang memaksa membuang pakej sementara deb.
Anda boleh ikuti tutorial APTonCD di sini. Antara lain, anda boleh mencuba Keryx Project di sini.

Cara seterusnya ini adalah kegemaran saya untuk muat turun pakej DEB melalui:
  1. Ubuntu Package (laman rasmi)
  2. pkgs.org (laman third party)
Mungkin ada banyak lagi laman yang menyediakan pakej deb seumpama ini, oleh kerana Ubuntu telah menyediakan USC (Ubuntu Software Center) jadi tidaklah susah sangat untuk memasang aplikasi (mesti ada talian internet). Walaupun entri ini ringkas, setidak-tidaknya anda tahu apa yang mahu saya sampaikan.

Sekian.

16 Disember 2011

Memasang Microsoft Font Pada Ubuntu

Gambar 1

Penting ke Huruf Microsoft ini pada Ubuntu? Errmm, sebenarnya tidak penting jika tidak perlu, namun ianya diperlukan bagi menjamin keaslian jenis tulisan pada dokumen yang ditaip oleh kawan kita (jika mereka menggunakan MS Office). Libre Office dan Open Office pada Ubuntu akan automatik mengesan jenis huruf pada dokumen MS Office (2003/2007/2010), jika tiada; maka sistem TrueType Font pada Ubuntu akan menggantikan jenis tulisan yang paling hampir dan sesuai.

Sebahagian jenis font MS Office
Andale Mono
Arial Black
Arial (Bold, Italic, Bold Italic)
Comic Sans MS (Bold)
Courier New (Bold, Italic, Bold Italic)
Georgia (Bold, Italic, Bold Italic)
Impact
Times New Roman (Bold, Italic, Bold Italic)
Trebuchet (Bold, Italic, Bold Italic)
Verdana (Bold, Italic, Bold Italic)
Webdings

Jadi untuk mengelak kepincangan jenis huruf ini, adalah lebih baik memasang Microsoft Truetype Font pada Ubuntu. Caranya mudah sahaja, buka aplikasi Terminal dan salin-tampal arahan ini:

sudo apt-get install msttcorefonts

Semasa pemasangannya, akan muncul jendela seperti gambar 2 (configuring ttf-mscorefonts-installer), tekan kekunci Tab untuk mengalihkan ke butang arahan "OK" dan tekan kekunci Enter.

Gambar 2

Seterusnya, akan muncul jendela pengesahan lesen EULA seperti gambar 3 dan tekan kekunci Tab atau kekunci anak panah kiri/kanan untuk mengalihkan kursor ke "Yes". Kemudian tunggulah sehingga semuanya selesai.

Gambar 3

Ada kemungkinan perlu logout dan login semula Ubuntu anda untuk mengaktifkan Font ini.

Nota:
Jika anda telah memasang Wine 1.3 dan memasang MS Office melalui PlayOnLinux tidak perlu mengikuti tutorial ini kerana PlayOnLinux akan memuat turun dan memasang Microsoft Font secara automatik.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...